TAZKIRAH “Siapakah Ahli Neraka?”

“Siapakah Ahli Neraka?”
Hadith:

Daripada Usamah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Aku berdiri dimuka pintu syurga lalu (kelihatan) kebanyakan orang yang masuk kedalamnya ialah orang-orang yang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan, manakala ahli-ahli neraka pula disuruh bawa ke dalam neraka. Ketika aku berdiri dipintu neraka pula (kelihatan) kebanyakan yang masuk ke dalam ialah orang-orang perempuan”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Islam melarang umatnya daripada menghina orang-orang miskin kerana kemungkinan mereka mendapat tempat yang mulia disisi Allah.

Orang-orang perempuan hendaklah sentiasa mengawasi diri mereka lebih daripada lelaki kerana mereka mudah terdedah kepada melakukan perkara-perkara yang keji yang mengakibatkan mereka mudah masuk neraka.

Orang-orang miskin sekalipun mereka dhaif tetapi sekiranya mereka bersabar dengan kesusahan yang mereka hadapi serta membuat amalan-amalan baik nescaya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Rasulullah dapat mengetahui perkara ghaib seperti keadaan syurga dan neraka dengan diberitahu oleh Allah.

Wanita yang menjadi ahli neraka ialah yang derhakakan Allah, tidak menunaikan hak Allah dan hak manusia seperti nusyuz dan menafikan budi baik suami.

TAZKIRAH “Larangan Menunjuk-nunjuk Kejahatan”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain). Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan diwaktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah telah menutupinya”, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku telah melakukan begini dan begini”. Orang itu semalam-malaman telah ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Amaran dan celaan daripada Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosanya kepada orang lain.

2. Orang Islam yang telah terlanjur melakukan dosa dilarang daripada membuat hebahan supaya diketahui oleh orang lain dan dinasihatkan supaya dia bertaubat kepada Allah SWT.

3. Melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya menunjukkan bahawa seseorang itu memandang remeh dan memperkecilkan agama, merendah-rendahkan hak Allah dan Rasulnya serta golongan yang soleh.

TAZKIRAH “Fadhilat dan Hikmah Korban”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu “.
(Riwayat At-Tirmizi)

Huraian Hadith:

i) Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

ii) Antara hikmah korban adalah:

a) Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta’ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.

b) Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.

c) Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

iii) Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:

a) Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”.(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

b) Sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: “Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

c) Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: “Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.”

FATWA “Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalani Rawatan Hemodialisis”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-84 yang bersidang pada 15 Disember 2008 telah membincangkan Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalani Rawatan Hemodialisis. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pesakit yang menghidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji;

2. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji (upah haji) sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan

3. Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.

Keterangan/Hujah:

1. Islam secara prinsipnya tidak memberatkan umatnya terhadap sesuatu perkara melainkan sekadar yang termampu. Demikian juga, kewajipan menunaikan haji yang terikat dengan syarat-syarat yang khusus, salah satu daripadanya ialah berkemampuan untuk menunaikannya.

2. Allah swt telah meletakkan kemampuan sebagai syarat untuk diwajibkan haji antaranya ialah mempunyai tubuh badan yang sihat dan terhindar daripada segala kesakitan yang boleh menghalang daripda melakukan perkara yang perlu dalam masa merantau untuk mengerjakan haji.

3. Menurut fuqaha’ Syafiiyyah, yang dimaksudkan dengan kemampuan fizikal ialah sihat tubuh badan, boleh menaiki ataupun menunggang kenderaan dengan baik tanpa menghadapi sebarang kesukaran dan kesusahan yang teruk. Tanpa ini mereka dikira tidak mampu untuk mengerjakan sendiri.

Ahli Majlis Fatwa al-Lajnatu al-Da’imatu Lilbuhusi al-Ilmiyyati wa al-Ifta’ mengatakan bahawa al-Istita’ah dalam haji ialah mestilah sihat dari segi tubuh badan, memiliki kenderaan yang boleh sampai ke sana sama ada kapal terbang, kereta atau sebagainya. Di samping itu juga mempunyai bekalan yang mencukupi baginya untuk pergi dan balik dengan syarat bekalan itu melebihi daripada sara hidup mereka yang di bawah tanggungannya sehingga dia pulang dari mengerjakan haji.

Kebiasaannya mereka yang menjalani rawatan hemodialisis merupakan pesakit yang mempunyai harapan yang tipis untuk sembuh sepenuhnya.

Berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini, jemaah haji yang mempunyai penyakit kronik seperti mereka yang menjalani rawatan hemodialisis ini akan menghadapi banyak masalah lebih-lebih lagi semasa wukuf dan ramai di antara mereka yang meninggal dunia.

Kerajaan Arab Saudi juga tidak mampu menyediakan peralatan hemodialisis yang banyak kepada semua jemaah haji.

Kebanyakan ulama’ berpandangan bahawa mereka yang menghadapi penyakit kronik dan terikat kepada rawatan tidak wajib menunaikan haji kerana situasi mereka dianggap sebagai darurat.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-menunaikan-haji-bagi-pesakit-yang-menjalani-rawatan-hemodialisis

TAZKIRAH “Ganjaran Syuraga Bagi Penjaga Anak Yatim”

Hadith:

Daripada Sahal bin Sa’ad RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga begini, dan baginda menunjukkan dengan jari telunjuk dan jari tengah dan baginda merenggangkan antara kedua-dua jarinya”.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Orang yang menjaga anak yatim dibalas dengan balasan syurga oleh Allah dan diberi keistimewaan dengan darjat dan kedudukan Nabi SAW.

2. Islam memberi perhatian khas kepada anak yatim supaya nasibnya terbela.

TAZKIRAH “Menolong Orang Zalim dan Yang Dizalimi”

Hadith:
Daripada Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”, berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” jawab baginda, “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya”.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Orang Islam wajib menolong saudaranya yang dizalimi.

2. Orang Islam wajib menahan dan mencegah saudara seagamanya daripada melakukan kezaliman. Inilah yang dimaksudkan dengan menolong saudara yang zalim, kerana dengan menghalangnya daripada kezaliman bererti kita telah menyelamatkan daripada dosa dan azab.

3. Islam ialah agama yang menentang kezaliman dalam apa-apa bentuk sekalipun sama ada berpunca daripada orang-orang Islam sendiri atau daripada yang bukan Islam.

TAZKIRAH “Anak Perisai Api Neraka”

Hadith:

Daripada Aisyah R.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Orang Islam disuruh memenuhi hajat orang yang meminta sekali pun dengan pertolongan yang sedikit.

2. Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya.

3. Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anaknya dengan sempurna dijamin bebas daripada api neraka.

4. Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan. Ia akan menjadi perisai daripada api neraka jika dilakukan seperti yang diperintah Allah dan rasulnya.

TAZKIRAH “Tanggungjawab Seorang Pemimpin”

Hadith:

Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib’iey RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku berdiri untuk mengerjakan solat dan bercadang memanjangkan bacaan, tiba-tiba aku terdengar tangisan anak kecil lalu aku percepatkan solat kerana bimbang menyusahkan ibunya”.

(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Seorang imam yang sedang mengimamkan solat boleh mempercepatkan solatnya jika ada perkara yang penting yang perlu dia menyegerakannya.

2. Seorang imam hendaklah mengetahui keadaan yang dihadapi oleh makmumnya.

3. Seorang ketua hendaklah mengambil berat setiap masalah yang dihadapi oleh pengikutnya.

4. Islam ialah agama yang sesuai dan mudah dilaksanakan. Ia meraikan atau memelihara keadaan manusia dan kemampuan mereka kerana Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang dia mampu.

5. Para imam dan khatib hendaklah mencontohi Rasulullah SAW dalam melaksanakan tugas mereka supaya lebih berkesan dan tidak menjemukan para jemaah.

FATWA “Hukum Memakai Mask (Penutup Mulut Dan Hidung) Bagi Jemaah Haji Dalam Ihram”

“Hukum Memakai Mask (Penutup Mulut Dan Hidung) Bagi Jemaah Haji Dalam Ihram”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 – 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Memakai Mask (Penutup Mulut Dan Hidung) Bagi Jemaah Haji Dalam Ihram. Muzakarah berpandangan bahawa mencegah penularan wabak yang boleh membahayakan nyawa dan kesihatan semasa menunaikan ibadah haji atau umrah amat dituntut oleh Islam. Oleh itu, dalam keadaan di mana sesuatu penyakit itu telah menjadi wabak, Islam memberi pengecualian dan kelonggaran kepada para jemaah untuk menutup sebahagian muka walaupun ia merupakan perkara yang dilarang semasa menunaikan ibadah haji atau umrah.

Oleh yang demikian, Muzakarah memutuskan bahawa jemaah haji dan umrah ketika di dalam ihram diharuskan menutup sebahagian muka dengan memakai mask (penutup mulut dan hidung) serta tidak perlu membayar dam.

Keterangan/Hujah:
Menjaga kesihatan badan lebih-lebih lagi ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah di Makkah adalah sangat-sangat dititikberatkan oleh Islam. Oleh itu setiap jemaah haji perlu mengikut langkah-langkah pencegahan terutama penggunaan mask bagi menjaga kesihatan diri mereka daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

Penularan wabak ini tidak dapat tidak perlu ada usaha untuk mencegah supaya diri terus terpelihara dan sihat serta dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna. Di dalam kaedah fiqhiyyah:
” الحاجة تنـزل منـزلة الضرورة ”

iaitu Hajat menepati darurat. Maksud hajat ialah jika tidak disempurnakan nescaya melibatkan atau mendatangkan kesukaran atau kesusahan.

Seseorang lelaki yang berihram dilarang daripada menutup semua bahagian kepalanya atau sebahagiannya dengan apa sahaja yang boleh dikira sebagai menutupnya, sama ada pakaian berjahit atau pun tidak. Semua larangan ini dikecualikan jika terdapat keperluan yang memaksa seperti untuk tujuan pengubatan dan rawatan.

Di dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebutkan mengenai larangan ke atas perempuan yang menutup seluruh anggota badan termasuk wajah kerana ihram perempuan adalah pada mukanya.

Walaubagaimanapun, dalam keadaan di mana ia dianggap sebagai satu bentuk keuzuran yang tidak dapat dielakkan kerana jemaah haji terpaksa menutup muka dan hidung (sebahagian muka) kerana disebabkan sesuatu wabak, maka diharuskan bagi jemaah lelaki dan wanita untuk menutup sebahagian mukanya.

Semasa menunaikan haji atau umrah, terdapat perkara-perkara yang dilarang melakukannya dan dianggap berdosa dan diwajibkan membayar dam, walaubagaimanpun pertimbangan keadaan umat Islam masih diambilkira oleh Islam dalam hukum yang ditetapkan.

Dalam keadaan dharurat di mana suatu penyakit telah menjadi wabak yang mengancam nyawa seperti H1N1, tindakan pencegahan yang diambil bagi melindungi nyawa adalah dibenarkan oleh Islam dan tidak dikenakan dam (denda) walaupun ia merupakan perkara yang dilarang dalam keadaan biasa selaras dengan kaedah fiqhiyyah:
“درء المفاسد مقدم على جلب المصالح ”

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-memakai-mask-penutup-mulut-dan-hidung-bagi-jemaah-haji-dalam-ihram

TAZKIRAH “Hak Anak Yatim dan Orang Perempuan”

Hadith:

Daripada Abi Syuraih Khuwailid bin Amru RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah Sesungguhnya aku sangat mementingkan hak dua orang yang lemah iaitu hak anak yatim dan orang perempuan”.
(Riwayat An-Nasa’i)

Huraian Hadith:
1. Anak yatim dan orang perempuan adalah dua golongan anggota masyarakat yang perlu diberi perhatian khusus oleh orang Islam.

2. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap anggota masyarakat Islam untuk menolong mereka yang malang seperti anak-anak yatim dan orang-orang perempuan.

3. Islam ialah agama yang menjaga kebajikan setiap peringkat umatnya.

1 9 10 11 12 13 25