TAZKIRAH “Ganjaran Syuraga Bagi Penjaga Anak Yatim”

Hadith:

Daripada Sahal bin Sa’ad RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga begini, dan baginda menunjukkan dengan jari telunjuk dan jari tengah dan baginda merenggangkan antara kedua-dua jarinya”.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Orang yang menjaga anak yatim dibalas dengan balasan syurga oleh Allah dan diberi keistimewaan dengan darjat dan kedudukan Nabi SAW.

2. Islam memberi perhatian khas kepada anak yatim supaya nasibnya terbela.

TAZKIRAH “Menolong Orang Zalim dan Yang Dizalimi”

Hadith:
Daripada Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”, berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” jawab baginda, “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya”.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Orang Islam wajib menolong saudaranya yang dizalimi.

2. Orang Islam wajib menahan dan mencegah saudara seagamanya daripada melakukan kezaliman. Inilah yang dimaksudkan dengan menolong saudara yang zalim, kerana dengan menghalangnya daripada kezaliman bererti kita telah menyelamatkan daripada dosa dan azab.

3. Islam ialah agama yang menentang kezaliman dalam apa-apa bentuk sekalipun sama ada berpunca daripada orang-orang Islam sendiri atau daripada yang bukan Islam.

TAZKIRAH “Anak Perisai Api Neraka”

Hadith:

Daripada Aisyah R.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Orang Islam disuruh memenuhi hajat orang yang meminta sekali pun dengan pertolongan yang sedikit.

2. Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya.

3. Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anaknya dengan sempurna dijamin bebas daripada api neraka.

4. Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan. Ia akan menjadi perisai daripada api neraka jika dilakukan seperti yang diperintah Allah dan rasulnya.

TAZKIRAH “Tanggungjawab Seorang Pemimpin”

Hadith:

Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib’iey RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku berdiri untuk mengerjakan solat dan bercadang memanjangkan bacaan, tiba-tiba aku terdengar tangisan anak kecil lalu aku percepatkan solat kerana bimbang menyusahkan ibunya”.

(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Seorang imam yang sedang mengimamkan solat boleh mempercepatkan solatnya jika ada perkara yang penting yang perlu dia menyegerakannya.

2. Seorang imam hendaklah mengetahui keadaan yang dihadapi oleh makmumnya.

3. Seorang ketua hendaklah mengambil berat setiap masalah yang dihadapi oleh pengikutnya.

4. Islam ialah agama yang sesuai dan mudah dilaksanakan. Ia meraikan atau memelihara keadaan manusia dan kemampuan mereka kerana Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang dia mampu.

5. Para imam dan khatib hendaklah mencontohi Rasulullah SAW dalam melaksanakan tugas mereka supaya lebih berkesan dan tidak menjemukan para jemaah.

TAZKIRAH “Hak Anak Yatim dan Orang Perempuan”

Hadith:

Daripada Abi Syuraih Khuwailid bin Amru RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah Sesungguhnya aku sangat mementingkan hak dua orang yang lemah iaitu hak anak yatim dan orang perempuan”.
(Riwayat An-Nasa’i)

Huraian Hadith:
1. Anak yatim dan orang perempuan adalah dua golongan anggota masyarakat yang perlu diberi perhatian khusus oleh orang Islam.

2. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap anggota masyarakat Islam untuk menolong mereka yang malang seperti anak-anak yatim dan orang-orang perempuan.

3. Islam ialah agama yang menjaga kebajikan setiap peringkat umatnya.

TAZKIRAH “Islam Tidak Mengira Pangkat dan Darjat”

Hadith:

Daripada Saad bin Abi Waqas RA katanya, “Ketika kami berenam bersama Nabi SAW, tiba-tiba orang-orang musyrik berkata kepada nabi, “Usirlah mereka supaya mereka tidak berani menemui kami. Enam orang itu ialah aku, Abdullah bin Mas’ud, seorang daripada suku Huzail, Bilal dan dua orang yang sengaja aku tidak sebutkan namanya”. Maka terlintas dihati Rasulullah, apa yang dikehendaki Allah (untuk menyuruh enam sahabat itu meninggalkan majlis kerana dia mengetahui kekuatan iman mereka dan mengharapkan iman pembesar-pembesar musyrikin), tiba-tiba Allah menurunkan wahyunya, yang bermaksud: “Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadah dan berdoa kepada tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredhaan semata-mata” (Surah al-An’am ayat 52).“
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Umat Islam disuruh supaya saling memahami dan membantu antara satu dengan lain.

2. Musuh sebenar umat Islam ialah orang-orang kafir.

3. Menghormati orang soleh dan menjaga perasaan mereka adalah wajib kerana menyakiti mereka bererti menempah kemurkaan Allah.

4. Penghormatan kepada manusia dan penghargaan sepatutnya hendaklah berdasarkan iman dan pegangan agama bukan berdasarkan harta mahupun pangkat.

5. Islam ialah agama Allah untuk manusia sejagat. Justeru, tiada kelebihan bagi sesiapa ke atas yang lain dengan sebab harta atau pangkat.


Mohd Hafiza Hafiz bin Baharuddin

TAZKIRAH “Jangan Menyakiti Hati Sesama Muslim”

“Jangan Menyakiti Hati Sesama Muslim”
Hadith:

Daripada Abu Hubairah A’id bin Amru al-Muzanni dia adalah seorang daripada ahli Bai’ah ar-Ridhuan RA, bahawa Abu Sufian datang kepada Sulaiman, Suhaib, Bilal dan beberapa orang sahabat lagi lalu mereka berkata,”Pedang-pedang Allah belum selesai tugasnya mengambil musuh-musuh Allah”. Berkata Abu Bakar RA, inikah yang kamu katakan terhadap seorang kenamaan Quraisy dan penghulunya?” Lalu beliau mengadap Rasulullah SAW dan memberitahunya, maka nabi bersabda, “Wahai Abu Bakar boleh jadi engkau telah menyebabkan kemarahan mereka. Jika engkau telah menyebabkan mereka marah sesungguhnya engkau telah menyebabkan kemarahan tuhan kamu”. Maka Abu Bakar menemui mereka tadi dan berkata, “Wahai saudara-saudaraku, adakah aku telah menyebabkan kemarahan kamu?” Mereka berkata, “Tidak, semoa Allah mengampuni bagimu wahai saudaraku”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Orang Islam disuruh lebih mengutamakan perhubungan sesama mereka dengan tidak bercakap sesuatu yang boleh menyinggung perasaan.

Allah SWT tidak meredhai seseorang terhadap sesuatu perkataan atau perbuatan yang menyakitkan hati saudaranya sesama Islam.

Islam menggalakkan umatnya menjalin hubungan yang baik antara mereka.

TAZKIRAH “Haram Memakai Emas Bagi Lelaki”

TAZKIRAH

“Haram Memakai Emas Bagi Lelaki”

Hadith:

Daripada Abu ‘Umarah al-Bara’ bin ‘Azib R.huma katanya, “Rasulullah SAW menyuruh kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, melepaskan sumpah orang yang bersumpah, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam apabila bertemu. Baginda menegah kami daripada memakai cincin emas, minum dengan bekas yang dibuat daripada perak, menggunakan lapik duduk sutera dan memakai pakaian yang dibuat daripada sutera, sutera tebal dan sutera Dibaj(dari Yaman)”.
Dalam riwayat lain, ditambah perkara yang disuruh mengerjakannya iaitu: menanyakan barang yang hilang dan belum dijumpai.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Melepaskan sumpah orang yang bersumpah bermaksud, melaksanakan apa yang diminta secara bersunggguh-sungguh engkau melakukannya sehingga menyebabkan dia bersumpah, seperti katanya: “Demi Allah, engkau mesti melakukan sekian dan sekian.

2. Lapan perkara yang disuruh oleh nabi SAW iaitu:

Memberi salam apabila bertemu.
Memenuhi undangan.
Memberi nasihat jika diminta.
Mendoakan dengan ucapan “يرحمك الله” setelah orang bersin menyebut “الحمد لله”.
Menziarahi orang yang sakit.
Mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Menoling orang yang dizalimi.
Menanyakan barang yang hilang (menghebahkan)

3. Perkara-perkara yang dilarang oleh nabi melakukannya:

Memakai cincin emas bagi lelaki dan bukan bagi perempuan.
Minum dengan menggunakan bekas emas dan perak bagi lelaki maupun perempuan.
Menggunakan lapik duduk yang diperbuat daripada sutera yang diisi degan kapas atau sebagainya bagi lelaki.
Memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera dan campuran dengan yang lain, sutera yang dipanggil ‘Istibrak’ dan sutera tebal yang dipanggil ‘Dibaj’ (semuanya bagi lelaki).

TAZKIRAH “Hasad Dengki Adalah Haram”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, haratanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Orang Islam tidak boleh bersifat dengki-mendengki, benci-membenci dan pulau memulau antara satu dengan lain.

2. Orang islam tidak boleh membuat spekulasi harga yang bertujuan menipu orang ramai dalam urusan perniagaan.

3. Orang Islam berkewajipan menjaga kepentingan orang Islam yang lain.

4. Hasad dengki adalah haram kerana seolah-oleh menentang ketentuan Allah SWT.

5. Memulaukan saudara seagama dengan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari adalah haram kecuali kerana sebab-sebab yang diharuskan.

6. Islam ialah agama yang sempurna merangkumi aqidah, syariah (muamalah dan ibadah) dan akhlak, tidak sempurna salah satunya tanpa yang lain, kesemuanya terkumpul dalam satu kalimat iaitu “takwa” yang tempatnya ialah jantung hati.

TAZKIRH “Kemuliaan Tidak Diukur Pada Zahir Sahaja”

TAZKIRAH

“Kemuliaan Tidak Diukur Pada Zahir Sahaja”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW sabdanya, “Sesungguhnya akan datang pada hari kiamat seorang yang gemuk lagi besar, tetapi tidak bernilai disisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Kemulian seseorang disisi Allah tidak diukur dari sudut kesenangan hidupnya semasa di dunia.

Islam tidak menilai seseorang itu dengan pandangan zahir sahaja yang ada padanya di dunia.

Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan beribadatlah dengan sebenar-benar ibadah dengan tulus ikhlas.

1 5 6 7 8 9 17