Ucapan Selamat Hari Raya Aidifitri daripada PKPPI

Ruj: PKPPI / 2012 / 58

15 Ogos 2012M
26 Ramadhan 1433H

Assalammualaikum W.B.T

Y.Bhg. Tan Sri / Dato / Datin / Tuan / Puan,

Ucapan Selamat Hari Raya Aidifitri daripada PKPPI

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Sepertimana sedia maklum, kita sudah berada di akhir ramadhan dan bakal menyambut kedatangan Eid ul-fitr yang dijangka pada 19 Ogos 2012 (Ahad). Sehubungan dengan itu saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam (PKPPI) dan Surau Ad-Deeniah ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada seluruh warga PKPPI. Pihak kami juga mendoakan supaya perjalanan Y.Bhg. Dato/Datin/Tuan/Puan agar selamat tiba ke destinasi masing-masing ke mana jua berada.

Sekian.

Yang benar,

Hisyamuddin Bin Bahari
Yang Di Pertua
Persatuan Kebajikan Pekerja- pekerja Islam

BANNER UCAPAN HARI RAYA DARI PKPPI

TAZKIRAH “Berpuasa dalam musafir” & “Amalan Di Malam Hari Raya”

Hadith Pertama:

Jabir Ibn Abdillah r.a berkata : Rasulullah SAW berada dalam salah satu perjalanan, maka baginda melihat orang berkerumun dan baginda melihat seorang lelaki telah dinaungi. Kerana itu baginda bertanya: Mengapa orang ini? para sahabat menjawab: Dia berpuasa. Mendengar hal tersebut Nabi bersabda: Bukanlah kebajikan, berpuasa dalam safar (perjalanan).
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

Dalam musafir, seseorang yang berpuasa digalakkan berbuka sekiranya ia menimbulkan kesukaran dan memudharatkan diri. Namun puasa tersebut hendaklah diqadha’ (diganti) semula.

“Amalan Di Malam Hari Raya”
Hadith Kedua :

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu.
(Riwayat Ibnu Majah)
Huraian Hadith:

1. Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan Takbir dan Tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang-orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah S.W.T.

2. Sebaliknya orang-orang yang kufur dan ingkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa dengan sebuiruk-buruk balasan.

TAZKIRAH “Menyegerakan Hutang Puasa”

Hadith:
Aisyah r.a. berkata: Dulu kami datang haid di zaman Rasulullah S.A.W. Maka kami diperintahkan mengqadha puasa dan tidak diperintahkan mengqadha solat.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1. Bagi kaum wanita yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa sunat 6 hari dalam Syawal akan memberi peluang terbaik untuk mereka mengqadha’ puasa di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat.

2. Kebiasaan melambatkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ibadat wajib jika ditinggalkan sewajarnya segera diqadha’ sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah S.W.T kerana apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha’ puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Oleh itu selagi kesempatan diberikan pergunakanlah ia dengan sebaik-baiknya kerana masa akan terus berlalu sedangkan Allah telah bersumpah dalam al-Quran yang maksudnya: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (al-Asr :1-3)

TAZKIRAH “Mencium isteri tidak membatalkan puasa”

“Mencium isteri tidak membatalkan puasa”
Hadith:

Aisyah r.a berkata : Sesungguhnya Rasulullah SAW sering mencium isteri-isterinya sedangkan baginda sedang berpuasa. Kemudian Aisyah tertawa.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

Mencium isteri tidak membatalkan puasa. Namun bagi orang yang tidak kuat menahan nafsunya hal tersebut tidak digalakkan kerana ia akan membawa kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

TAZKIRAH “Berbuka Yang Diharuskan”

TAZKIRAH]

“Berbuka Yang Diharuskan”
Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadha’kan dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.
(Riwayat Ibnu Majah, Abu Daud & At-Tirmidzi)
Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.

ii) Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada diri atau pun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.

iii) Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada’kan semula puasanya di bulan yang lain.

iv) Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidak wajib qadha dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis rasulullah s.a.w menyebutkan yang maksudnya: Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya” ( Bukhari dan Muslim). ”

v) Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa.

Program Qiyammulail Ramadhan Surau Ad-Deeniah, PPUM

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Surau Ad Deeniah pada kali ini telah memilih dua malam ganjil akhir Ramadhan bagi mengadakan Program Qiyammulail Ramadhan. Program tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pihak untuk melipatgandakan dan mencari ganjaran Lailatul Qadar. Butiran lanjut program adalah seperti berikut ;

Tarikh : 25 Ramadhan 1433H (Selasa) dan
27 Ramadhan 1433H (Khamis)

Masa : 4.00 pagi

Tempat : Surau Ad Deeniah, PPUM

3. Oleh demikian, Y.Bhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan adalah dijemput bagi mengikuti program tersebut. Semoga program tersebut dapat membantu kita mengingatkan semula keperluan ibadah di bulan Ramadan dan menjadikan ibadat kita pada tahun ini adalah yang terbaik seandainya Ramadan kali ini adalah yang terakhir untuk diri kita. Sebagai makluman pihak Jawatankuasa Surau Ad Deeniah juga menyediakan makanan untuk bersahur.

4. Dipohon supaya perkara ini dapat dipanjangkan kepada yang berkenaan. Kerjasama daripada semua pihak dalam perkara ini adalah didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

Yang benar,


Hisyamuddin Bin Bahari
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya

TAZKIRAH “Kelebihan Bersahur”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

ii) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

iii) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.

iv) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.

v) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

TAZKIRAH “Mengqada’ Puasa Wajib”

“Mengqada’ Puasa Wajib”

Hadith:
Dari Aisyah ra., ia berkata: Adalah aku mempunyai tanggungan puasa Ramadan, aku tidak dapat membayarnya kecuali pada bulan Sya’ban, karena kesibukan dari Rasulullah saw. atau kesibukan bersama Rasulullah saw.

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
Allah tidak membezakan penilaian terhadap kualiti ibadah yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya sama ada lelaki mahu pun wanita di mana kaum wanita secara tabi’ienya pasti terdapat kekurangan dalam ibadahnya dibanding laki-laki. Hal ini disebabkan mereka mungkin tidak dapat berpuasa beberapa hari di bulan Ramadhan dan tidak dapat mengerjakan solat disebabkan haid, begitu juga dengan beberapa ibadah yang lain yang dibenarkan oleh syarak. Namun semua itu hanyalah berlaku dalam penilaian kuantiti, bukan kualiti. Oleh itu bagi setiap wanita yang suci dan sihat tanpa sebarang keuzuran di sisi syarak hendaklah menggunakan peluang tersebut untuk mengerjakan amal ibadat dengan sebaik mungkin serta menggantikan puasa yang ditinggalkan itu mengikut ketetapan dan peraturan yang ditetapkan oleh syarak.

FATWA “Masalah Berbuka Puasa Di Tempat Yang Tinggi”

“Masalah Berbuka Puasa Di Tempat Yang Tinggi”
Huraian Tajuk/Isu:

Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'(Fatwa) telah menerima pertanyaan berkenaan dengan masalah berbuka puasa di tempat yang tinggi.

Keputusan:

Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'(Fatwa) telah membincangkan permasalahan ini dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar di dalam Islam dan mengambil keputusannya seperti berikut :
“Bahawa seseorang yang berpuasa itu apabila ia berbuka mestilah terbenamnya matahari. ”

Maka jelaslah bahawa setiap orang yang berpuasa itu apabila ia berbuka mestilah yakin tenggelamnya matahari di tempat di mana ia berada samada di atas (dalam penerbangan atau lainnya) atau di bawah (di bumi).

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/masalah-berbuka-puasa-di-tempat-yang-tinggi

TAZKIRAH “Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa”

“Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa”

Hadith:

Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan .
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Margrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan Tarawikh pula selepasnya.

1 12 13 14 15 16 25