TAZKIRAH “Kebersihan dan Kesucian dalam Islam”

“Kebersihan dan kesucian dalam Islam”
Hadith:

Dari Abu Malik Al-Asya’ari RA katanya : Rasulullah SAW bersabda “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman..”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

Hadith ini menyatakan bahawa kebersihan dan kesucian itu adalah menjadi sifat orang-orang yang beriman.
Semasa mereka beribadah, mereka dikehendaki berkeadaan bersih suci meliputi tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang, dan serentak dengan itu mereka dituntut membersihkan batinnya dari segala perkara yang dikeji dan dilarang.

Oleh kerana tiap-tiap seorang islam diwajibkan mengerjakan solat lima kali sehari semalam, maka dapatlah difahami bahawa salah satu hikmahnya atau tujuannya ialah untuk menggalakkan sifat mulia ini iaitu sifat menjaga kebersihan dan kesucian zahir dan batin supaya menjadi amalan hidupnya.

TAZKIRAH “Kasih Sesama Muslim”

“Kasih Sesama Muslim”

Hadith: 

Daripada Anas RA, daripada Nabi SAW sabdanya, “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

(Muttafaqun ‘Alaih)

Huraian Hadith: 

  1. Untuk mencapai darjat iman yang sempurna seorang muslim mestilah memiliki perasaan senang hati dan inginkan saudaranya (muslim yang lain) memperoleh kebaikan dan mengerjakan taat seperti yang dia inginkan untuk dirinya disamping itu dia mestilah berusaha ke arah itu. Antara bentuk usaha itu ialah memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka untuk menghasilkan apa yang memberi manfaat sama ada manfaat dunia atau akhirat.
  2. Jika umat islam berpegang dengan petunjuk hadis ini dan merealisasikannya dalam kehidupan, tentulah keadaan mereka berubah daripada lemah kepada kuat, daripada hina kepada mulia dan seterusnya, dan tentulah tidak terdapat perpecahan, pergaduhan, rebutan sehingga menyebabkan mereka berlindung kepada musuh untuk mencari penyelesaian yang akhirnya musuh mengambil kesempatan untuk melemahkan mereka.
  3. Janganlah menyimpan rasa permusuhan terhadap saudaramu sesama mukmin kerana ini boleh meyebabkan diri kamu terdedah kepada seksaan Allah.

TAZKIRAH “Agama Adalah Nasihat”

 

“Agama Adalah Nasihat”

Hadith: 

 

Daripada Abu Ruqaiyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa sesungguhnya nabi SAW bersabda, ” Agama itu adalah nasihat”. Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, untuk kitabnya, untuk rasulnya, untuk pimpinan orang Islam dan untuk umat Islam semuanya”.

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith: 

  1. Orang Islam hendaklah yakin dan tunduk serta patuh kepada segala perintah yang terkandung di dalam ajaran Islam lebih-lebih lagi perintah yang wajib.
  2. Segala kekeliruan yang terdapat di dalam menentukan hukum hendaklah dirujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
  3. Wajib tiap-tiap orang Islam beriman kepada Allah dan janganlah disekutukan dengan yang lain.
  4. Orang-orang Islam yang memegang tugas sebagai pimpinan hendaklah sentiasa mengawasi masalah-masalah yang berkaitan dengan hukum supaya orang-orang yang di bawah pimpinannya terhindar daripada kezaliman.
  5. Ajaran Islam adalah merupakan nasihat yang menjadi panduan kepada manusia.

TAZKIRAH “Kelebihan Berselawat”


“Kelebihan Berselawat”

 

Nabi s.a.w bersabda: “Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid – Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.”

(Riwayat Oleh Abu Hurairah)

Huraian Hadith: 

 

Pengajaran hadith:
i) Allah S.W.T telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatat kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.
ii) Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat tersebut.

Majlis Bacaan Tahlil di Surau Addeeniah

Assalamulaikum w.b.t

 

Y.Bhg Dato’/Datin/Tuan/Puan,

BACAAN TAHLIL DAN DOA SELAMAT

Seperti sedia maklum, bapa kepada Y.Bhg. Dato’ Ikram Shah bin Ismail, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya telah kembali rahmatullah pada 3.5.2012 (Khamis). Sehubungan dengan itu, Majlis Bacaan Tahlil dan Doa Selamat akan diadakan 3 malam berturut-turut di Surau Ad-Deeniah, PPUM, mulai malam ini jam 8.30 malam (selepas solat Isyak).

Y.Bhg Dato’/Datin/Tuan/Puan adalah dijemput menghadiri majis tersebut pada masa dan tempat yang telah ditetapkan. Dipohon supaya perkara ini dapat panjangkan kepada sahabat-sahabat yang lain bagi majlis tersebut.

UCAPAN TAKZIAH DARIPADA PKPPI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

3 Mei 2012M

11 Jamadil Akhir 1433H

 

 

Y.Bhg Prof. Dato’ Ikram Shah Bin Ismail

Pengarah

Pusat Perubatan Universiti Malaya

 

 

Y.Bhg Dato’,

 

UCAPAN TAKZIAH

 

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

 

2.        Pihak Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam, PPUM merakamkan ucapan takziah kepada Y.Bhg Dato’ dan keluarga di atas pemergian ayahanda beliau ke rahmatullah pada hari ini Khamis, 03 Mei 2012 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1433H di Wad ICU, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 

3.      Pihak persatuan dan seluruh ahli mendoakan semoga Y.Bhg Dato’ serta keluarga tabah menghadapi ujian ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

 

Sekian, terima kasih

 

 

Yang benar

 
Hisyamuddin Bin Bahari

Yang Di-Pertua

Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya

TAZKIRAH “Penghuni syurga ialah sebaik-baik muslim”


“Penghuni syurga ialah sebaik-baik muslim”

 

Hadith:

 

Dari Abdullah, katanya: “Bersabda Rasulullah SAW kepada kami: “Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau: “Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, “kami pun mohon diperbanyakkan lagi”. Akhirnya Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.”

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:

 

Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam mememuk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad). Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi.

 

Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.

 

Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang. Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar.

 

Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir.

TAZKIRAH “Taubat”

 

“Taubat”

Hadith: 

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith: 

 

Pengajaran hadis:
i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.
ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.
iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.
b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T.
c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa.
d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.

 

e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.

TAZKIRAH “Tolong-menolong Untuk Kebaikan dan Ketakwaan”

“Tolong-menolong Untuk Kebaikan dan Ketakwaan”

Hadith: 

 

Daripada Abu Abdul Rahman Zaid bin Khalid Al-Juhaniy RA katanya, Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang menyediakan kelengkapan orang yang berperang fisabilillah sesungguhnya samalah seperti dia sendiri pergi berperang, dan sesiapa yang mengganti orang yang keluar berperang untuk menjaga anak isterinya maka sesungguhnya samalah seperti dia sendiri pergi berperang”.

(Riwayat At-Tarmizi)

Huraian Hadith: 

  1. Segala niat suci dan amal baik akan diberi pahala lebih-lebih lagi pahala akan diberi kepada orang yang berperang pada jalan Allah.
  2. Tolong-menolong ke jalan kebenaran itu adalah merupakan satu tugas yang disuruh oleh Islam.
  3. Takutilah perkara yang mungkar kerana ia membawa kepada kerugian sama ada di dunia atau akhirat.
  4. Sesiapa yang membantu seseorang Muslim untuk berjihad dengan menyediakan keperluan musafirnya atau menjaga dan membiayai anak isterinya semasa ketiadaannya akan mendapat ganjaran seperti orang yang pergi berjihad itu, dan sama seperti membantu orang yang berjihad ialah orang yang membantu dalam apa-apa kebajikan.
  5. Kewajipan berjihad tidak terbatas kepada satu golongan manusia, malah kewajipannya itu mencakupi semua individu dalam masyarakat Muslim, kerana setiap orang boleh mengambil bahagian dengan menyertai peperangan atau mendermakan hartanya atau kedua-duanya sekali.
1 20 21 22 23 24 25