TAZKIRAH “Berbelanja di Jalan Allah”

Hadith:

Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:

1. Islam menggariskan kelebihan berbelanja kepada tiga peringkat iaitu: 1)Perbelanjaan kerana kaum keluarga. 2) Berbelanja untuk binatang-binatang tunggangan pada jalan Allah, dan 3) berbelanja untuk kawan-kawan pada jalan Allah (menegakkan Agama Islam).

2. Islam mengingatkan umatnya supaya mengambil faedah daripada berbelanja kerana perbelanjaan yang tidak dikehendaki oleh Islam adalah sia-sia dan membazir.

3. Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mencari keredhaan Allah akan mendapat pembalasan yang setimpal.

4. Tiga perkara yang disebut dalam hadis adalah penting dan perlu didahulukan daripada yang lain dalam berbelanja.

TAZKIRAH “Keistimewaan Aidil Adha”

“Keistimewaan Aidil Adha”

Hadith:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Tidak ada suatu hari di mana Allah memerdekakan lebih banyak hamba-Nya dari api neraka kecuali di hari Arafah. Sesungguhnya pada hari ini Allah mengetahui hamba-hamba-Nya lalu Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
i) Setiap orang Islam yang cukup syaratnya wajib mengerjakan haji di Mekah.

ii) Ibadat haji merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk menghampiri Allah S.W.T yang juga disebut sebagai menyahut panggilan Baitullah atau menjadi tetamu Allah

di mana ibadat ini perlu dikerjakan dengan penuh ketelusan, keikhlasan dan keinsafan serta tidak terpesong dari tujuannya yang sebenar.

iii) Matlamat akhir yang diharapkan daripada kerja-kerja haji ialah untuk memperoleh dan mendapat haji yang mabrur, amalan yang banyak dan berkat serta dosa-dosa diampunkan. Apabila kembali dari tanah suci seseorang individu itu diharapkan benar-benar telah berubah, bersih, suci seperti sucinya diri semasa dilahirkan.

iv) Di antara amalan yang dilaksanakan dalam ibadah haji ialah:

a) Bertawaf di sekeliling Kaabah- sebagai menghormati Masjidil Haram dan jika berpeluang disunatkan untuk mencium Hajarul Aswad .
b) Wukuf di Padang Arafah- sebagai mengingatkan diri tentang satu perhimpunan raksasa di Padang Mahsyar di Hari Kiamat kelak.
v) Bagi orang Islam yang tidak berpeluang menunaikan ibadat haji, mereka sebenarnya masih berpeluang untuk sama-sama mengaut pahala yang besar sempena hari Arafah tersebut di mana mereka digalakkan berpuasa sunat pada hari wukuf di Arafah itu kerana sesungguhnya Allah S.W.T akan mengampunkan dosa orang yang berpuasa sunat pada hari Arafah iaitu setahun sebelum dan setahun selepas melaksanakan puasa sunat tersebut.

TAZKIRAH “Hikmah Berkorban”

“Hikmah Berkorban”
Hadith:

Dari Aisyah r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya: Berkorbanlah kamu dengan hati yang redha, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat.
(Riwayat Al-Baihaqi)
Huraian Hadith:

1. Darah korban itu dapat memberatkan timbangan kebajikan di hari kiamat setelah amal dihisab di hadapan Allah s.w.t.

2. Berkorban dapat mendekatkan diri (taqarrub kepada Allah S.W.T.) disamping dapat berbakti kepada manusia.

3. Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s. itu menjadi satu ibadat yang utama bagi umat Muhammad s.a.w.

4. Binatang korban, daging tulang dan sebagainya, dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan yang memerlukan. Dengan cara ini umat Islam dapat merapatkan lagi hubungan mesra sesama Islam, disamping dapat bantu membantu antara satu sama lain.

5. Berkorban juga adalah tanda kesyukuran di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia.

TAZKIRAH “Orang Paling Sempurna Imannya”

“Orang Paling Sempurna Imannya”
Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik (pergaulan) dengan isterinya”.

(Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan Sohih)
Huraian Hadith:
Akhlak yang baik adalah ciri-ciri kesempurnaan iman.

Iman yang sempurna dan akhlaknya yang baik adalah dua faktor utama dalam pembentukan peribadi yang mulia.

Pergaulan suami isteri yang baik dan harmoni adalah dituntut dalam Islam dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

TAZKIRAH “Ingatlah Golongan Yang Lemah”

“Ingatlah Golongan Yang Lemah”
Hadith:

Daripada Mus’ab bin Abu Waqas R.huma katanya, “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang lain”. Maka Nabi SAW bersabda, “Kamu tidak ditolong dan diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah (dikalangan kamu)”.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
Orang Islam yang merasakan dirinya mempunyai kelebihan hendaklah merendahkan dirinya kerana kelebihan itu sendiri wujud dengan adanya golongan yang lemah dan tidak bernasib baik.

Pertolongan dan rezeki Allah kepada sesuatu golongan manusia atau masyarakat adalah disebabkan adanya golongan lemah dalam kelompok atau sesuatu masyarakat.

TAZKIRAH “Nilai Korban dan Solat Jumaat”

Hadith:

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu. Hari Jumaat juga dinamakan ˜Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ˜waktu mustajab’. Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

TAZKIRAH “Orang Berkemampuan Dituntut Untuk Berkorban”

“Orang Berkemampuan Dituntut Untuk Berkorban”
Hadith:
Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: Sesungguhnya sudah menjadi kewajipanku berkorban seekor unta dan aku orang kaya tetapi aku tidak dapat mencari unta untuk dibeli. Orang itu diperintahkan oleh Nabi s.a.w. supaya membeli tujuh ekor kambing lalu disembelihnya .

(Riwayat Ahmad & Ibnu Majah)

Huraian Hadith:
1. Ibadat korban adalah salah satu suruhan agama yang telah disyariatkan dalam Islam, oleh itu bagi mereka yang berkemampuan untuk berkorban, maka hendaklah berkorban demi melaksanakan syariat tersebut.

2. Keutamaan binatang korban dimulai daripada unta, jika tidak ada unta berkorbanlah dengan lembu, jika tidak ada lembu berkorbanlah dengan tujuh ekor kambing.

3. Korban yang paling sedikit ialah seekor kambing iaitu untuk seorang, manakala seekor unta atau lembu pula adalah untuk tujuh orang.

TAZKIRAH “Siapakah Ahli Neraka?”

“Siapakah Ahli Neraka?”
Hadith:

Daripada Usamah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Aku berdiri dimuka pintu syurga lalu (kelihatan) kebanyakan orang yang masuk kedalamnya ialah orang-orang yang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan, manakala ahli-ahli neraka pula disuruh bawa ke dalam neraka. Ketika aku berdiri dipintu neraka pula (kelihatan) kebanyakan yang masuk ke dalam ialah orang-orang perempuan”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Islam melarang umatnya daripada menghina orang-orang miskin kerana kemungkinan mereka mendapat tempat yang mulia disisi Allah.

Orang-orang perempuan hendaklah sentiasa mengawasi diri mereka lebih daripada lelaki kerana mereka mudah terdedah kepada melakukan perkara-perkara yang keji yang mengakibatkan mereka mudah masuk neraka.

Orang-orang miskin sekalipun mereka dhaif tetapi sekiranya mereka bersabar dengan kesusahan yang mereka hadapi serta membuat amalan-amalan baik nescaya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Rasulullah dapat mengetahui perkara ghaib seperti keadaan syurga dan neraka dengan diberitahu oleh Allah.

Wanita yang menjadi ahli neraka ialah yang derhakakan Allah, tidak menunaikan hak Allah dan hak manusia seperti nusyuz dan menafikan budi baik suami.

TAZKIRAH “Larangan Menunjuk-nunjuk Kejahatan”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain). Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan diwaktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah telah menutupinya”, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku telah melakukan begini dan begini”. Orang itu semalam-malaman telah ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Amaran dan celaan daripada Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosanya kepada orang lain.

2. Orang Islam yang telah terlanjur melakukan dosa dilarang daripada membuat hebahan supaya diketahui oleh orang lain dan dinasihatkan supaya dia bertaubat kepada Allah SWT.

3. Melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya menunjukkan bahawa seseorang itu memandang remeh dan memperkecilkan agama, merendah-rendahkan hak Allah dan Rasulnya serta golongan yang soleh.

TAZKIRAH “Fadhilat dan Hikmah Korban”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu “.
(Riwayat At-Tirmizi)

Huraian Hadith:

i) Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

ii) Antara hikmah korban adalah:

a) Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta’ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.

b) Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.

c) Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

iii) Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:

a) Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: “Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan”.(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

b) Sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: “Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu”.(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

c) Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: “Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.”

1 4 5 6 7 8 17