TAZKIRAH “Menghukum Atas Yang Benar”

“Menghukum Atas Yang Benar”
Hadith:

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya aku adalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu semua telah membawa pertelingkahan kepadaku. Barangkali sesetengah kamu ada yang lebih cerdik mengemukakan hujah serta alasannya daripada sesetengah yang lain. Maka aku akan menghukum mengikut apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku putuskan untuknya mendapat kemenangan, sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah hak kepunyaan saudaranya, maka sesungguhnya aku tentukan untuknya sepotong daripada api neraka”.
(Muttafaqun Alaih)
Huraian Hadith:
Janganlah menghukum suatu perkara dengan tidak mengikut hukum Islam sedangkan kamu mengetahui, kerana itu menjadikan kamu akan dihumbankan ke dalam api neraka.

Jauhkanlah sifat-sifat menyakiti hati manusia yang menyebabkan Allah SWT murka.

Buatlah keputusan mengikut apa yang dibenarkan Allah dan jangan buat keputusan mengikut apa yang tidak diredhai Allah.

Rasulullah SAW ialah seorang manusia. Harus bagi dirinya sifat-sifat manusia kecuali apa yang dipelihara Allah daripadanya. Rasulullah SAW terpelihara daripada tersalah dalam menyampaikan risalah termasuklah aqidah dan syariat, dan terpelihara daripada perbuatan haram dan keji.

Seorang hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan keterangan dan hujah yang dapat diterima seperti saksi, sumpah dan lain-lain. Dia tidak boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan pengetahuannya.

Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim tidak menghalalkan yang haram walaupun hukum itu dilaksanakan pada zahir. Oleh itu, sesiapa yang memperoleh sesuatu melalui perintah mahkamah sedangkan dia mengetahui sesuatu itu bukan haknya maka tidak harus ia mengambilnya.

TAZKIRAH “Berhutang Menghalang Penyucian Diri dan Keredhaan Allah”

“Berhutang Menghalang Penyucian Diri dan Keredhaan Allah”

Hadith:

Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib’ie RA, daripada Rasulullah SAW, “Sesungguhnya baginda berkhutbah kepada mereka lalu menyebut kepada mereka, bahawasanya jihad pada jalan Allah dan beriman kepada Allah itu sebaik-baik amalan (pekerjaan)”. Kemudian bangun seorang lelaki dan berkata, “Wahai Rasulullah SAW bagaimanakah jika aku terbunuh di dalam jihad pada jalan Allah, apakah semua kesalahanku akan diampunkan?” Baginda menjawab, “Ya, benar jikalau engkau dibunuh dalam masa peperangan jihad pada jalan Allah dengan engkau berkedaan sabar mengharapkan keredhaan Allah, sedangkan engkau menghadapi musuh tidak berpaling lari kebelakang”. Kemudian baginda bertanya, “Bagaimana katamu?” Jawab lelaki tersebut bagaimanakah jika aku terbunuh dalam peperangan pada jalan Allah, apakah akan dihapuskan segala kesalahan-kesalahanku?” Baginda bersabda lagi. “Ya, benar jikalau engkau bersabar, tetap mengharapkan keredhaan Allah ketika menghadapi musuh, tidak berpaling lari kebelakang, melainkan jika engkau ada menanggung hutang dan sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

1. Bersihkanlah diri daripada berhutang kerana itu akan menghalang daripada menyucikan diri dan mendapat keredhaan Allah.
2. Janganlah jadi orang yang bankrup kerana hutang sama ada di dunia atau akhirat.
3. Jauhilah hidup daripada banyak berhutang dan kuatkan keimanan untuk menghadapi segala percubaan hidup.
4. Hadis ini menunjukkan kelebihan jihad pada jalan Allah dan ganjaran bagi mereka yang terbunuh dalam keadaan bersungguh-sungguh menentang musuh, bersabar atas kesakitan dan kesusahan serta hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

TAZKIRAH “Jauhi Sifat Bakhil”

“Jauhi Sifat Bakhil”

Hadith:
Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Jauhilah sifat bakhil kerana bakhil itu membawa permusuhan dan pertelingkahan yang boleh mendatangkan kerugian.
2. Umat Islam dilarang zalim menzalimi dan memfitnah sesama mukmin kerana akibatnya adalah lebih dahsyat daripada membunuh.
3. Rasulullah SAW memberi ingat kepada umatnya supaya mengeluarkan sedeqah dan membelanjakan ke jalan yang halal.
4. Kezaliman adalah antara dosa besar yang akan menyebabkan pelakunya dikenakan azab seksa yang berat di akhirat nanti.
5. Tamak kepada dunia dan kedekut dengan apa yang dimiliki sentiasa mendorong manusia melakukan maksiat dan dosa dan menjuruskan mereka kepada perbuatan keji dan kemungkaran.

TAZKIRAH “Kelebihan Berulang Alik Ke Masjid”

22 Jun 2012
2 Sya’ban 1433H

Kepada:
Ahli-ahli Persatuan Kebajikan Pekerja Pekerja Islam

Y.Bhg. Prof./Dato’/ Datin / Tuan / Puan,
“Kelebihan Berulang Alik Ke Masjid”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “ Sesiapa yang pergi ke Masjid pagi atau petang, Allah akan sediakan baginya di dalam syurga, hidangan dan jamuan setiap kali dia pergi atau balik.

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:

1. Hadis ini memberitahu kelebihan berulang-alik ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah.

2. Seseorang yang rajin ke masjid dengan tujuan beribadat secara ikhlas disediakan Allah baginya ganjaran yang istimewa.

3. Setiap orang digalakkan untuk menghidupkan masjid dengan berbagai-bagai kegiatan ibadah.

TAZKIRAH “Jalan Ke Syurga Dan Jalan Ke Neraka”

Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Neraka itu didindingi dengan perkara-perkara yang diingini hawa nafsu, syurga itu didindingi dengan perkara-perkara yang dibenci oleh hawa nafsu.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Jalan untuk ke syurga mestilah ditempohi dengan pelbagai rintangan .
2. Jalan ke neraka pula terbuka luas oleh perkara yang diingini hawa nafsu.
3. Manusia akan sentiasa didorong oleh hawa nafsu yang tidak pernah puas.

TAZKIRAH “Larangan Memperkecilkan Kebaikan Yang Sedikit”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA katanya, nabi SAW telah bersabda kepadaku, “Janganlah kamu memperkecilkan kebaikan sedikitpun, sekalipun engkau menemui saudara engkau dengan wajah yang berseri-seri.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Kita tidak harus menganggap remeh apa-apa perbuatan atau pekerjaan yang dianggap baik oleh agama(Islam).
2. Kita dituntut bermanis muka dan mengembirakan saudara seagama.
3. Nilai kebaikan di dalam Islam sentiasa dijaga walaupun di dalam perkara yang sekecil-kecil.

TAZKIRAH “Contoh Amalan Baik dan Amalan Jahat”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA katanya, nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Telah diperlihatkan kepadaku segala amalan umatku sama ada yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik atau yang jahat. Maka aku dapati di antara amalan-amalan yang baik ialah membuangkan sesuatu yang merbahaya yang terdapat di jalan. Dan aku dapati di antara amalan-amalan yang jahat ialah berkahak di dalam masjid yang tidak ditimbus.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Amalan kebajikan adalah banyak, di antara apa yang di anggap remeh oleh segolongan orang seperti membuang batu, menimbuskan lubang dan sebagainya yang mengganggu dan membahayakan pengguna jalan, dan seperti membuang najis dan kotoran daripada masjid.
2. Wajib menjaga kehormatan masjid dan memelihara adab-adabnya serta tidak melakukan di dalamnya perbuatan yang tidak layak dengan kesuciannya seperti meludah, membuang hingus dan sebagainya.
Hadis juga menerangkan tentang mukjizat Rasulullah yang dapat mengetahui sekecil-kecil kebaikan atau sekecil-kecil kejahatan yang dilakukan oleh umatnya.

TAZKIRAH “Tuntutan Bersedekah”

Hadith:

Daripada Abu Zar RA daripada Nabi SAW telah bersabda, “Dituntut ke atas setiap sendi kamu itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah,setiap takdir itu sedekah, menyeru kepada kebaikan itu sedekah, melarang daripada kemungkaran itu sedekah dan memadailah bagi setiap amalan yang disebut itu dua rakaat sembahyang Dhuha.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
1. Umat Islam digalakkan supaya banyak bersedekah sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah SWT dan untuk menghindar bala menimpa.
2. Membanyakkan zikir mempunyai kelebihan yang besar, begitu juga memelihara sembahyang Dhuha dengan melakukannya pada setiap hari.
Allah tidak mensia-siakan segala gerak-geri anggota manusia yang melakukan segala kebaikan bahkan ia akan diberi ganjaran yang sewajarnya.

TAZKIRAH “Perkara Yang Mengiringi Jenazah”

Hadith:

Daripada Anas RA daripada Rasulullah SAW sabdanya, “Tiga perkara yang mengiringi jenazah iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka dua perkara akan kembali semula, yang tinggal bersamanya hanyalah amalannya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
1. Hadis ini menggalakkan kita melakukan amalan soleh, kerana amalan itu akan sentiasa menemani sehingga ke alam barzakh dan alam akhirat.
2. Harta dan keluarga tidak akan menemani di alam barzakh.
Tiga perkara menjadi kepentingan utama di atas dunia iaitu keluarga, kekayaan dan amal kebajikannya.

TAZKIRAH “Dosa Kecil Jangan Dipandang Ringan”

Hadith:

Daripada Anas RA katanya, “Sesungguhnya kamu mengerjakan perbuatan yang pada pandangan kamu ianya lebih halus daripada rambut pada hal kami di zaman Rasulullah SAW mengira perbuatan itu di antara perkara-perkara yang mencelakakan (dosa besar).”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Memandang ringan terhadap dosa-dosa kecil menunjukkan seseorang itu kurang takut kepada Allah dan lebih-lebih lagi memandang ringan pada dosa besar.
2. Orang yang paling mengenal Allah selepas nabi dan rasul adalah sahabat-sahabat Rasulullah SAW kerana pengetahuan mereka luas yakni tidah menganggap remeh kepada sesuatu perkara.
3. Para sahabat begitu perihatin akan sesuatu perkara dan tidak pernah menganggap ringan.

1 10 11 12 13 14 17