TAZKIRAH “Islam Tidak Mengira Pangkat dan Darjat”

Hadith:

Daripada Saad bin Abi Waqas RA katanya, “Ketika kami berenam bersama Nabi SAW, tiba-tiba orang-orang musyrik berkata kepada nabi, “Usirlah mereka supaya mereka tidak berani menemui kami. Enam orang itu ialah aku, Abdullah bin Mas’ud, seorang daripada suku Huzail, Bilal dan dua orang yang sengaja aku tidak sebutkan namanya”. Maka terlintas dihati Rasulullah, apa yang dikehendaki Allah (untuk menyuruh enam sahabat itu meninggalkan majlis kerana dia mengetahui kekuatan iman mereka dan mengharapkan iman pembesar-pembesar musyrikin), tiba-tiba Allah menurunkan wahyunya, yang bermaksud: “Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadah dan berdoa kepada tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan semata-mata” (Surah al-An’am ayat 52).“
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Umat Islam disuruh supaya saling memahami dan membantu antara satu dengan lain.

2. Musuh sebenar umat Islam ialah orang-orang kafir.

3. Menghormati orang soleh dan menjaga perasaan mereka adalah wajib kerana menyakiti mereka bererti menempah kemurkaan Allah.

4. Penghormatan kepada manusia dan penghargaan sepatutnya hendaklah berdasarkan iman dan pegangan agama bukan berdasarkan harta mahupun pangkat.

5. Islam ialah agama Allah untuk manusia sejagat. Justeru, tiada kelebihan bagi sesiapa ke atas yang lain dengan sebab harta atau pangkat.


Mohd Hafiza Hafiz bin Baharuddin

TAZKIRAH “Jangan Menyakiti Hati Sesama Muslim”

“Jangan Menyakiti Hati Sesama Muslim”
Hadith:

Daripada Abu Hubairah A’id bin Amru al-Muzanni dia adalah seorang daripada ahli Bai’ah ar-Ridhuan RA, bahawa Abu Sufian datang kepada Sulaiman, Suhaib, Bilal dan beberapa orang sahabat lagi lalu mereka berkata,”Pedang-pedang Allah belum selesai tugasnya mengambil musuh-musuh Allah”. Berkata Abu Bakar RA, inikah yang kamu katakan terhadap seorang kenamaan Quraisy dan penghulunya?” Lalu beliau mengadap Rasulullah SAW dan memberitahunya, maka nabi bersabda, “Wahai Abu Bakar boleh jadi engkau telah menyebabkan kemarahan mereka. Jika engkau telah menyebabkan mereka marah sesungguhnya engkau telah menyebabkan kemarahan tuhan kamu”. Maka Abu Bakar menemui mereka tadi dan berkata, “Wahai saudara-saudaraku, adakah aku telah menyebabkan kemarahan kamu?” Mereka berkata, “Tidak, semoa Allah mengampuni bagimu wahai saudaraku”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Orang Islam disuruh lebih mengutamakan perhubungan sesama mereka dengan tidak bercakap sesuatu yang boleh menyinggung perasaan.

Allah SWT tidak meredhai seseorang terhadap sesuatu perkataan atau perbuatan yang menyakitkan hati saudaranya sesama Islam.

Islam menggalakkan umatnya menjalin hubungan yang baik antara mereka.

TAZKIRAH “Haram Memakai Emas Bagi Lelaki”

TAZKIRAH

“Haram Memakai Emas Bagi Lelaki”

Hadith:

Daripada Abu ‘Umarah al-Bara’ bin ‘Azib R.huma katanya, “Rasulullah SAW menyuruh kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, melepaskan sumpah orang yang bersumpah, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam apabila bertemu. Baginda menegah kami daripada memakai cincin emas, minum dengan bekas yang dibuat daripada perak, menggunakan lapik duduk sutera dan memakai pakaian yang dibuat daripada sutera, sutera tebal dan sutera Dibaj(dari Yaman)”.
Dalam riwayat lain, ditambah perkara yang disuruh mengerjakannya iaitu: menanyakan barang yang hilang dan belum dijumpai.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Melepaskan sumpah orang yang bersumpah bermaksud, melaksanakan apa yang diminta secara bersunggguh-sungguh engkau melakukannya sehingga menyebabkan dia bersumpah, seperti katanya: “Demi Allah, engkau mesti melakukan sekian dan sekian.

2. Lapan perkara yang disuruh oleh nabi SAW iaitu:

Memberi salam apabila bertemu.
Memenuhi undangan.
Memberi nasihat jika diminta.
Mendoakan dengan ucapan “يرحمك الله” setelah orang bersin menyebut “الحمد لله”.
Menziarahi orang yang sakit.
Mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Menoling orang yang dizalimi.
Menanyakan barang yang hilang (menghebahkan)

3. Perkara-perkara yang dilarang oleh nabi melakukannya:

Memakai cincin emas bagi lelaki dan bukan bagi perempuan.
Minum dengan menggunakan bekas emas dan perak bagi lelaki maupun perempuan.
Menggunakan lapik duduk yang diperbuat daripada sutera yang diisi degan kapas atau sebagainya bagi lelaki.
Memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera dan campuran dengan yang lain, sutera yang dipanggil ‘Istibrak’ dan sutera tebal yang dipanggil ‘Dibaj’ (semuanya bagi lelaki).

FATWA “Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi”

FATWA
“Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi”
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.

Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/status-pampasan-polisi-insurans-konvensional-selepas-kematian-pembeli-polisi

TAZKIRAH “Hasad Dengki Adalah Haram”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, haratanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Orang Islam tidak boleh bersifat dengki-mendengki, benci-membenci dan pulau memulau antara satu dengan lain.

2. Orang islam tidak boleh membuat spekulasi harga yang bertujuan menipu orang ramai dalam urusan perniagaan.

3. Orang Islam berkewajipan menjaga kepentingan orang Islam yang lain.

4. Hasad dengki adalah haram kerana seolah-oleh menentang ketentuan Allah SWT.

5. Memulaukan saudara seagama dengan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari adalah haram kecuali kerana sebab-sebab yang diharuskan.

6. Islam ialah agama yang sempurna merangkumi aqidah, syariah (muamalah dan ibadah) dan akhlak, tidak sempurna salah satunya tanpa yang lain, kesemuanya terkumpul dalam satu kalimat iaitu “takwa” yang tempatnya ialah jantung hati.

TAZKIRH “Kemuliaan Tidak Diukur Pada Zahir Sahaja”

TAZKIRAH

“Kemuliaan Tidak Diukur Pada Zahir Sahaja”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW sabdanya, “Sesungguhnya akan datang pada hari kiamat seorang yang gemuk lagi besar, tetapi tidak bernilai disisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Kemulian seseorang disisi Allah tidak diukur dari sudut kesenangan hidupnya semasa di dunia.

Islam tidak menilai seseorang itu dengan pandangan zahir sahaja yang ada padanya di dunia.

Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan beribadatlah dengan sebenar-benar ibadah dengan tulus ikhlas.

TAZKIRAH “Kewajipan Menjaga Keamanan”

Hadith:

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang lalu di dalam kawasan masjid atau pasar kami dengan membawa panah, maka hendaklah ia memegang (menutup) mata panah itu dengan tangannya kerana ditakuti terkena salah seorang daripada muslimin dengan panah itu”.
(Muttafaqun ‘alaih)

Huraian Hadith:
1. Setiap orang Islam hendaklah mempastikan dirinya tidak menjadi ancaman kepada orang Islam yang lain.

2. Setiap orang Islam mestilah tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan apa jua cara sekalipun.

3. Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menjaga keamanan dan keselamatan orang Islam yang lain.

4. Hadis ini menunjukkan sifat penyayang nabi kita kepada umatnya dengan sentiasa menitik beratkan keselamatan mereka.

5. Islam telah menggariskan adab membawa senjata. Senjata tidak harus dibawa tanpa tujuan yang dibenarkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang lain atau menguasai mereka.

FATWA “Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid”

“Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah

Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta’abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelancong-bukan-islam-memasuki-masjid-dan-ruang-solat-utama-di-dalam-masjid

TAZKIRAH “Dialog Syurga Dan Neraka”

“Dialog Syurga Dan Neraka”
Hadith:

Daripada Abu Said al-Khudriy RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Telah bertengkar syurga dan neraka, maka berkatalah neraka, “Untukku golongan orang-orang yang kejam dan sombong (yang tidak mempunyai belas kasihan)”. Kemudian berkata pula syurga, “Untukku golongan orang-orang yang lemah dan miskin”. Maka Allah memutuskan diantara kedua-duanya. Sesungguhnya engkau syurga tempat rahmatku, aku memberi rahmat denganmu kepada sesiapa yang aku kehendaki, dan sesungguhnya engkau neraka tempat siksaan aku menyiksa denganmu sesiapa yang aku kehendaki dan adalah menjadi tanggungjawab untuk memenuhkan kamu berdua (syurga dan neraka)”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Syurga dan neraka disediakan oleh Allah SWT sebagai tempat yang terakhir untuk pembalasan kepada makhluk mengikut amalan masing-masing.

Setiap orang yang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga walaupun kebajikan sebesar zarrah. Begitu juga setiap perbuatan yang mungkar itu akan dibalas dengan balasan yang setimpal dengannya.

Orang beriman yang lemah dan miskin yang dipandang rendah oleh manusia dijanjikan dengan syurga selagi mereka tetap dengan keimanan dan kepatuhan kepada hukum serta bersabar atas apa yang telah ditentukan Allah bagi mereka, manakala orang yang takbur dan sombong dijanjikan untuk mereka neraka dan azab yang pedih.

TAZKIRAH “Menutup Keaiban Orang lain”

“Menutup Keaiban Orang lain”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW sabdanya, “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba didunia melainkan Allah menutup keaibannya di hari kiamat”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Islam mengajar umatnya supaya tidak mendedahkan keburukan seseorang kepada orang lain.

Sesiapa yang menutup keburukan saudara seagamanya nescaya Allah menutup keburukannya di hari kiamat kerana ganjaran yang disediakan sesuai dengan amalan yang dilakukan.

1 10 11 12 13 14 25