TAZKIRAH “Tingginya Darjat Suami Disisi Isteri”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sekiranya boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kau wanita (isteri) supaya sujud kepada suami mereka”.
(Riwayat At-Tirmizi, katanya hadis ini Hasan lagi Sahih)

Huraian Hadith:

1. Islam menyuruh kaum wanita supaya taat kepada suami mereka.

2. Rumahtangga yang bahagia adalah berpunca daripada kepatuhan isteri kepada suaminya.

3. Penghormatan isteri terhadap suami sampai ke peringkat patut sujud tetapi sujud tidak harus dilakukan kepada yang lain daripada Allah SWT.

TAZKIRAH “Si Pemurah dan Si Bakhil”

Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Tidak berpagi-pagi seseorang itu melainkan turun kepadanya 2 malaikat lalu seorang daripada kedua-duanya dengan berkata, “Ya Allah, berikan ganti kepada orang yang berbelanja”, dan seorang lagi pula berdoa dengan katanya, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Islam menggalakkan umatnya supaya gemar membelanjakan harta dan membenci sifat kedekut (bakhil).

2. Harta yang dibekukan oleh seseorang akan dimusnahkan oleh Allah.

3. Islam melatih umatnya supaya menjadi manusia yang pemurah dan tidak menjadi manusia yang bakhil.

4. Berbelanja atau tidak adalah hak seseorang sedangkan pembalasannya adalah hak Allah.

5. Harus berdoa untuk orang yang pemurah supaya digantikan apa yang dibelanjakan dengan yang lebih baik daripada apa yang telah dibelanjakan, dan harus berdoa ke atas orang yang bakhil dengan dibinasakan hartanya yang ditahan daripada berbelanja pada jalan yang diwajibkan.

TAZKIRAH “Redha Suami Membawa Ke Syurga”

TAZKIRAH “Redha Suami Membawa Ke Syurga”

Hadith:

Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”.

(Riwayat at-Tirmizi katanya ini hadis Hasan)

Huraian Hadith:

1. Suami yang redha terhadap isterinya yang telah meninggal dunia membolehkan isterinya dimasukkan ke dalam syurga.

2. Isteri-isteri hendaklah melakukan suatu perkara yang diredhai oleh suaminya.

3. Setiap sesuatu yang hendak dilakukan oleh seseorang isteri hendaklah dipersetujui oleh suaminya.

4. Keizinan suami atas suatu perkara yang dilakukan oleh isterinya adalah menunjukkan keredhaan suami.

TAZKIRAH “Kita Semua Adalah Pemimpin”

“Kita Semua Adalah Pemimpin”

Hadith:
Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Setiap manusia diberi tanggungjawab mengikut kedudukan masing-masing.

Semua tanggungjawab yang diamanahkan akan ditanya oleh Allah diakhirat kelak.

Islam mengajar umatnya supaya benar-benar beramanah dengan tanggungjawab mengikut lunas-lunas yang diharuskan.

Suami dan isteri adalah rakan kongsi dalam kehidupan rumahtangga, setiap daripada kedua-duanya wajib melaksanakan hak terhadap yang lain.

TAZKIRAH “Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA juga bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Tidak harus bagi isteri berpuasa semasa suami ada bersamanya, melainkan dengan keizinan dan juga (isteri) tidak boleh membenarkan sesiapapun memasuki rumahnya melainkan dengan izin suaminya”.
(Muttafaqun A’laih : Lafaz daripada Bukhari)

Huraian Hadith:
1. Islam menyuruh kaum wanita supaya taat kepada suami mereka pada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan Islam.

2. Antara punca-punca kebahagiaan rumahtangga ialah kepatuhan isteri kepada suaminya.

3. Islam mengajar isteri-isteri supaya meminta izin kepada suami mereka terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

4. Tanggungjawab isteri ialah melayan suami mereka dengan baik.

5. Haram bagi isteri berpuasa sunat tanpa izin suami sama ada keizinan secara terus terang dengan ungkapan atau secara mafhum, kerana dengan berpuasa luputlah hak suami pada hari itu, tetapi jika puasa fardhu seperti puasa qadha’ maka tidak disyaratkan izin suami.

6. Isteri tidak harus membenarkan sesiapa masuk ke rumah tanpa izin suami sama ada keizinan secara terang atau secara mafhum walaupun orang berkenaan itu keluarga isteri sendiri.

7. Melakukan amalan sunat akan terabai hak manusia maka hak manusia patut diutamakan.

TAZKIRAH “Dermakan Sebahagian Harta Yang Kamu Sayangi”

“Dermakan Sebahagian Harta Yang Kamu Sayangi”
Hadith:

Daripada Anas RA katanya, Abu Thalhah RA ialah orang Ansar yang paling banyak harta daripada kebun-kebun tamar yang luas. Harta yang paling disukainya ialah kebun tamar Bir Ha’ yang menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW pernah masuk ke kebun itu dan minum airnya yang sedap. Anas berkata, apabila turun ayat yang bermaksud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi” Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah berfirman yang maksudnya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesungguhnya aku sangat sayang kepada kebun tamar Bir Ha’ itu dan aku jadikannya sebagai sedekah pada jalan Allah agar aku mendapat kebaikan (yang dijanjikan Allah) dan sebagai bekalan akhirat disisi Allah SWT. Oleh itu, engkau gunakanlah harta itu mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu”. Maka jawab Rasulullah SAW, “Ah, harta itu sangat menguntungkan, harta itu sangat menguntungkan, sesungguhnya aku dengar apa yang telah engkau katakan dan aku berpendapat engkau agihkan harta itu kepada kaum kerabat engkau”. Maka Abu Thalhah berkata, “Aku akan lakukan (seperti yang engkau suruh) wahai Rasulullah SAW”. Lalu Abu Thalhah membahagikan harta tersebut kepada kaum keluarga dan sepupunya”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Ganjaran yang sempurna ialah dengan membelanjakan harta yang paling baik dan paling disayangi.

Pemberian kepada kaum keluarga juga adalah dikira sebagai sedekah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan para sahabat R.hum antaranya Abu Thalhah yang segera menyahut perintah Allah SWT untuk mencapai darjat kesempurnaan yang tertinggi, dan ini menunjukkan kemantapan iman mereka.

Harus menyerahkan urusan pembahagian sedekah dan sebagainya kepada ulama dan orang soleh untuk dibahagikan atau dibelanjakan pada jalan kebajikan.

Harus memberi galakan kepada seseorang untuk melakukan kebajikan dengan memujinya dengan pujian yang tidak keterlaluan dan berterima kasih atas sikapnya.

Orang yang paling utama dilakukan ihsan kepada mereka ialah keluarga terdekat jika mereka orang yang berhajat. Jika tidak maka orang yang berhajat lebih utama.

TAZKIRAH “Menyara Keluarga Lebih Afdhal”

TAZKIRAH “Menyara Keluarga Lebih Afdhal”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Antara wang yang engkau belanjakan ke jalan Allah, wang yang engkau belanjakan untuk hamba sahaya, wang yang engkau sedekahkan kepada orang-orang miskn dan wang yang engkau belanjakan untuk kaum keluargamu, maka pahala yang paling besar ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara kaum keluargamu”.

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:

1. Islam menggalakkan umatnya berbelanja pada jalan yang diharuskan sahaja.

2. Wang yang dibelanjakan oleh seseorang dengan ikhlas akan diambil kira dan diberi pembalasan mengikut keutamaannya.

3. Antara perbelanjaan yang paling baik disisi islam ialah perbelanjaan untuk menyara keluarga kecuali zakat yang wajib.

4. Umat Islam hendaklah mengutamakan kaum keluarganya dalam berbelanja daripada orang lain.

5. Kaum keluarga merupakan tanggungjawab utama yang mesti diselesaikan oleh suami atau penyara.

TAZKIRAH “Jangan Sakiti Suamimu”

“Jangan Sakiti Suamimu”
Hadith:

Daripada Mu’az bin Jabal RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Tidak menyakiti seseorang perempuan akan suaminya di dunia melainkan bersumpahlah isteri di akhirat (bidadari) celakalah engkau, “Jangan engkau menyakiti”. Sesungguhnya dia hanya sebentar sahaja bersamamu di dunia ini kemudian dia akan berpisah daripadamu untuk kembali kepada kami”.
(Riwayat At-Tirmizi katanya ini hadis Hasan)
Huraian Hadith:
Islam melarang isteri menyakiti hati suami tanpa sebab yang diharuskan syarak.

Islam menggalakkan berbaik-baik antara suami isteri untuk menjamin kerukunan rumahtangga.

Hubungan suami isteri didunia ini hendaklah dipelihara dengan baik semoga hubungan ini berkekalan sehingga ke akhirat.

TAZKIRAH “Nikmat dunia yang paling baik”

Hadith:

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Segala nikmat kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja. Ia akan lenyap apabila mana seseorang itu meninggal dunia.

2. Nikmat dunia yang paling baik ialah isteri-isteri yang solehah iaitu yang mentaati suaminya dan bertakwa kepada Allah.

3. Isteri yang baik (solehah) adalah sebab kebahagian didunia dan akhirat, serta dapat membantunya untuk taat kepada Allah, kerana itu lelaki hendaklah mengutamakan perempuan yang kuat pegangan agamanya daripada yang lain.

TAZKIRAH “Keutamaan Korban”

TAZKIRAH “Keutamaan Korban”

Hadith:

Maksud Hadith;

Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati .
(Riwayat At-Tirmizi & Ibnu Majah)

Huraian Hadith:

1. Korban adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan keredhaanNya.

2. Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya.

3. Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu.

4. Islam menggalakkan umatnya agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.

1 3 4 5 6 7 17