TAZKIRAH “Keutamaan Korban”

TAZKIRAH “Keutamaan Korban”

Hadith:

Maksud Hadith;

Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati .
(Riwayat At-Tirmizi & Ibnu Majah)

Huraian Hadith:

1. Korban adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan keredhaanNya.

2. Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya.

3. Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu.

4. Islam menggalakkan umatnya agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.

TAZKIRAH “Berbelanja di Jalan Allah”

Hadith:

Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:

1. Islam menggariskan kelebihan berbelanja kepada tiga peringkat iaitu: 1)Perbelanjaan kerana kaum keluarga. 2) Berbelanja untuk binatang-binatang tunggangan pada jalan Allah, dan 3) berbelanja untuk kawan-kawan pada jalan Allah (menegakkan Agama Islam).

2. Islam mengingatkan umatnya supaya mengambil faedah daripada berbelanja kerana perbelanjaan yang tidak dikehendaki oleh Islam adalah sia-sia dan membazir.

3. Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mencari keredhaan Allah akan mendapat pembalasan yang setimpal.

4. Tiga perkara yang disebut dalam hadis adalah penting dan perlu didahulukan daripada yang lain dalam berbelanja.

TAZKIRAH “Keistimewaan Aidil Adha”

“Keistimewaan Aidil Adha”

Hadith:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Tidak ada suatu hari di mana Allah memerdekakan lebih banyak hamba-Nya dari api neraka kecuali di hari Arafah. Sesungguhnya pada hari ini Allah mengetahui hamba-hamba-Nya lalu Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
i) Setiap orang Islam yang cukup syaratnya wajib mengerjakan haji di Mekah.

ii) Ibadat haji merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk menghampiri Allah S.W.T yang juga disebut sebagai menyahut panggilan Baitullah atau menjadi tetamu Allah

di mana ibadat ini perlu dikerjakan dengan penuh ketelusan, keikhlasan dan keinsafan serta tidak terpesong dari tujuannya yang sebenar.

iii) Matlamat akhir yang diharapkan daripada kerja-kerja haji ialah untuk memperoleh dan mendapat haji yang mabrur, amalan yang banyak dan berkat serta dosa-dosa diampunkan. Apabila kembali dari tanah suci seseorang individu itu diharapkan benar-benar telah berubah, bersih, suci seperti sucinya diri semasa dilahirkan.

iv) Di antara amalan yang dilaksanakan dalam ibadah haji ialah:

a) Bertawaf di sekeliling Kaabah- sebagai menghormati Masjidil Haram dan jika berpeluang disunatkan untuk mencium Hajarul Aswad .
b) Wukuf di Padang Arafah- sebagai mengingatkan diri tentang satu perhimpunan raksasa di Padang Mahsyar di Hari Kiamat kelak.
v) Bagi orang Islam yang tidak berpeluang menunaikan ibadat haji, mereka sebenarnya masih berpeluang untuk sama-sama mengaut pahala yang besar sempena hari Arafah tersebut di mana mereka digalakkan berpuasa sunat pada hari wukuf di Arafah itu kerana sesungguhnya Allah S.W.T akan mengampunkan dosa orang yang berpuasa sunat pada hari Arafah iaitu setahun sebelum dan setahun selepas melaksanakan puasa sunat tersebut.

TAZKIRAH “Hikmah Berkorban”

“Hikmah Berkorban”
Hadith:

Dari Aisyah r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya: Berkorbanlah kamu dengan hati yang redha, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat.
(Riwayat Al-Baihaqi)
Huraian Hadith:

1. Darah korban itu dapat memberatkan timbangan kebajikan di hari kiamat setelah amal dihisab di hadapan Allah s.w.t.

2. Berkorban dapat mendekatkan diri (taqarrub kepada Allah S.W.T.) disamping dapat berbakti kepada manusia.

3. Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s. itu menjadi satu ibadat yang utama bagi umat Muhammad s.a.w.

4. Binatang korban, daging tulang dan sebagainya, dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan yang memerlukan. Dengan cara ini umat Islam dapat merapatkan lagi hubungan mesra sesama Islam, disamping dapat bantu membantu antara satu sama lain.

5. Berkorban juga adalah tanda kesyukuran di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia.

FATWA “Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam”

FATWA

“Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002 telah membincangkan Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan pelalian meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus. Manakala vaksin pelalian meningococcal Miningitis Monumune yang mengandungi unsur daripada babi adalah haram.

Keterangan/Hujah:

Penyakit ‘Meninggococcal Meningitis adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan penyakit ini menyebabkan radangan pada bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Bakteria ini berjangkit melalui hubungan secara lansung (close contact) dengan titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah di antara 2 hingga 10 hari. Mereka yang mengidap jangkitan ini akan mengalami demam, loya, bisa kepala dan sakit tengkuk (neck stiffness).Antara 5 hingga 10% pengidap tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal tetapi masih berupaya menularkan penyakit (symtomless carriers). Dengan rawatan awal, kadar kematian dari jangkitan penyakit ini adalah dari 5 hingga 15%, tetapi jika tanpa rawatan kadar kematian akan melebihi 50%. Diagnosa penyakit ini melibatkan ujian makmal khas seperti ujian cecair tulang belakang (cerebral spinal fluid).

Kejadian penyakit ‘Meninggococcal Meningitis di Malaysia berlaku secara sporadic dan pada kadar yang rendah (50 kes setahun). Walau bagaimanapun kejadian penyakit ini di Benua Afrika Utara adalah tinggi dan sering berlaku wabak. Langkah utama pencegahan penyakit ini adalah melalui penjagaan kesihatan diri yang baik serta mengelakkan ke tempat orang ramai yang sesak yang disyaki mempunyai jangkitan penyakit berkenaan. Jangkitan penyakit ini boleh dicegah melalui pelalian menggunakan Vaksin ‘Meningococcal Meningitis. Pelalian boleh melindungi seorang dari jangkitan kuman penyakit tersebut bagi tempoh yang terhad mengikut jenis Vaksin Meninggococcal Meningitis yang digunakan.

Kerajaan Arab Saudi mendapati risiko jangkitan ‘Meningococcal Meningitis di kalangan jemaah haji dan umrah semasa di Arab Saudi adalah tinggi dan atas sebab itu semua bakal haji dan umrah adalah diwajibkan mendapatkan pelalian ‘Meninggococcal Meningitis yang sah sebelum visa haji/umrah dikeluarkan. Peraturan mewajibkan pelalian ‘Meninggococcal Meningitis ke atas bakal jemaah haji dan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi telah bermula sejak tahun 1988 lagi. Pada mulanya jenis vaksin yang diwajibkan digunakan kepada bakal
jemaah haji dan umrah adalah Vaksin ‘Meningococcal Mengintis A, C. Walaubagaimanapun disebabkan terdapat perubahan corak jenis kuman yang menyebabkan jangkitan penyakit, mulai tahun 2002 Kerajaan Arab Saudi mewajibkan penggunaan Vaksin ‘Meninggococcal Meningitis jenis A, C, Y, W135 yang juga dikenali sebagai Vaksin ‘Meningococcal Meningitis Quadrivalent (ACYW135). Satu suntikan Vaksin ‘Meningococcal Meningitis (ACYW135) boleh memberi perlindungan kepada individu berkenaan selama 3 tahun dari jangkitan penyakit ‘Meninggococcal Meningitis yang disebabkan oleh kuman Nisseria Meningitidies dari SerotypeA, C, Y, dan W135.

Pada masa ini di Malaysia terdapat dua (2) jenama Vaksin ‘Meninggococcal Quadrivalent dalam pasaran, yang didaftar dan diluluskan penggunaannya oleh Biro Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jenama tersebut adalah seperti berikut:

Jenama : Monumune Injection
Pengeluar : Syarikat Aventis Pharma, Malaysia
(Bahan mentah yang digunakan termasuk sumbersumber bovine (lembu), porsin (khinzir) dan Avian (itik). Bahagian yang digunakan termasuk susu, limpa dan bulu itik)

Jenama : Mencevax Injection
Pengeluar : Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (Produk ini tidak mengandungi bahan dari sumber binatang kecuali laktosa daripada susu lembu)

Vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dari jenama Mencevax yang dipasarkan oleh Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceutical.

Pada prinsipnya ulama sepakat bahawa makanan (termasuk perubatan) yang dibenarkan oleh Islam menggunakannya adalah bahan yang baik (toyyib) yang tidak mempunyai unsur-unsur yang merbahaya kepada kesihatan badan dan akal manusia. Al-Quran dan hadis telah memperakui bahawa setiap bahan yang asalnya halal dan bersih akan berubah hukum penggunaannya kepada haram jika wujud unsur-unsur najis ketika pemprosesan bahan tersebut dilakukan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

“Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor”. (al-A`raf: ayat 156)

Bahan ubatan yang menggunakan bahan yang diragui kehalalannya adalah haram. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia; apakah ia termasuk bahagian yang halal atau haram. Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat. Dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang mengembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir jatuh kepadanya. Ingatlah, bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan”.

Kefahaman dan penghayatan tentang aspek perubatan sangat penting kerana ia akan memberi kesan bukan sahaja aspek kejiwaan pesakit malah juga dari aspek ibadat pesakit tersebut. Umpamanya seseorang Islam yang memakan atau menggunakan bahan perubatan yang haram atau najis maka ibadatnya tidak akan diterima Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada (perkara) yang haram, maka api neraka lebih layak baginya”. (Riwayat al-Tabrani)

Walaubagaimanapun sekiranya tidak didapati oleh pesakit (atau orang yang memerlukan) melainkan dalam keadaan dharurat dan terpaksa menggunakan anggota haiwan yang tidak halal, maka tidak menjadi kesalahan kerana keperluan yang mendesak tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

“Sesiapa yang terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. ( al-Baqarah: ayat 173)

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/suntikan-pelalian-vaksin-meningococcal-meningitis-oleh-orang-islam

TAZKIRAH “Orang Paling Sempurna Imannya”

“Orang Paling Sempurna Imannya”
Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik (pergaulan) dengan isterinya”.

(Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan Sohih)
Huraian Hadith:
Akhlak yang baik adalah ciri-ciri kesempurnaan iman.

Iman yang sempurna dan akhlaknya yang baik adalah dua faktor utama dalam pembentukan peribadi yang mulia.

Pergaulan suami isteri yang baik dan harmoni adalah dituntut dalam Islam dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

TAZKIRAH “Ingatlah Golongan Yang Lemah”

“Ingatlah Golongan Yang Lemah”
Hadith:

Daripada Mus’ab bin Abu Waqas R.huma katanya, “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang lain”. Maka Nabi SAW bersabda, “Kamu tidak ditolong dan diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah (dikalangan kamu)”.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
Orang Islam yang merasakan dirinya mempunyai kelebihan hendaklah merendahkan dirinya kerana kelebihan itu sendiri wujud dengan adanya golongan yang lemah dan tidak bernasib baik.

Pertolongan dan rezeki Allah kepada sesuatu golongan manusia atau masyarakat adalah disebabkan adanya golongan lemah dalam kelompok atau sesuatu masyarakat.

TAZKIRAH “Nilai Korban dan Solat Jumaat”

Hadith:

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu. Hari Jumaat juga dinamakan ˜Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ˜waktu mustajab’. Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

FATWA “Hukum Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Qurban dan Aqiqah telah disyariatkan dalam al-Quran dan Sunnah dan kedua-duanya merupakan sembelihan sunat yang bertujuan untuk taqarrub kepada Allah s.w.t.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum Qurban dan Aqiqah ke atas haiwan yang diimport adalah berdasarkan hukum yang telah disepakati oleh para fuqaha’, iaitu bagi anak kambing muda ianya sesuai untuk dijadikan qurban apabila umurnya genap setahun dan telah masuk ke tahun yang kedua. Manakala bagi unta disyaratkan umurnya memasuki enam tahun dan bagi kambing dan lembu pula hendaklah telah memasuki umur tiga tahun. Bagi biri-biri pula hendaklah memasuki umur dua tahun.

Muzakarah juga menasihatkan para pengimport haiwan ternakan untuk tujuan ibadah Qurban atau Aqiqah hendaklah berusaha bersungguh-sungguh memastikan haiwan import tersebut mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan kerana Qurban dan Aqiqah merupakan satu amal ibadah yang bersifat ta’abbudiyyah (kehambaan kepada Allah s.w.t) yang perlu dilaksanakan secara sempurna.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-qurban-dan-aqiqah-ke-atas-haiwan-import-yang-tidak-diketahui-umurnya

TAZKIRAH “Orang Berkemampuan Dituntut Untuk Berkorban”

“Orang Berkemampuan Dituntut Untuk Berkorban”
Hadith:
Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: Sesungguhnya sudah menjadi kewajipanku berkorban seekor unta dan aku orang kaya tetapi aku tidak dapat mencari unta untuk dibeli. Orang itu diperintahkan oleh Nabi s.a.w. supaya membeli tujuh ekor kambing lalu disembelihnya .

(Riwayat Ahmad & Ibnu Majah)

Huraian Hadith:
1. Ibadat korban adalah salah satu suruhan agama yang telah disyariatkan dalam Islam, oleh itu bagi mereka yang berkemampuan untuk berkorban, maka hendaklah berkorban demi melaksanakan syariat tersebut.

2. Keutamaan binatang korban dimulai daripada unta, jika tidak ada unta berkorbanlah dengan lembu, jika tidak ada lembu berkorbanlah dengan tujuh ekor kambing.

3. Korban yang paling sedikit ialah seekor kambing iaitu untuk seorang, manakala seekor unta atau lembu pula adalah untuk tujuh orang.

1 8 9 10 11 12 25