TAZKIRAH “Sunat Berpuasa Enam Hari Di bulan Syawal”

TAZKIRAH

“Sunat Berpuasa Enam Hari Di bulan Syawal”
Hadith:

Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun .
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.

2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.

3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

TAZKIRAH “Berpuasa dalam musafir” & “Amalan Di Malam Hari Raya”

Hadith Pertama:

Jabir Ibn Abdillah r.a berkata : Rasulullah SAW berada dalam salah satu perjalanan, maka baginda melihat orang berkerumun dan baginda melihat seorang lelaki telah dinaungi. Kerana itu baginda bertanya: Mengapa orang ini? para sahabat menjawab: Dia berpuasa. Mendengar hal tersebut Nabi bersabda: Bukanlah kebajikan, berpuasa dalam safar (perjalanan).
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

Dalam musafir, seseorang yang berpuasa digalakkan berbuka sekiranya ia menimbulkan kesukaran dan memudharatkan diri. Namun puasa tersebut hendaklah diqadha’ (diganti) semula.

“Amalan Di Malam Hari Raya”
Hadith Kedua :

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu.
(Riwayat Ibnu Majah)
Huraian Hadith:

1. Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan Takbir dan Tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang-orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah S.W.T.

2. Sebaliknya orang-orang yang kufur dan ingkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa dengan sebuiruk-buruk balasan.

TAZKIRAH “Menyegerakan Hutang Puasa”

Hadith:
Aisyah r.a. berkata: Dulu kami datang haid di zaman Rasulullah S.A.W. Maka kami diperintahkan mengqadha puasa dan tidak diperintahkan mengqadha solat.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1. Bagi kaum wanita yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa sunat 6 hari dalam Syawal akan memberi peluang terbaik untuk mereka mengqadha’ puasa di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat.

2. Kebiasaan melambatkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ibadat wajib jika ditinggalkan sewajarnya segera diqadha’ sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah S.W.T kerana apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha’ puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Oleh itu selagi kesempatan diberikan pergunakanlah ia dengan sebaik-baiknya kerana masa akan terus berlalu sedangkan Allah telah bersumpah dalam al-Quran yang maksudnya: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (al-Asr :1-3)

TAZKIRAH “Mencium isteri tidak membatalkan puasa”

“Mencium isteri tidak membatalkan puasa”
Hadith:

Aisyah r.a berkata : Sesungguhnya Rasulullah SAW sering mencium isteri-isterinya sedangkan baginda sedang berpuasa. Kemudian Aisyah tertawa.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

Mencium isteri tidak membatalkan puasa. Namun bagi orang yang tidak kuat menahan nafsunya hal tersebut tidak digalakkan kerana ia akan membawa kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

TAZKIRAH “Berbuka Yang Diharuskan”

TAZKIRAH]

“Berbuka Yang Diharuskan”
Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadha’kan dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.
(Riwayat Ibnu Majah, Abu Daud & At-Tirmidzi)
Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.

ii) Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada diri atau pun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.

iii) Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada’kan semula puasanya di bulan yang lain.

iv) Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidak wajib qadha dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis rasulullah s.a.w menyebutkan yang maksudnya: Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya” ( Bukhari dan Muslim). ”

v) Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa.

TAZKIRAH “Kelebihan Bersahur”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

ii) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

iii) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.

iv) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.

v) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

TAZKIRAH “Mengqada’ Puasa Wajib”

“Mengqada’ Puasa Wajib”

Hadith:
Dari Aisyah ra., ia berkata: Adalah aku mempunyai tanggungan puasa Ramadan, aku tidak dapat membayarnya kecuali pada bulan Sya’ban, karena kesibukan dari Rasulullah saw. atau kesibukan bersama Rasulullah saw.

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
Allah tidak membezakan penilaian terhadap kualiti ibadah yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya sama ada lelaki mahu pun wanita di mana kaum wanita secara tabi’ienya pasti terdapat kekurangan dalam ibadahnya dibanding laki-laki. Hal ini disebabkan mereka mungkin tidak dapat berpuasa beberapa hari di bulan Ramadhan dan tidak dapat mengerjakan solat disebabkan haid, begitu juga dengan beberapa ibadah yang lain yang dibenarkan oleh syarak. Namun semua itu hanyalah berlaku dalam penilaian kuantiti, bukan kualiti. Oleh itu bagi setiap wanita yang suci dan sihat tanpa sebarang keuzuran di sisi syarak hendaklah menggunakan peluang tersebut untuk mengerjakan amal ibadat dengan sebaik mungkin serta menggantikan puasa yang ditinggalkan itu mengikut ketetapan dan peraturan yang ditetapkan oleh syarak.

TAZKIRAH “Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa”

“Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa”

Hadith:

Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan .
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Margrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan Tarawikh pula selepasnya.

TAZKIRAH “Allah Melipatgandakan Pahala Bagi Orang Yang Berpuasa”

“Allah Melipatgandakan Pahala Bagi Orang Yang Berpuasa”

Hadith:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu . Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1. Antara keistimewaan puasa ramadhan ialah Allah akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi dari amalan-amalan lain sehingga Allah sendiri yang akan menentukan kadar pahala itu di akhirat.

2. Puasa adalah merupakan ibadat yang paling hampir dengan Allah iaitu bagi mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Ini kerana puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya.

3. Dua kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berpuasa;

i) Gembira ketika berbuka puasa dengan hidangan yang lazat apatah lagi semasa perut sedang lapar dan dahaga.
ii) Gembira kerana akan dapat menemui dan melihat Allah di dalam syurga kelak. Dan inilah nikmat yang agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.

TAZKIRAH “Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim”

“Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim”
Hadith:

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:

i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.
ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.
iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.
Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

1 7 8 9 10 11 17