TAZKIRAH “Kewajipan Menjaga Keamanan”

Hadith:

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang lalu di dalam kawasan masjid atau pasar kami dengan membawa panah, maka hendaklah ia memegang (menutup) mata panah itu dengan tangannya kerana ditakuti terkena salah seorang daripada muslimin dengan panah itu”.
(Muttafaqun ‘alaih)

Huraian Hadith:
1. Setiap orang Islam hendaklah mempastikan dirinya tidak menjadi ancaman kepada orang Islam yang lain.

2. Setiap orang Islam mestilah tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan apa jua cara sekalipun.

3. Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menjaga keamanan dan keselamatan orang Islam yang lain.

4. Hadis ini menunjukkan sifat penyayang nabi kita kepada umatnya dengan sentiasa menitik beratkan keselamatan mereka.

5. Islam telah menggariskan adab membawa senjata. Senjata tidak harus dibawa tanpa tujuan yang dibenarkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang lain atau menguasai mereka.

TAZKIRAH “Dialog Syurga Dan Neraka”

“Dialog Syurga Dan Neraka”
Hadith:

Daripada Abu Said al-Khudriy RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Telah bertengkar syurga dan neraka, maka berkatalah neraka, “Untukku golongan orang-orang yang kejam dan sombong (yang tidak mempunyai belas kasihan)”. Kemudian berkata pula syurga, “Untukku golongan orang-orang yang lemah dan miskin”. Maka Allah memutuskan diantara kedua-duanya. Sesungguhnya engkau syurga tempat rahmatku, aku memberi rahmat denganmu kepada sesiapa yang aku kehendaki, dan sesungguhnya engkau neraka tempat siksaan aku menyiksa denganmu sesiapa yang aku kehendaki dan adalah menjadi tanggungjawab untuk memenuhkan kamu berdua (syurga dan neraka)”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Syurga dan neraka disediakan oleh Allah SWT sebagai tempat yang terakhir untuk pembalasan kepada makhluk mengikut amalan masing-masing.

Setiap orang yang beriman akan dimasukkan ke dalam syurga walaupun kebajikan sebesar zarrah. Begitu juga setiap perbuatan yang mungkar itu akan dibalas dengan balasan yang setimpal dengannya.

Orang beriman yang lemah dan miskin yang dipandang rendah oleh manusia dijanjikan dengan syurga selagi mereka tetap dengan keimanan dan kepatuhan kepada hukum serta bersabar atas apa yang telah ditentukan Allah bagi mereka, manakala orang yang takbur dan sombong dijanjikan untuk mereka neraka dan azab yang pedih.

TAZKIRAH “Menutup Keaiban Orang lain”

“Menutup Keaiban Orang lain”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW sabdanya, “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba didunia melainkan Allah menutup keaibannya di hari kiamat”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Islam mengajar umatnya supaya tidak mendedahkan keburukan seseorang kepada orang lain.

Sesiapa yang menutup keburukan saudara seagamanya nescaya Allah menutup keburukannya di hari kiamat kerana ganjaran yang disediakan sesuai dengan amalan yang dilakukan.

TAZKIRAH “Enam Kewajipan Orang Islam”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, Kewajipan orang Islam kepada orang Islam yang lain ada lima perkara menjawab salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan mendoakan orang bersin”.

Dalam riwayat Muslim, “Kewajipan orang Islam terhadap orang Islam yang lain ada enam perkara, “Apabila berjumpa maka hendaklah memberi salam, jika kamu diundang hendaklah hadiri, apabila dia meminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin dan menyebut “الحمد لله” doakan dengan “يرحمك الله”, jika dia sakit lawatilah dia dan apabila dia meninggal maka iringilah jenazahnya”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Kewajipan yang merupakan sunat antara Islam ada enam perkara:
– Memberi salam apabila bertemu dan menjawab salam adalah wajib.
– Memenuhi undangan.
– Memberi nasihat jika diminta.
– Mendoakan dengan ucapan “يرحمك الله” setelah orang bersin menyebut “الحمد لله”.
– Menziarahi orang yang sakit.
– Mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
2. Hadis ini menunjukkan bahawa Islam memerintahkan umatnya supaya menjalin dan mengekalkan hubungan sesama mereka sehingga selepas mati.

TAZKIRAH “Amalan Sedekah Menyubur Keimanan”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anggota manusia dkehendaki memberi sedekah selagi matahari terbit. Mendamaikan antara dua orang (yang bertelingkah itu) merupakan sedekah, menolong orang yang hendak menaiki kenderaan adalah sedekah atau mengangkat barangan ke atas kenderaan adalah sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap langkah perjalanan untuk sembahyang adalah sedekah dan membuang benda yang berbahaya dari jalan adalah sedekah”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1. Setiap kebaikan yang dilakukan oleh anggota manusia adalah sedekah dan ia akan diberi balasan pahala oleh Allah SWT.

2. Islam menyuruh umatnya supaya sentiasa melakukan kebaikan kepada manusia dengan memberi pertolongan, menyumbang bantuan tenaga dan menghindarkan sesuatu yang mendatangkan mudharat kepada manusia.

3. Semua amalan baik yang dilakukan oleh seseorang dengan tulus ikhlas adalah merupakan ibadat dan ia akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

4. Kita wajib bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan, antara nikmatnya ialah anggota badan kita sangat besar manfatnya kepada kita, kerana itu kita wajib menggunakan anggota kita untuk melaksanakan perintah Allah atau apa yang harus dilakukan, atau sekurang-kurangnya tidak melakukan keburukan dan kejahatan. Oleh itu syukur terbahagi kepada : 1. Syukur wajib, iaitu dengan melakukan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. 2. Syukur sunat iaitu melakukan amalan-amalan sunat seperti zikrullah dan membantu manusia.

5. Sedekah bukan hanya dengan mengeluarkan harta dan wang ringgit malah makna sedekah lebih luas daripada itu seperti yang ditunjukkan oleh hadis ini iaitu bersedekah dengan tenaga dan bersedekah dengan kata-kata.

TAZKIRAH “Ciri-ciri Orang Yang Mulia Disisi Allah”

Hadith:

Daripada Abu hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Ramai orang yang rambutnya kusut dan berdebu ditolak daripada pintu-pintu rumah orang (kerana hinanya pada pandangan manusia) tetapi kalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya”.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Rupa paras dan nilai seseorang disisi masyarakat tidak dapat menggambarkan kedudukan seseorang disisi Allah kerana boleh jadi seorang yang buruk rupanya tetapi dia seorang yang mulia disisi Allah.

2. Antara ciri-ciri orang yang mulia disisi Allah ialah mereka yang diperkenankan doanya.

TAZKIRAH “Haram Mengkhianati Sesama Islam”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah SAW, ”Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya. Taqwa adalah di sini (sambil mengisyaratkan kedadanya). Sudah cukup seseorang itu untuk dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam.”

(Riwayat At-Tirmidzi)

Huraian Hadith:

1. Haram bagi orang Islam mengkhianati dan mendustakan orang Islam yang lain.

2. Menjadi kewajipan orang Islam untuk memelihara dan menjaga maruah dan harta benda orang Islam yang lain.

3. Haram menumpahkan darah Islam sesama.

4. Menghina seorang muslim adalah dosa besar kerana muslim ada penghormatannya di sisi Allah SWT.

5. Taqwa bukan perbuatan yang boleh dilihat atau perkataan yang boleh didengar, taqwa adalah sifat yang tersemat dihati sanubari, jika suatu perbuatan atau perkataan didorong oleh sifat itu maka perbuatan dan perkataan itu adalah dalil taqwa yang tersemat dalam hati, tetapi kadang-kadang perbuatan atau perkataan itu didorong oleh faktor luaran seperti riya’ dan ‘ujub.

TAZKIRAH “Menolong Orang Yang Dalam Kesusahan”

Hadith:

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, “Apabila Nabi SAW didatangi kepadanya oleh orang yang memerlukan pertolongan, baginda menghadap kepada sahabat-sahabatnya yang sedang duduk bersamanya lalu bersabda, “Bantulah dia nescaya kamu akan mendapat pahala, dan Allah akan menyempurnakan atas lidah nabinya yang disukai”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Didalam riwayat lain (apa yang dikehendakinya).

Huraian Hadith:
1. Orang Islam mestilah memberi sokongan kepada orang Islam yang lain dalam perkara-perkara kebajikan.

2. Allah SWT menjanjikan pahala yang besar kepada orang Islam yang suka menolong orang yang berada dalam kesusahan.

3. Segala permintaan (doa) Nabi SAW diterima oleh Allah SWT.

4. Memberi sokongan pada perkara-perkara kebajikan adalah digalakkan dan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT sama ada dengan sokongan hajat orang itu diterima atau sebaliknya.

TAZKIRAH “Bersatu Padu Asas Kekuatan Islam”

“Bersatu Padu Asas Kekuatan Islam”
Hadith:

Daripada Abu Musa RA katanya, sabda Rasulullah SAW : “Bandingan seseorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama sebuah bangunan yang bahagiannya saling menguatkan antara satu sama lain”. Dan baginda menjalinkan antara jari-jarinya.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Orang-orang Islam mestilah hidup tolong-menolong dan bersatu padu.

Tolong menolong dan bersatu padu adalah asas kekuatan dalam masyarakat Islam.

Hadis ini membuat perumpamaan untuk mendorong orang yang beriman supaya membudayakan sikap tolong menolong, bantu membantu sesama mereka. Ini kerana manusia tidak boleh hidup sendirian malah saling memerlukan antara satu sama lain, seperti sebuah bangunan yang bahagian-bahagiannya saling menguat dan melengkapkan antara satu sama lain. Walaupun kedudukan dan peranan mereka berbeza tetapi perbezaan itu adalah berdasarkan kepada persediaan dalaman masing-masing atau keupayaan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT.

Islam adalah agama kemasyarakatan dengan ertikata menggalakkan umatnya hidup bermasyarakat, setiap individu merupakan sekeping bata dalam bangunan kemasyarakatan, dia wajib memelihara hak orang lain sepertimana haknya wajib dipelihara oleh orang lain.

TAZKIRAH “Puasa Tanpa Izin”

“Puasa Tanpa Izin”
Hadith:

Dari Abu Hurairah r.a, katanya, Nabi s.a.w bersabda: Seorang wanita janganlah berpuasa (sunat) ketika suaminya ada, melainkan dengan izin suaminya; dan janganlah dia membolehkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya; dan sesuatu yang disedekahkan isteri dari hasil usaha suaminya tanpa perintah suami, pahalanya seperdua bagi suami.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

Hadith ini menjadi dalil bahawa haram atas isteri mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya, kecuali kalau suaminya tidak ada bersama kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya. Jelasnya hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat.

1 6 7 8 9 10 17