TAZKIRAH “Hakikat Puasa”

“Hakikat Puasa”

Hadith:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.

(Riwayat Ahmad & Baihaqi)

Huraian Hadith:
Pengajaran Hadis:

i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.

ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.

iii) Di antara ibadat-ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan solat tarawikh, solat tahjud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf di dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu). Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.

iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.

TAZKIRAH “Syurga ar-Royyan Untuk Orang Yang Berpuasa”

Hadith:

Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: Dimanakah orang “ orang yang telah berpuasa? Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah S.W.T sangat mulia di mana Allah menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan ar-Rayyan. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang-orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

TAZKIRAH “Puasa Boleh Menghapuskan Dosa”

“Puasa Boleh Menghapuskan Dosa”
Hadith:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1.Antara keistimewaan puasa ialah Allah S.W.T. akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain.

2.Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan keredhaan Allah, maka baginya keampunan dari segala dosa-dosa yang pernah dilakukan itu.

3.Ramadhan adalah bulan yang paling mulia di mana di dalamnya terkandung seribu keberkatan. Malah pada bulan inilah juga Allah S.W.T menurunkan kitab al-Quran.

TAZKIRAH “Kelebihan Bersedekah di bulan puasa”

“Kelebihan Bersedekah di bulan puasa”
Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan”.
(Riwayat At-Tirmidzi)
Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

iii) Konsep “memberi” (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

TAZKIRAH “Puasa Menghindari Api Neraka”

Hadith:

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan.

2. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.

TAZKIRAH “Ganjaran Puasa Ramadhan”

“Ganjaran Puasa Ramadhan”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk (kasturi).
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Puasa merupakan perkara ˜dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.

iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.

iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

TAZKIRAH “Kelebihan Bulan Ramadhan”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar ˜ra-mim-dal’, yang bererti panas atau panas yang menyengat . Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud menjadi panas atau sangat panas , atau diertikan juga sebagai hampir membakar . Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa.

ii) Manakala perkataan puasa dalam bahasa Arab disebut ˜Siyam’ atau ˜Soum’ Kedua-duanya berasal dari kata dasar ˜Sa-wa-ma’, di mana secara etmologinya bererti menahan diri daripada segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan takut (taqwa) kepada Allah S.W.T.

iii) Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik. Bahkan dengan rahmat Allah S.W.T di bulan ini segala syaitan dan iblis dibelenggu dan Allah juga membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka. Maka dalam situasi demikian kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan mengerjakan amal ibadah seperti sembahyang tarawih dan membaca Al Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut.

iv) Selain itu Allah S.W.T juga memberikan dorongan untuk kita berusaha memperbanyakkan ibadah dengan melipatgandakan pahala pengamalnya serta disediakan satu malam yang lebih baik iaitu ˜Lailatul Qadar’ di mana kelebihannya menandingi 1000 bulan malam-malam biasa.

TAZKIRAH “Kewajiban Berpuasa dibulan Ramadhan”

“Kewajiban Berpuasa dibulan Ramadhan”

Hadith:

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari) .

Huraian Hadith:

1. Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada terbit fajar hingga tenggelam matahari

2. Umat Islam adalah diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan apabila sahaja ternampaknya hilal iaitu anak bulan, dan disertai pula pengisytiharan bermulanya puasa oleh pihak yang berkuasa.

3. Asas penentuan bulan Ramadhan dan Syawal adalah berpandukan kepada anak bulan (hilal) yang disandarkan kepada dalil al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

4. Islam juga telah memberi garis panduan kepada umatnya untuk menentukan tarikh puasa dan juga hari raya dengan mengikut rukyah atau pun hisab.

5. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. iaitu ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Allah di hari akhirat kelak.

TAZKIRAH “Pemimpin dan rakyat”

“Pemimpin dan rakyat”
Hadith:
Daripada Auf bin Malik r.a bahawa rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka.

(Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Huraian Hadith:
Islam tidak boleh ditegakkan dengan cara yang zalim, kerana Islam itu bersih dan selamat. Islam hanya boleh ditegakkan dengan cara yang bersih dan aman. Pemerintah yang zalim hanya boleh dijatuhkan oleh Allah sendiri, kerana Dialah yang menaikkan seseorang sebagai pemerintah dan Dia jugalah yang lebih berhak menurunkan seseorang itu dari tampuk pemerintahan. Ingatlah, semakin zalim seseorang itu memerintah dan semakin banyak kezaliman yang dilakukannya, semakin cepat dia dijatuhkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya sifat orang mukmin itu ialah yang mentaati perintah pemerintah mereka, selagi perintah itu tidak sampai menyuruh mereka berlaku zalim atau maksiat atau menderhaka kepada Tuhan atau meninggalkan yang fardhu. Malah setiap perintah yang diberi wajib ditaati sama ada suka atau pun tidak, berfaedah atau pun tidak kerana sifat seorang mukmin yang sebenar adalah taat pada setiap perintah yang diterimanya iaitu perintah Allah, Rasulullah dan Ulil Amri.

TAZKIRAH “Kelebihan Sujud dalam Solat”

“Kelebihan Sujud dalam Solat”
Hadith:

Daripada Abu Abdullah yang dikenali juga dengan Abdul Rahman Thauban RA hamba Rasulullah SAW katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ”Perbanyakkanlah sujud sesungguhnya sekali-kali tidaklah engkau sujud kerana Allah satu sujud pun kecuali Allah mengangkat dengannya satu darjat, dan hapuskan dengannya satu dosa.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Dimaksudkan sujud dalam hadis ini adalah sembahyang, disebut sujud kerana sujud adalah rukun yang terpenting.

Sembahyang sunat dan ibadat umumnya meningkatkan darjat seseorang dan menggugurkan kejahatannya.

Setiap muslim hendaklah sentiasa menjaga sembahyangnya terutamanya sembahyang fardhu.

1 8 9 10 11 12 17