TAZKIRAH “Menghukum Atas Yang Benar”

“Menghukum Atas Yang Benar”
Hadith:

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya aku adalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu semua telah membawa pertelingkahan kepadaku. Barangkali sesetengah kamu ada yang lebih cerdik mengemukakan hujah serta alasannya daripada sesetengah yang lain. Maka aku akan menghukum mengikut apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku putuskan untuknya mendapat kemenangan, sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah hak kepunyaan saudaranya, maka sesungguhnya aku tentukan untuknya sepotong daripada api neraka”.
(Muttafaqun Alaih)
Huraian Hadith:
Janganlah menghukum suatu perkara dengan tidak mengikut hukum Islam sedangkan kamu mengetahui, kerana itu menjadikan kamu akan dihumbankan ke dalam api neraka.

Jauhkanlah sifat-sifat menyakiti hati manusia yang menyebabkan Allah SWT murka.

Buatlah keputusan mengikut apa yang dibenarkan Allah dan jangan buat keputusan mengikut apa yang tidak diredhai Allah.

Rasulullah SAW ialah seorang manusia. Harus bagi dirinya sifat-sifat manusia kecuali apa yang dipelihara Allah daripadanya. Rasulullah SAW terpelihara daripada tersalah dalam menyampaikan risalah termasuklah aqidah dan syariat, dan terpelihara daripada perbuatan haram dan keji.

Seorang hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan keterangan dan hujah yang dapat diterima seperti saksi, sumpah dan lain-lain. Dia tidak boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan pengetahuannya.

Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim tidak menghalalkan yang haram walaupun hukum itu dilaksanakan pada zahir. Oleh itu, sesiapa yang memperoleh sesuatu melalui perintah mahkamah sedangkan dia mengetahui sesuatu itu bukan haknya maka tidak harus ia mengambilnya.

TAZKIRAH “Berhutang Menghalang Penyucian Diri dan Keredhaan Allah”

“Berhutang Menghalang Penyucian Diri dan Keredhaan Allah”

Hadith:

Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib’ie RA, daripada Rasulullah SAW, “Sesungguhnya baginda berkhutbah kepada mereka lalu menyebut kepada mereka, bahawasanya jihad pada jalan Allah dan beriman kepada Allah itu sebaik-baik amalan (pekerjaan)”. Kemudian bangun seorang lelaki dan berkata, “Wahai Rasulullah SAW bagaimanakah jika aku terbunuh di dalam jihad pada jalan Allah, apakah semua kesalahanku akan diampunkan?” Baginda menjawab, “Ya, benar jikalau engkau dibunuh dalam masa peperangan jihad pada jalan Allah dengan engkau berkedaan sabar mengharapkan keredhaan Allah, sedangkan engkau menghadapi musuh tidak berpaling lari kebelakang”. Kemudian baginda bertanya, “Bagaimana katamu?” Jawab lelaki tersebut bagaimanakah jika aku terbunuh dalam peperangan pada jalan Allah, apakah akan dihapuskan segala kesalahan-kesalahanku?” Baginda bersabda lagi. “Ya, benar jikalau engkau bersabar, tetap mengharapkan keredhaan Allah ketika menghadapi musuh, tidak berpaling lari kebelakang, melainkan jika engkau ada menanggung hutang dan sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

1. Bersihkanlah diri daripada berhutang kerana itu akan menghalang daripada menyucikan diri dan mendapat keredhaan Allah.
2. Janganlah jadi orang yang bankrup kerana hutang sama ada di dunia atau akhirat.
3. Jauhilah hidup daripada banyak berhutang dan kuatkan keimanan untuk menghadapi segala percubaan hidup.
4. Hadis ini menunjukkan kelebihan jihad pada jalan Allah dan ganjaran bagi mereka yang terbunuh dalam keadaan bersungguh-sungguh menentang musuh, bersabar atas kesakitan dan kesusahan serta hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

TAZKIRAH “Jauhi Sifat Bakhil”

“Jauhi Sifat Bakhil”

Hadith:
Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Jauhilah sifat bakhil kerana bakhil itu membawa permusuhan dan pertelingkahan yang boleh mendatangkan kerugian.
2. Umat Islam dilarang zalim menzalimi dan memfitnah sesama mukmin kerana akibatnya adalah lebih dahsyat daripada membunuh.
3. Rasulullah SAW memberi ingat kepada umatnya supaya mengeluarkan sedeqah dan membelanjakan ke jalan yang halal.
4. Kezaliman adalah antara dosa besar yang akan menyebabkan pelakunya dikenakan azab seksa yang berat di akhirat nanti.
5. Tamak kepada dunia dan kedekut dengan apa yang dimiliki sentiasa mendorong manusia melakukan maksiat dan dosa dan menjuruskan mereka kepada perbuatan keji dan kemungkaran.

FATWA “Penyuntikan Highly Purified Insulin Daripada Babi”

“Penyuntikan Highly Purified Insulin Daripada Babi”

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oct 1983 telah membincangkan Penyuntikan Highly Purified Insulin Daripada Babi. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menyuntikkan Insulin daripada najis mughalazah (babi) bagi tujuan perubatan pesakit kencing manis adalah harus kerana darurat. Begitu juga hukum bagi mereka yang menjalankan penyuntikannya.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyuntikan-highly-purified-insulin-daripada-babi

FATWA “Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata”

“Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata”

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam مقاصد شريعة. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang berdasarkan umumnya hadith Rasulullah s.a.w.:

عن اَبِي الدَّرْدَاء رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاء، فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ)
(رواه أبو داود)

Maksudnya:
Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.

Namun begitu, dalam keadaan-keadaan dharurah atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan.

Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-menggunakan-kanta-icl-implantable-collamer-lens-untuk-rawatan-mata

TAZKIRAH “Kelebihan Berulang Alik Ke Masjid”

22 Jun 2012
2 Sya’ban 1433H

Kepada:
Ahli-ahli Persatuan Kebajikan Pekerja Pekerja Islam

Y.Bhg. Prof./Dato’/ Datin / Tuan / Puan,
“Kelebihan Berulang Alik Ke Masjid”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “ Sesiapa yang pergi ke Masjid pagi atau petang, Allah akan sediakan baginya di dalam syurga, hidangan dan jamuan setiap kali dia pergi atau balik.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Hadis ini memberitahu kelebihan berulang-alik ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah.

2. Seseorang yang rajin ke masjid dengan tujuan beribadat secara ikhlas disediakan Allah baginya ganjaran yang istimewa.

3. Setiap orang digalakkan untuk menghidupkan masjid dengan berbagai-bagai kegiatan ibadah.

Sumbangan Amal Jariah Bagi Program Harian Berbuka Puasa & Morey Sempena Bulan Ramadhan 1433H / 2012M

Ruj : PKPPI / 2012 / 16

20 Jun 2012M
30 Rejab 1433H

Assalammualaikum W.B.T

Y.Bhg. Tan Sri / Dato / Datin / Tuan / Puan

Sumbangan Amal Jariah Bagi Program Harian Berbuka Puasa & Morey Sempena Bulan Ramadhan 1433H / 2012M

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Dimaklumkan bahawa pihak Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam dan Surau Ad-Deeniah akan menyediakan jamuan berbuka puasa dan morey sebagai antara aktiviti harian yang berkonsepkan amal jariah kepada masyarakat disekeliling PPUM. Merujuk program sama yang telah dijalankan pada tahun lepas, pihak persatuan telah menyediakan makanan bagi keperluan di antara 400-500 orang pada setiap hari. Jumlah ini termasuk staf yang bekerja pada waktu malam, pelawat, masyarakat di sekeliling PPUM dan sebagainya. Kos yang dibelanjakan pada setiap hari adalah dianggarkan RM2000-2500 dan ia boleh meningkat berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

3. Sehubungan dengan itu pihak PKPPI dan Surau Ad Deeniah ingin memohon sumbangan daripada Y.Bhg. Tan Sri/ Dato’ / Datin/ Tuan/ Puan bagi sama-sama kita menjayakan program tersebut sepanjang ramadhan nanti. Semoga Allah merahmati kita dan mendapat ganjaran pahala ramadhan sebaiknya di atas sumbangan yang diberikan.

4. Kerjasama dan sokongan daripada Y.Bhg Tan Sri/ Dato’/Datin/ Tuan/ Puan di atas sumbangan tersebut adalah didahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Borang sumbangan amal jariah boleh didapatkan dari pkppi.ummc.edu.my untuk makluman dan tindakan selanjutnya.


Hisyamuddin Bin Bahari
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya

TAZKIRAH “Jalan Ke Syurga Dan Jalan Ke Neraka”

Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Neraka itu didindingi dengan perkara-perkara yang diingini hawa nafsu, syurga itu didindingi dengan perkara-perkara yang dibenci oleh hawa nafsu.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Jalan untuk ke syurga mestilah ditempohi dengan pelbagai rintangan .
2. Jalan ke neraka pula terbuka luas oleh perkara yang diingini hawa nafsu.
3. Manusia akan sentiasa didorong oleh hawa nafsu yang tidak pernah puas.

TAZKIRAH “Larangan Memperkecilkan Kebaikan Yang Sedikit”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA katanya, nabi SAW telah bersabda kepadaku, “Janganlah kamu memperkecilkan kebaikan sedikitpun, sekalipun engkau menemui saudara engkau dengan wajah yang berseri-seri.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Kita tidak harus menganggap remeh apa-apa perbuatan atau pekerjaan yang dianggap baik oleh agama(Islam).
2. Kita dituntut bermanis muka dan mengembirakan saudara seagama.
3. Nilai kebaikan di dalam Islam sentiasa dijaga walaupun di dalam perkara yang sekecil-kecil.

TAZKIRAH “Contoh Amalan Baik dan Amalan Jahat”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA katanya, nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Telah diperlihatkan kepadaku segala amalan umatku sama ada yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik ialah membuangkan sesuatu yang merbahaya yang terdapat di jalan. Dan aku dapati di antara amalan-amalan yang jahat ialah berkahak di dalam masjid yang tidak ditimbus.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Amalan kebajikan adalah banyak, di antara apa yang di anggap remeh oleh segolongan orang seperti membuang batu, menimbuskan lubang dan sebagainya yang mengganggu dan membahayakan pengguna jalan, dan seperti membuang najis dan kotoran daripada masjid.
2. Wajib menjaga kehormatan masjid dan memelihara adab-adabnya serta tidak melakukan di dalamnya perbuatan yang tidak layak dengan kesuciannya seperti meludah, membuang hingus dan sebagainya.
Hadis juga menerangkan tentang mukjizat Rasulullah yang dapat mengetahui sekecil-kecil kebaikan atau sekecil-kecil kejahatan yang dilakukan oleh umatnya.

1 16 17 18 19 20 25