Author: Adila Mastura
TAZKIRAH “Tuntutan Bersedekah”
Hadith:
Daripada Abu Zar RA daripada Nabi SAW telah bersabda, “Dituntut ke atas setiap sendi kamu itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah,setiap takdir itu sedekah, menyeru kepada kebaikan itu sedekah, melarang daripada kemungkaran itu sedekah dan memadailah bagi setiap amalan yang disebut itu dua rakaat sembahyang Dhuha.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Umat Islam digalakkan supaya banyak bersedekah sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah SWT dan untuk menghindar bala menimpa.
2. Membanyakkan zikir mempunyai kelebihan yang besar, begitu juga memelihara sembahyang Dhuha dengan melakukannya pada setiap hari.
Allah tidak mensia-siakan segala gerak-geri anggota manusia yang melakukan segala kebaikan bahkan ia akan diberi ganjaran yang sewajarnya.
FATWA “Gelatin Dalam Ubat”
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24 – 25 September 1984 telah membincangkan Gelatin Dalam Ubat. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang adalah diharuskan kerana dharurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.
Keterangan/Hujah:
Gelatin ialah sejenis protein terbitan yang larut dalam air, dihasilkan menerusi proses hidrolisis separa ke atas collegen. Collegen ialah unsur protein yang terdapat dalam tisu-tisu konektif haiwan. Kulit babi, kulit lembu, urat-urat dan tulang binatang merupakan bahan mentah utama untuk menghasilkan gelatin.
Menurut Encyclopedia Of Chemical Technologi, (Edisi Ke-2, Vol.10, 1960) kebanyakan gelatin jenis A (proses asid) yang dikeluarkan di Amerika Syarikat diperbuat daripada kulit babi. Di Eropah kulit anak lembu dan tulang lembu merupakan bahan mentah utama. Penggunaan kulit babi semakin meningkat kerana proses pengeluaran gelatin darinya lebih cepat.
Pada masa ini kapsul yang terdapat di pasaran atau di hospital dan klinik-klinik kerajaan adalah diperbuat daripada campuran bahan gelatin yang diimport dari luar Negara yang digunakan sebagai bahan untuk menahan ubat dari rosak.
Didalam mesyuarat kali ke-5 Jawatakuasa Mengkaji Bahan Makanan dan Gunaan Orang Islam, Pusat Penyelidikan Islam, Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Ugama) pada 11 November 1982 telah diputuskan bahawa:
“Gelatin adalah sejenis bahan yang diperbuat daripada berbagai jenis haiwan seperti babi, lembu dan sebagainya. Oleh kerana bahan tersebut pada masa ini diperbuat diluar negeri iaitu yang tidak diketahui sama ada dari babi, bangkai binatang yang halal dan sebagainya, maka kedudukanya adalah diragui. Mengikut hukum syarak jika sekiranya satusatu perkara itu diragui samaada halal atau haram maka ianya terjatuh dalam perkara syubahat makan hukumnya adalahharam”.
Menurut Jumhur Ulama’, penggunaan bahan-bahan yang haram atau yang bercampur dengan najis untuk tujuan perubatan adalah haram. Walaubagaimanapun menggunakan ubat dari benda yang najis selain dari benda yang memabukkan dalam keadaan dharurat adalah harus sebagaimana pendapat Ibnu Ruslan (Mazhab Shafie) dalam Kitab Sunan Abi Daud. Pendapat ini berlandaskan kepada Hadith al-‘Urniyyin yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh Sahabat meminum air kencing unta membuat ubat. Hadith ini merupakan kebenaran khas dimana umumnya adalah diharamkan berubat dengan benda yang haram kecuali sekiranya dharurat di mana tiada bahan lain yang boleh menggantikannya.
Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/gelatin-dalam-ubat
TAZKIRAH “Perkara Yang Mengiringi Jenazah”
Hadith:
Daripada Anas RA daripada Rasulullah SAW sabdanya, “Tiga perkara yang mengiringi jenazah iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua perkara akan kembali semula, yang tinggal bersamanya hanyalah amalannya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
1. Hadis ini menggalakkan kita melakukan amalan soleh, kerana amalan itu akan sentiasa menemani sehingga ke alam barzakh dan alam akhirat.
2. Harta dan keluarga tidak akan menemani di alam barzakh.
Tiga perkara menjadi kepentingan utama di atas dunia iaitu keluarga, kekayaan dan amal kebajikannya.
TAZKIRAH “Dosa Kecil Jangan Dipandang Ringan”
Hadith:
Daripada Anas RA katanya, “Sesungguhnya kamu mengerjakan perbuatan yang pada pandangan kamu ianya lebih halus daripada rambut pada hal kami di zaman Rasulullah SAW mengira perbuatan itu di antara perkara-perkara yang mencelakakan (dosa besar).”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Memandang ringan terhadap dosa-dosa kecil menunjukkan seseorang itu kurang takut kepada Allah dan lebih-lebih lagi memandang ringan pada dosa besar.
2. Orang yang paling mengenal Allah selepas nabi dan rasul adalah sahabat-sahabat Rasulullah SAW kerana pengetahuan mereka luas yakni tidah menganggap remeh kepada sesuatu perkara.
3. Para sahabat begitu perihatin akan sesuatu perkara dan tidak pernah menganggap ringan.
TAZKIRAH “Cemburu Allah”
Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA daripada nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT cemburu (tidak suka) dan cemburu Allah SWT itu ialah terhadap orang yang akan mengerjakan apa yang diharamkan Allah ke atasnya.”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Allah SWT memberi kebebasan kepada seseorang melakukan apa yang dikehendaki, namun begitu Allah tidak menyukai perbuatan yang diharamkan.
2. Perasaan benci kepada perkara yang dilarang oleh Allah adalah suatu sifat yang mulia.
TAZKIRAH “Kelebihan Bersedekah”
Hadith:
Dari Amru bin Auf RA katanya Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya). ”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
2. Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.
3. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
4. Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.
FATWA “Derma Organ – Pemindahan Jantung Dan Mata”
Keputusan:
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 – 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:
1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.
Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/derma-organ-pemindahan-jantung-dan-mata
TAZKIRAH “Ingat Mati Melemah Hawa Nafsu”
Hadith:
Daripada Abdullah bin Abbas dan Anas bin Malik RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Andai kata seseorang anak Adam telah mempunyai satu lembah emas nescaya dia ingin pula hendak mempunyai dua lembah. Dia tidak akan puas dengan harta dunia sehingga akhir hayatnya (mulutnya dipenuhi tanah) dan Allah Taala menerima taubat hamba-Nya yang benar-benar bertaubat.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
1. Nafsu sentiasa mendorong manusia untuk menguasai harta tanpa batasan. Sifat ini dicela jika ia menyebabkan seseorang itu mengabaikan perintah Allah.
2. Mengingati mati menjadi pengajaran besar kepada manusia untuk mengawal nafsu.
3. Orang yang bersungguh-sungguh bertaubat, Allah Taala akan menerima taubatnya itu.
TAZKIRAH “Bacaan Taawuz Mereda Marah”
Hadith:
Daripada Sulaiman bin Surad RA katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi SAW sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda”, “Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.” Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
1. Perasaan marah yang disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud : “Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A`raf: 200)
2. Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam.
3. Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran.
4. Orang yang alim(berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati).

