“Memberi Amanah Kepada Yang Berhak”
Hadith:
Dari Abu Zhar, dia berkata : Saya berkata: “Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya.” Rasulullah SAW bersabda, “Hai Abu Zhar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Hadis di atas kita lihat dimana Abu Zhar ketika meminta jawatan, tidak dipedulikan oleh Rasulullah. Kerana amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.
Dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, kuasa dan tanggungjawab adalah luas dan besar, tidak mungkin dipikul oleh seorang. Kerana itu kuasa dan tanggungjawab perlu diagih-agihkan dan dibahagi-bahagikan. Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dijalankan. Untuk menjadikan kuasa berkesan dan tanggungjawab disempurnakan, kedua-duanya hendaklah dibahagikan atau diamanahkan kepada mereka yang layak dan beramanah. Apabila kuasa menjadi luas dan tanggungjawab menjadi lebih besar, pembahagian kuasa tidak dapat dielakkan untuk melahirkan perkhidmatan yang berkesan, beramanah dan bertanggungjawab.
Berdasarkan nilai-nilai Islam, sesuatu jawatan dan tugas itu diberikan hanya kepada orang yang layak dan berkebolehan menerimanya sahaja. Lantaran itu, pemilihan seseorang untuk diberikan tanggungjawab bagi memenuhi tuntutan amanah Allah S.W.T. dan rakyat yang memilih sesuatu golongan untuk berkuasa, hendaklah dibuat berasaskan kelayakan dan kebolehan iaitu dengan memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketaqwaan.