TAZKIRAH “Cemburu Allah”

Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA daripada nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT cemburu (tidak suka) dan cemburu Allah SWT itu ialah terhadap orang yang akan mengerjakan apa yang diharamkan Allah ke atasnya.”
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Allah SWT memberi kebebasan kepada seseorang melakukan apa yang dikehendaki, namun begitu Allah tidak menyukai perbuatan yang diharamkan.

2. Perasaan benci kepada perkara yang dilarang oleh Allah adalah suatu sifat yang mulia.

TAZKIRAH “Kelebihan Bersedekah”

Hadith:

Dari Amru bin Auf RA katanya Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya). ”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:

1. Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
2. Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.
3. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
4. Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

TAZKIRAH “Ingat Mati Melemah Hawa Nafsu”

Hadith:

Daripada Abdullah bin Abbas dan Anas bin Malik RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Andai kata seseorang anak Adam telah mempunyai satu lembah emas nescaya dia ingin pula hendak mempunyai dua lembah. Dia tidak akan puas dengan harta dunia sehingga akhir hayatnya (mulutnya dipenuhi tanah) dan Allah Taala menerima taubat hamba-Nya yang benar-benar bertaubat.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:

1. Nafsu sentiasa mendorong manusia untuk menguasai harta tanpa batasan. Sifat ini dicela jika ia menyebabkan seseorang itu mengabaikan perintah Allah.
2. Mengingati mati menjadi pengajaran besar kepada manusia untuk mengawal nafsu.
3. Orang yang bersungguh-sungguh bertaubat, Allah Taala akan menerima taubatnya itu.

TAZKIRAH “Bacaan Taawuz Mereda Marah”

Hadith:

Daripada Sulaiman bin Surad RA katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi SAW sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda”, “Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.” Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
1. Perasaan marah yang disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud : “Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A`raf: 200)
2. Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam.
3. Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran.
4. Orang yang alim(berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati).

TAZKIRAH “Bersyukur Sifat Orang Mukmin”

Hadith:

Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA katanya sabda Rasulullah SAW, “Sungguh menakjubkan urusan (pekerjaan) seorang Mukmin (yang sempurna imannya) semua yang berlaku ke atas dirinya adalah baik belaka. Ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang Mukmin iaitu jika beroleh kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu lebih baik baginya dan jika dia ditimpakan kesusahan dia bersabar dan sabar itu lebih baik baginya.”
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

1. Kehidupan Mukmin yang sempurna imannya dipenuhi dengan kebaikan dalam apa jua keadaan yang dialaminya, suka atau duka, senang atau susah, kaya atau miskin.
2. Setiap orang Islam itu dikehendaki bersabar kerana sifat sabar itu adalah sifat orang-orang Mukmin sama ada dalam keadaan senang atau susah.
3. Setiap orang hendaklah mensyukuri pemberian Allah sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan.

TAZKIRAH “Bersegera Dalam Mengerja Amal Soleh”

“Bersegera Dalam Mengerja Amal Soleh”
Hadith:

Daripada Abi Hurairah RA bahasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah pagi kafir dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Seseorang mukmin dan muslim dikehendaki berpegang teguh dengan agama (Islam) bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan amal kebajikan semasa muda selagi badan sihat dan masih ada masa kerana halangan yang akan berlaku di masa hadapan tidak akan diketahui.
2. Rasullullah SAW mengingatkan umatnya supaya berhati-hati dengan fitnah dan halangan kerana ia mendorong manusia melakukan maksiat.
Pada akhir zaman terdapat manusia yang menjadi kafir dan menjual agama.

TAZKIRAH “Seruan Bertakwa Dan Melakukan Kebaikan Sepanjang Masa”

Hadith:

Daripada Abi Zar Jundub bin Junadah dan Abdi Rahman Muaz bin Jabal RA, daripada Rasulullah SAW, telah bersabda “Bertakwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”

(Riwayat At-Tirmidzi)

Huraian Hadith:

1. Amalan kebajikan menghapuskan amalan kejahatan sebelumnya, jika kejahatan itu termasuk dosa kecil, dan tidak berkaitan dengan orang lain.

2. Di antara akhlak yang mulia ialah manusia yang tidak mengganggu atau menyakiti orang lain juga melakukan perkara makruf dan berinteraksi dengan orang dengan cara yang kita mahu orang berinteraksi dengan kita.

3. Kita dikehendaki bertakwa kepada Allah walau di mana kita berada.
Allah senantisa mengawasi segala perbuatan hambanya secara terang atau secara tersembunyi.

TAZKIRAH “Kezaliman Berleluasa Di Akhir Zaman”

Kepada:

Ahli-ahli Persatuan Kebajikan Pekerja Pekerja Islam

Y.Bhg. Prof./Dato’/ Datin / Tuan / Puan,

“Kezaliman Berleluasa Di Akhir Zaman”
Hadith:

Daripada az-Zubair bin Adi katanya, “Kami telah menemui Anas bin Malik RA (di Basrah) mengadu beberapa hal mengenai tindakan (kezaliman) al-Hajaj, jawab Anas RA, “Bersabarlah kamu sekalian, kerana bahawa sesungguhnya keadaan zaman yang akan datang lebih buruk lagi daripada zaman sebelumnya sehinggalah kamu menemui ajal (menemui mati). Keterangan ini aku dengar daripada Nabi SAW.”
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Masa yang akan datang lebih berat bagi manusia daripada masa yang berlalu.

2. Keburukan akan berleluasa pada akhir zaman.

3. Seseorang adalah di kehendaki bersegera dan berlumba-lumba beramal dan melakukan kebajikan kerana keadaan pada hari yang lepas lebih baik daripada hari yang akan datang.

4. Seseorang hendaklah menerima dengan sabar dan menghadapi dengan tenang apabila berlaku suatu kezaliman.

TAZKIRAH “Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat”

“Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat”
Hadith:

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith:

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

TAZKIRAH “Islam dan Ekonomi Saling Memerlukan”

“Islam dan Ekonomi Saling Memerlukan”

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.
(Riwayat At-Thabrani)
Huraian Hadith:

i) Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka tetapi mesti dalam batasan syariah yang dibenarkan.

ii) Kedhaifan ekonomi umat Islam sebahagiannya adalah berpunca daripada kegagalan mereka sendiri mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

iii) Harta bukanlah untuk tujuan keduniaan semata-mata tetapi juga untuk tujuan keakhiratan dan melaksanakan ibadat. Contohnya untuk menunaikan ibadah haji umat Islam memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos dan perbelanjaan dengan secukupnya.

iv) Adalah penting untuk umat Islam menguasai semua peringkat kegiatan ekonomi seperti menjadi pembekal, pengusaha dan pemasar dalam sesebuah industri di mana selain daripada dapat mengelak ia dimanipulasi dan ditindas oleh orang lain, mereka juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya. Hal ini juga termasuk dalam konteks jihad yang dituntut oleh agama.

v) Sikap mengabaikan keperluan ekonomi di dunia akan melemahkan kedudukan serta martabat orang Islam itu sendiri. Dalam masa yang sama ia memudahkan umat Islam dieksploitasikan oleh orang lain.

1 11 12 13 14 15 17