TAZKIRAH “Konsep Syukur Rasulullah SAW”

“Konsep Syukur Rasulullah SAW”
Hadith:

Daripada Aisyah RA: bahawa Nabi SAW bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah SAW? Sedangkan Allah SWT mengampunkan dosa engkau yang terdahulu dan yang terkemudian”. Jawab baginda, “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?.”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1.Kita hendaklah sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan.

2.Setiap muslim hendaklah melakukan ibadat sunat untuk membuktikan kesyukuran kepada Allah SWT.

3.Setiap manusia hendaklah berjuang melawan hawa nafsu dengan sentiasa beramal soleh untuk menjadi hamba yang lebih diredhai.

4.Seseorang yang menerima nikmat sewajarnya meningkatkan kesyukuran ke hadhrat Allah SWT.

TAZKIRAH “Amalan Baik”

Hadith:

Daripada Jabar RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, “Tiap-tiap yang baik itu sedekah.”
(Diceritakan juga oleh Muslim daripada riwayat Hazifah RA)
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:

1. Kalimah maaruf merangkumi semua kebaikan sama ada melakukan ibadah atau meninggalkan perbuatan buruk.

2. Setiap perkara baik yang dilakukan oleh seseorang akan diberi pahala.

TAZKIRAH “Amalan Yang Menghapuskan Dosa Serta Mengangkat Darjah”

Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW, “Adakah kamu suka aku tunjukkan suatu amalan yang Allah akan menghapuskan dengannya dosa-dosa serta mengangkatkan dengannya beberapa darjat? “mereka berkata, “Bahkan ya Rasulullah”, sabda Rasululullah, “Menyempurnakan wuduk dalam keadaan susah dan membanyakkan langkah ke masjid serta menunggu sembahyang (untuk berjemaah). Demikian itulah (yang dikatakan) “Al-Ribat” (perjuangan menentang musuh dan bersedia menghadapinya).”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

1. Menunaikan ibadat adalah sesuatu jihad iaitu yang memerlukan kesabaran dan ketahanan jiwa.

2. Dosa yang akan diampunkan dengan perkara-perkara yang disebut dalam hadis ini hanyalah dosa-dosa yang berkaitan dengan hak Allah.

3. Apabila seseorang itu berwuduk dengan sempurna, rajin ke masjid dan sentiasa menunggu waktu sembahyang serta berjemaah nescaya Allah akan menghapuskan dosa-dosanya(dosa kecil) serta ditingkat darjatnya.

TAZKIRAH “Kelebihan Berwuduk”

“Kelebihan Berwuduk”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, ”Apabila seorang muslim atau mukmin berwuduk, maka dia membasuh mukanya keluarlah daripada mukanya itu segala dosa yang dilakukan oleh matanya bersama air atau bersama dengan titisan air yang akhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya keluarlah daripada keduanya segala dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan air yang akhir. Apabila dia membasuh kedua kakinya keluarlah segala dosa yang dilakukan oleh kedua kakinya bersama air atau bersama titisan air yang akhir sehingga bersihlah dia daripada segala dosa.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Dua kelebihan berwuduk ialah jasad seseorang akan bersih daripada kekotoran dan jiwa pula bersih daripada dosa.

Wuduk yang dilakukan dengan cermat dan sempurna boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan.

FATWA “Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy)Bagi Pesakit Luka Kronik”

“Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy)Bagi Pesakit Luka Kronik”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) Bagi Pesakit Luka Kronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:

فَقَالُوْا: “يَا رَسُوْلَ اللهِ! هَلْ عَلَيْنَا جُنَاحٌ أَنْ لاَ نَتَدَاوَى؟” قَالَ: “تَدَاوَوْا، عِبَادَ اللهِ! فَإِنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً. إِلاَّ الْهَرَمَ”.
رواه ابن ماجه

Maksudnya:
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit tua”. (Riwayat Ibn Majah)

Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan”(الضرر يزال).

Muzakarah berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةِ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ
Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”

Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.

Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.

Muzakarah juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit. Sebagai panduan melaksanakan ibadah, pesakit boleh merujuk kepada Panduan Tayammum, Wuduk dan Solat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

TAZKIRAH “Amalan Yang Paling Afdal”

“Amalan Yang Paling Afdal”
Hadith:
Daripada Abu Zar Jundubi Zar bin Junadah RA, katanya, aku bertanya, “Wahai Rasullullah, apakah amalan yang paling afdal? “Maka dijawab oleh Rasulullah SAW, ”Beriman kepada Allah SWT dan berjihad dijalannya.” Aku bertanya lagi, “Hamba manakah yang paling utama untuk dimerdekakan?” jawab baginda, ”Hamba yang paling disayangi oleh tuannya dan paling tinggi harganya.” Aku bertanya lagi, ”Jika aku tidak berbuat demikian? Rasulullah menjawab, bantulah orang yang berbuat sesuatu pekerjaan atau buatlah sesuatu untuk orang tidak pandai membuatnya.” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah SAW bagaimana pula jika aku lemah, tidak dapat mengerjakan sebahagian kerja-kerja itu?” Jawab Rasulullah SAW, ”Hendaklah kamu menahan perbuatan jahat terhadap manusia, sesungguhnya itu adalah sedekah daripada engkau untuk diri engkau sendiri.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1.Umat Islam digalakkan berjihad di jalan Allah iaitu berusaha menegakkan kalimah Allah dan agamanya dengan cara yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

2.Sebaik-baik bersedekah adalah bersedekah dengan harta yang paling disayangi dan paling bermanafaat .

3.Wajib menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain dan ini adalah sedekah untuk diri sendiri.

TAZKIRAH “Orang Mukmin Yang Tenang”

Hadith:

Daripada Ibnu Umar R.huma katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Orang mukmin sentiasa berada di dalam ketenangan agamanya (dengan mengharapkan rahmat Allah) selagi dia tidak menumpahkan darah secara haram (tidak pernah membunuh melainkan dengan kebenaran yang hak)”.

(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1.Orang mukmin yang tenteram ialah orang mukmin yang sentiasa menjaga haknya dan menjaga hak orang lain serta tidak menganiaya.

2.Manusia itu sentiasa di dalam keadaan keluh kesah apabila menghadapi suatu ujian melainkan orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan menjaga hak-hak yang disuruh oleh Islam.

3.Hendaklah dijauhi daripada perbuatan aniaya sesama mukmin kerana perbuatan tersebut akan merugikan agama Islam.

4.Membunuh tanpa hak adalah dosa besar yang menutup harapan rahmat Allah dan menyebabkan pelakunya termasuk golongan orang yang putus asa daripada rahmat sekiranya dia tidak bertaubat.

TAZKIRAH “Menggunakan Harta Dengan Jalan Batil”

“Menggunakan Harta Dengan Jalan Batil”
Hadith:

Daripada Khaulah binti Tsamir Al-Ansoriyah, iaitu perempuan (isteri) Hamzah RA katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ada beberapa jenis atau golongan lelaki yang membelanjakan harta orang Islam bukan dengan kebenaran. Maka bagi mereka api neraka pada hari kiamat”.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
Sesiapa yang telah diamanahkan untuk memelihara dan menjaga sesuatu harta kemudian membelanjakan harta itu bukan dengan haknya maka ia telah menzalimi diri orang yang telah diamanahkannya.

Jauhilah diri daripada menggunakan harta yang bukan hak.

Belanjakanlah harta ke jalan yang diredhai Allah supaya tidak disoal pada hari kiamat.

Hadis ini memberi peringatan tentang pengurusan harta awam umat Islam secara suka hati dan untuk tujuan peribadi. Perbuatan itu adalah antara dosa besar yang pelakunya akan diazab dengan neraka jika tidak bertaubat.

TAZKIRAH “Orang Yang Bankrap disisi Islam”

“Orang Yang Bankrap disisi Islam”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?” Para sahabat menjawab, “Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta”. Baginda bersabda, “Ssungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang. Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka. Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya) dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Islam melarang umatnya membuka rahsia dan tuduh-menuduh antara sesama sendiri jika tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.

Islam menjaga kehormatan seseorang daripada melakukan perkara-perkara menyalahi hukum yang boleh membawa kepada permusuhan.

Jagalah lidah dan hati daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat sesama orang Islam kerana akibatnya boleh menyebabkan amalan seseorang itu diambil dan menggantikan dengan kesalahan yang dilakukannya di dunia.

Segala amal kebaikan dan kejahatan akan dapat dilihat dan dirasa balasannya serta ditimbang baik buruknya pada hari kiamat.

Orang Islam adalah bersaudara, maka haramlah atasnya pembunuhan, pencerobohan kehormatan dan mencerobohi hartanya.

Menzalimi dan menyakiti manusia (seagama) akan menghapuskan pahala dan manfaat amalan yang soleh pada hari kiamat, orang yang melakukannya adalah muflis yang sebenar.

Salah satu cara pendidikan yang berkesan adalah dengan menggunakan bentuk dialog dan soal jawab untuk menarik perhatian pendengar.

FATWA “Penggunaan Alat Direct Current Shock”

FATWA “Penggunaan Alat Direct Current Shock”
“Penggunaan Alat Direct Current Shock”
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oct 1983 telah membincangkan Penggunaan Alat Direct Current Shock. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan alat “Direct Current Shock” dalam bidang perubatan merupakan pertolongan segera bagi memulihkan denyutan jantung manusia sebagai ikhtiar terakhir menyelamatkan nyawa adalah satu cara pertolongan cemas yang diharuskan oleh syarak, dan tidaklah menyalahi syarak bagi mereka yang melakukannya.

Keterangan/Hujah:

Amalan menggunakan alat Direct Current Shock ialah untuk memulihkan denyutan jantung yang telah berhenti yang pada kebiasaannya digunakan ke atas pesakit lemah jantung.

Penggunaan alat Direct Current Shock biasanya dapat membantu denyutan semula jantung seseorang pesakit yang hampir tidak bergerak lagi. Ada kalanya penggunaan itu berjaya dan dalam kes di mana jantung pesakit itu tidak dapat dipulihkan semula denyutannya, maka pesakit tersebut akan mati.

Cara perubatan dengan menggunakan alat Direct Current Shock bagi memulihkan denyutan jantung yang tidak bergerak adalah merupakan ikhtiar bagi menyelamatkan nyawa dan ia tidak dianggap menyakiti pesakit.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penggunaan-alat-direct-current-shock

1 15 16 17 18 19 25