TAZKIRAH “Perintah Anak Solat”

Hadith:
Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya RA katanya, sabda Rasulullah SAW “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka”.

(Hadis Hasan, Riwayat Abu Daud dengan Isnad Hasan)

Huraian Hadith:

1. Ibu bapa dipertanggungjawabkab mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang.

2. Islam mengajar cara pengajaran yang baik dikalangan anak-anak.

3. Menyuruh anak-anak melakukan sembahyang merupakan kewajipan bagi setiap ibu bapa dan penjaga.

4. Ketika mumaiyiz anak-anak hendaklah diasingkan tempat tidur mereka.

5. Peringkat umur tujuh tahun adalah sesuai untuk disuruh mengerjakan suruhan Allah.

Islam mendedahkan satu teori pendidikan anak-anak dengan menitikberatkan amalan-amalan agama.

TAZKIRAH “Tunai Hajat Suami Ikut Kemampuan”

Hadith:

Daripada Abu Ali Thalki bin Ali RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda” Apabila suami memanggil isterinya untuk menunaikan sesuatu hajatnya maka hendaklah dia segera datang sekalipun dia sedang memasak”.

(Riwayat: at-Tirmizi dan an-Nasa’ie, at-Tirmizi berkata hadis ini Hasan)

Huraian Hadith:

1. Isteri dikehendaki menunaikan sesuatu hajat suami apabila dia meminta.

2. Apabila isteri dipanggil untuk melakukan sesuatu hajat maka hendaklah dia segera melakukannya.

3. Isteri hendaklah berusaha sekadar kemampuannya untuk menjadikan suaminya senang terhadap dirinya.

TAZKIRAH “Wanita Adalah Ujian Kepada Lelaki”

Hadith:
Daripada Usamah bin Zais R.huma dari Nabi SAW sabdanya, “Aku tidak tinggalkan selepas kematianku satu ujian kepada kaum lelaki yang lebih mencabar melainkan ujian dengan perempuan”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Semasa di dunia manusia tidak dapat lari daripada ujian Allah dan seberat-berat ujian ialah ujian dengan kaum wanita kerana kerap kali berlaku kecenderungan kepada wanita menyebabkan lelaki melakukan perbuatan yang menyalahi syarak.

2. Islam mengingatkan kaum lelaki supaya mengawasi diri daripada godaan wanita.

3. Wanita adalah daya penarik kepada kaum lelaki.

4. Wanita ialah sumber kebaikan dan kejahatan bagi kaum lelaki.

TAZKIRAH “Berbuat Baik Terhadap Jiran”

Hadith:

Daripada Ibnu Umar dan Aisyah R.huma, kedua-duanya berkata, sabda Rasulullah, “Jibril sentiasa memesan kepada aku supaya berbaik-baik dengan jiran hingga aku menyangka bahawa Jibril akan menetapkan hukum pusaka antara sesama jiran”.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Islam menyuruh berbuat baik dengan jiran tetangga.

2. Dalam Islam jiran mempunyai tanggungjawab di atas jirannya yang lebih daripada tanggungjawab keluarga yang tinggal berjauhan.

3. Tahap hubungan kejiranan adalah dianggap sampai ke taraf kekeluargaan.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa pesan memesan antara satu dengan yang lain untuk mengeratkan hubungan kejiranan untuk mencapai kebahagiaan.

5. Diperkuatkan hak jiran dengan pesanan menunjukkan bahawa jiran perlu dihormati, dibantu dan dielakkan daripadanya kemudharatan diziarahi jika sakit, diberi ucapan tahniah jika mendapat nikmat dan takziah jika ditimpa ujian.

6. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Jiran juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu : “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”.

TAZKIRAH “Jangan Cuai Sara Keluarga”

Hadith:

Daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Cukuplah dosa seseorang itu dengan mencuaikan tanggungjawabnya menyara keluarganya”.

(Riwayat Abu Daud)
Huraian Hadith:

1. Menyara keluarga adalah tanggungjawab kepada ibubapa.

2. Keengganan mengeluarkan belanja untuk keluarga adalah dianggap sebagai suatu kesalahan disisi syarak.

3. Menyara keluarga adalah lebih mustahak daripada berbelanja untuk tujuan lain.

4. Seorang itu berkewajipan memberi makan anak isterinya, ibubapanya yang hilang upaya, kaum kerabat yang terdekat dan orang yang dibawah tanggungannya.

TAZKIRAH “Sejarah Puasa Assyura”

Hadith:

Dari Aisyah r.a. katanya “Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga”.

(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith:

Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari terseut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri. 10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama sepertimana yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub ialah bahawa pada tarikh tersebut:

(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala’.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan dan bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamatnya Musa dan pengikutnya.
(9) Lemasnya Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa ke langit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.

TAZKIRAH “Ajari Anak-anak Akhlak Islam”

“Ajari Anak-anak Akhlak Islam”
Hadith:

Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah ‘Abdullah bin Abdul Asad anak tiri Rasulullah SAW katanya “Aku seorang kanak-kanak didalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan maka Rasulullah bersabda, “Wahai anak, bacalah بسم الله (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk oleh Rasulullah)”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Rasulullah mengajar umatnya supaya membaca “بسم الله”ketika hendak makan, makan dengan tangan kanan dan mendahului mengambil makanan yang dekat.

Islam menitikberatkan peradaban dalam semua aspek dikalangan umat Islam termasuk adab makan dan sebagainya.

Kita berkewajipan mendidik anak-anak dengan adab-adab dan akhlak Islam dengan memberi tunjuk ajar dan teguran apabila mereka melakukan kesilapan.

Para pendidik hendaklah memberi tunjuk ajar kepada golongan muda dan kanak-kanak apabila ada kesempatan yang sesuai kerana pada keadaan begitu tunjuk ajar adalah lebih berkesan.

Hadis ini juga menunjukkan kepatuhan para sahabat kepada tunjuk ajar Nabi SAW sehingga kanak-kanak dikalangan mereka.

TAZKIRAH “Sebaik-baik orang yang berhijrah”

“Sebaik-baik orang yang berhijrah”
Hadith:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya: Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:

Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan penghulu para pelaku kejahatan , namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.

TAZKIRAH “Hijrah Satu Perjuangan”

TAZKIRAH
“Hijrah Satu Perjuangan”
Hadith:

Dari Abdullah bin Mas’ud, katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu’minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu’min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu’min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

Perjuangan melawan kemungkaran adalah menjadi dasar utama para nabi dan orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad saw, seperti halnya nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai kesukaran sepanjang hidup baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam. Ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud :”Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Baqarah: 218) Sebagai balasan atas pengorbanan tersebut, Allah memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..”(an-Nisaa:100) Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman sama sekali tidak merasa takut atau gementar apabila menghadapi musuh. Semuanya adalah kerana keyakinan pada Allah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang benar seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 40)

TAZKIRAH “Hijrah Rasulullah saw. Bersama Saidina Abu Bakar”

Hadith:

Dari Aisyah r.a katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi nabi saw. pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. Berkata Abu Bakar,: Nabi saw. tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting. Ketika Nabi saw. masuk ke tempat Abu Bakar, baginda bersabda kepadanya. Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, ˜Aisyah dan ˜Asma’. Sabda Nabi saw. Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)? Berkata Abu Bakar,: Anda perlu teman, ya Rasulullah! Sabda Baginda,: Ya, kawan. Berkata Abu Bakar,: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda. Sabda Nabi, Kuambil seekor dengan harganya.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-khattab dalam masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula yang mencadangkan tahun kewafatan baginda.Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar memandangkan Hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaiman katanya: Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah s.a.w. kerana hijrahnya itu adalah merupakan perbezaan antara yang benar dengan yang batal. Pendapat ini disokong oleh Saidina Ali.
Sebenarnya, wujud jalinan perkaitan antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut ˜peredaran’ matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

1 2 3 4 5 6 17