TAZKIRAH “Waktu Doa Paling Mustajab”

“Waktu Doa Paling Mustajab”

Hadith:

Dari Ibnu Abbas RA katanya: Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

Kedudukan sujud ialah dengan meletakkan kedua tangan, lutut, hujung kaki, dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta para malaikat bersujud kepada nabi Adam AS bererti inilah tingkat tertinggi dari sebuah penghormatan.

Sujud hanyalah untuk Allah S.W.T. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita bahawa tingkat paling tinggi dari rasa hormat adalah “Sujudlah pada Ku.” Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud. Itulah sebabnya mengapa umat Islam berbeza daripada umat agama lain. Mereka meletakkan dahinya atau kepalanya yang paling mulia ke tanah. Hal ini sekaligus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar yang mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah.

TAZKIRAH “Dua Nikmat Kurniaan Allah”

“Dua Nikmat Kurniaan Allah”
Hadith:

Daripada Abdullah bin Abas RA katanya, Rasullullah SAW bersabda, “Dua nikmat, banyak manusia rugi padanya (kerana mensia-siakannya) iaitu kesihatan dan kelapangan.”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1.Kita hendaklah menghargai dua nikmat iaitu kesihatan dan kelapangan.

2.Kita hendaklah memanfaatkan segala nikmat yang diberikan untuk mendekatkan diri kepada keredhaan Allah dan melakukan kebajikan sebelum terlambat.

3.Seseorang hendaklah menjaga nikmat kesihatan sebelum sakit dan nikmat kelapangan untuk memerangi hawa nafsu ke arah kejayaan.

TAZKIRAH “Konsep Syukur Rasulullah SAW”

“Konsep Syukur Rasulullah SAW”
Hadith:

Daripada Aisyah RA: bahawa Nabi SAW bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga pecah-pecah kedua kakinya. Aku bertanya kepadanya, “Kenapa engkau lakukan ini wahai Rasulullah SAW? Sedangkan Allah SWT mengampunkan dosa engkau yang terdahulu dan yang terkemudian”. Jawab baginda, “Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur?.”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1.Kita hendaklah sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan.

2.Setiap muslim hendaklah melakukan ibadat sunat untuk membuktikan kesyukuran kepada Allah SWT.

3.Setiap manusia hendaklah berjuang melawan hawa nafsu dengan sentiasa beramal soleh untuk menjadi hamba yang lebih diredhai.

4.Seseorang yang menerima nikmat sewajarnya meningkatkan kesyukuran ke hadhrat Allah SWT.

TAZKIRAH “Amalan Baik”

Hadith:

Daripada Jabar RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, “Tiap-tiap yang baik itu sedekah.”
(Diceritakan juga oleh Muslim daripada riwayat Hazifah RA)
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:

1. Kalimah maaruf merangkumi semua kebaikan sama ada melakukan ibadah atau meninggalkan perbuatan buruk.

2. Setiap perkara baik yang dilakukan oleh seseorang akan diberi pahala.

TAZKIRAH “Amalan Yang Menghapuskan Dosa Serta Mengangkat Darjah”

Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW, “Adakah kamu suka aku tunjukkan suatu amalan yang Allah akan menghapuskan dengannya dosa-dosa serta mengangkatkan dengannya beberapa darjat? “mereka berkata, “Bahkan ya Rasulullah”, sabda Rasululullah, “Menyempurnakan wuduk dalam keadaan susah dan membanyakkan langkah ke masjid serta menunggu sembahyang (untuk berjemaah). Demikian itulah (yang dikatakan) “Al-Ribat” (perjuangan menentang musuh dan bersedia menghadapinya).”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

1. Menunaikan ibadat adalah sesuatu jihad iaitu yang memerlukan kesabaran dan ketahanan jiwa.

2. Dosa yang akan diampunkan dengan perkara-perkara yang disebut dalam hadis ini hanyalah dosa-dosa yang berkaitan dengan hak Allah.

3. Apabila seseorang itu berwuduk dengan sempurna, rajin ke masjid dan sentiasa menunggu waktu sembahyang serta berjemaah nescaya Allah akan menghapuskan dosa-dosanya(dosa kecil) serta ditingkat darjatnya.

TAZKIRAH “Kelebihan Berwuduk”

“Kelebihan Berwuduk”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, ”Apabila seorang muslim atau mukmin berwuduk, maka dia membasuh mukanya keluarlah daripada mukanya itu segala dosa yang dilakukan oleh matanya bersama air atau bersama dengan titisan air yang akhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya keluarlah daripada keduanya segala dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan air yang akhir. Apabila dia membasuh kedua kakinya keluarlah segala dosa yang dilakukan oleh kedua kakinya bersama air atau bersama titisan air yang akhir sehingga bersihlah dia daripada segala dosa.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Dua kelebihan berwuduk ialah jasad seseorang akan bersih daripada kekotoran dan jiwa pula bersih daripada dosa.

Wuduk yang dilakukan dengan cermat dan sempurna boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan.

TAZKIRAH “Amalan Yang Paling Afdal”

“Amalan Yang Paling Afdal”
Hadith:
Daripada Abu Zar Jundubi Zar bin Junadah RA, katanya, aku bertanya, “Wahai Rasullullah, apakah amalan yang paling afdal? “Maka dijawab oleh Rasulullah SAW, ”Beriman kepada Allah SWT dan berjihad dijalannya.” Aku bertanya lagi, “Hamba manakah yang paling utama untuk dimerdekakan?” jawab baginda, ”Hamba yang paling disayangi oleh tuannya dan paling tinggi harganya.” Aku bertanya lagi, ”Jika aku tidak berbuat demikian? Rasulullah menjawab, bantulah orang yang berbuat sesuatu pekerjaan atau buatlah sesuatu untuk orang tidak pandai membuatnya.” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah SAW bagaimana pula jika aku lemah, tidak dapat mengerjakan sebahagian kerja-kerja itu?” Jawab Rasulullah SAW, ”Hendaklah kamu menahan perbuatan jahat terhadap manusia, sesungguhnya itu adalah sedekah daripada engkau untuk diri engkau sendiri.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadith:
1.Umat Islam digalakkan berjihad di jalan Allah iaitu berusaha menegakkan kalimah Allah dan agamanya dengan cara yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

2.Sebaik-baik bersedekah adalah bersedekah dengan harta yang paling disayangi dan paling bermanafaat .

3.Wajib menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain dan ini adalah sedekah untuk diri sendiri.

TAZKIRAH “Orang Mukmin Yang Tenang”

Hadith:

Daripada Ibnu Umar R.huma katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Orang mukmin sentiasa berada di dalam ketenangan agamanya (dengan mengharapkan rahmat Allah) selagi dia tidak menumpahkan darah secara haram (tidak pernah membunuh melainkan dengan kebenaran yang hak)”.

(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1.Orang mukmin yang tenteram ialah orang mukmin yang sentiasa menjaga haknya dan menjaga hak orang lain serta tidak menganiaya.

2.Manusia itu sentiasa di dalam keadaan keluh kesah apabila menghadapi suatu ujian melainkan orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan menjaga hak-hak yang disuruh oleh Islam.

3.Hendaklah dijauhi daripada perbuatan aniaya sesama mukmin kerana perbuatan tersebut akan merugikan agama Islam.

4.Membunuh tanpa hak adalah dosa besar yang menutup harapan rahmat Allah dan menyebabkan pelakunya termasuk golongan orang yang putus asa daripada rahmat sekiranya dia tidak bertaubat.

TAZKIRAH “Menggunakan Harta Dengan Jalan Batil”

“Menggunakan Harta Dengan Jalan Batil”
Hadith:

Daripada Khaulah binti Tsamir Al-Ansoriyah, iaitu perempuan (isteri) Hamzah RA katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ada beberapa jenis atau golongan lelaki yang membelanjakan harta orang Islam bukan dengan kebenaran. Maka bagi mereka api neraka pada hari kiamat”.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
Sesiapa yang telah diamanahkan untuk memelihara dan menjaga sesuatu harta kemudian membelanjakan harta itu bukan dengan haknya maka ia telah menzalimi diri orang yang telah diamanahkannya.

Jauhilah diri daripada menggunakan harta yang bukan hak.

Belanjakanlah harta ke jalan yang diredhai Allah supaya tidak disoal pada hari kiamat.

Hadis ini memberi peringatan tentang pengurusan harta awam umat Islam secara suka hati dan untuk tujuan peribadi. Perbuatan itu adalah antara dosa besar yang pelakunya akan diazab dengan neraka jika tidak bertaubat.

TAZKIRAH “Orang Yang Bankrap disisi Islam”

“Orang Yang Bankrap disisi Islam”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?” Para sahabat menjawab, “Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta”. Baginda bersabda, “Ssungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang. Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka. Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya) dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:
Islam melarang umatnya membuka rahsia dan tuduh-menuduh antara sesama sendiri jika tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.

Islam menjaga kehormatan seseorang daripada melakukan perkara-perkara menyalahi hukum yang boleh membawa kepada permusuhan.

Jagalah lidah dan hati daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat sesama orang Islam kerana akibatnya boleh menyebabkan amalan seseorang itu diambil dan menggantikan dengan kesalahan yang dilakukannya di dunia.

Segala amal kebaikan dan kejahatan akan dapat dilihat dan dirasa balasannya serta ditimbang baik buruknya pada hari kiamat.

Orang Islam adalah bersaudara, maka haramlah atasnya pembunuhan, pencerobohan kehormatan dan mencerobohi hartanya.

Menzalimi dan menyakiti manusia (seagama) akan menghapuskan pahala dan manfaat amalan yang soleh pada hari kiamat, orang yang melakukannya adalah muflis yang sebenar.

Salah satu cara pendidikan yang berkesan adalah dengan menggunakan bentuk dialog dan soal jawab untuk menarik perhatian pendengar.

1 9 10 11 12 13 17