TAZKIRAH : MENDOAKAN ADIK-BERADIK SENDIRI

Salah satu perkara yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah al-Quran adalah mendoakan adik beradik sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Nabi Musa AS mendoakan abangnya Nabi Harun AS. Hubungan abang-adik ini adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai. Mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah. Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Nabi Musa AS orangnya keras manakala, Nabi Harun AS itu sikapnya lembut. Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Nabi Musa AS memarahi abangnya Nabi Harun AS dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Nabi Harun AS membalas dengan baik dengan katanya:

قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي
“Nabi Harun AS menjawab: “Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!”

( Surah Taha: 94 ) Nabi Harun AS seorang yang fasih sedangkan Nabi Musa AS pula tuturnya tidak berapa lancar. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa AS ketika meminta bantuan daripada Allah SWT supaya Allah SWT mengutuskan Nabi Harun AS sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur. Kata Nabi Musa AS:

وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا

“Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku”

(Surah al-Qasas: 34)
Walaupun memiliki karakter yg berbeza, kedua-dua beradik ini adalah pasangan yg ideal dalam dakwah. Ketika Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah SWT melantik Nabi Harun AS, abangnya sebagai pembantu. Perlantikan Nabi Harun AS sebagai pembantu Nabi Musa AS ini disebut berulang kali dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Nabi Harun AS sebagai pembantu misi dakwah tersebut. Allah SWT menceritakan dialog Nabi Musa AS ini di dalam al-Quran. Firman Allah:

وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (29) هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (32) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا

“Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34]

(Surah Taha: 30-34)
Mereka bukan sahaja sahaja saling membantu, Nabi Musa AS juga direkodkan sebagai seorang yang mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai di kalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri? Firman Allah SWT:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلأَخِي وَأَدْخِلْنَا فِي رَحْمَتِك

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.”

(Surah al-A’raf:151)
Berdasarkan kepada doa ini, alangkah baik seandainya adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka. Jika kita mempunyai rezeki yang lebih maka, memberi pertolongan dan bantuan kepada saudara sendiri terlebih utama berbanding dengan membantu orang lain. Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang berlipat kali ganda buat mereka yang sentiasa saling bantu-membantu sama ada dalam keadaan susah atau senang.

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya

TAZKIRAH : KERANA SYURGA ITU MAHAL

Terkadang kita selalu bersenang-senang dalam menjalani kehidupan seharian dan melakukan maksiat lalu mengharapkan syurga yang paling tinggi sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan kita agar berusaha dan merancang untuk ke syurga. Sabda Rasulullah SAW:

من خاف أدلج، ومن أدلج بلغ المنزل، ألا إن سلعة الله غالية، ألا إن سلعة الله الجنة
“Barangsiapa yang takut (ditimpa kesusahan dalam perjalanannya), maka dia akan bertolak awal dan cergas. Barangsiapa yang bertolak cergas dia akan sampai pada destinasinya. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu sangat mahal. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu syurga? (HR al-Tirmizi)

Menurut al-Imam al-Tibi, hadis ini merupakan satu perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah agar kita merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai destinasi syurga. Kita hendaklah merancang, bertindak keluar awal dan bergerak cergas bagi mencapai destinasi akhirat kerana syurga Allah itu mahal. (Tuhfah al-Ahwazi)

Para sahabat terdahulu berjuang bermati-matian bagi mencapai redha Ilahi. Rasulullah SAW pernah menangis ketika melihat penampilan Mus’ab di Madinah yang meninggalkan kemewahan hidupnya semata-mata kerana memperjuangkan Agama Islam. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:

إِنَّا لَجُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي المَسْجِدِ إِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلَيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوعَةٌ بِفَرْوٍ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَكَى لِلَّذِي كَانَ فِيهِ مِنَ النِّعْمَةِ وَالَّذِي هُوَ اليَوْمَ فِيهِ
“Ketika kami sedang duduk di Masjid, lalu datang Mus’ab ibn Umayr dengan pakaian yang bertampal. Apabila Rasulullah melihat Mus’ab, Baginda menangis kerana mengenangkan kehidupan mewah yang pernah dinikmati oleh Mus’ab.” (HR al-Tirmizi).

Ketika suasana sengit dalam Perang Uhud, Mus’ab jualah antara pejuang yang mempertahankan Rasulullah SAW. Beliau memegang panji Islam dengan tangan kanannya. Musuh datang lalu menebas tangan Mus’ab sehingga putus. Ketika lalu di hadapan jenazah Mus’ab yang syahid di medan Uhud, Rasulullah SAW sangat sebak. Hal ini kerana Baginda SAW terkenangkan perjuangan Mus’ab yang menjadikan keseluruhan dirinya semua untuk Islam. Baginda SAW lalu membacakan ayat:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.


Tidak dinafikan bahawa Allah SWT berhak melimpahkan rahmatNya kepada sesiapa sahaja untuk mengurniakan syurga, namun secara fitrahnya Rasulullah SAW sendiri berusaha keras memartabatkan Islam bagi mendapatkan redha Allah dan dijanjikan syurga yang mahal. Jadi bagaimana pula kita yang dilahirkan dalam keadaan Islam sudah berkembang. Adakah kita bersikap sambil lewa dalam menjalani kehidupan seharian tanpa mempedulikan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan Islam?  Masih ada lagi kah alasan atau sebab untuk tidak melaksanakan suruhan Allah SWT? Perlu diingati bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu melainkan mampu dilaksanakan oleh hambaNya. Oleh itu, marilah kita sama-sama melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya kerana syurga itu mahal. Semoga kita semua sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. 

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya

TAZKIRAH : TIDAK MENDEDAHKAN AIB PASANGAN

Suami dan isteri itu sifatnya saling melindungi. Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

 “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)
Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:


جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء

“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”
Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah SAW:


إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)
Begitu juga menurut Rasulullah SAW, sebaik-baik wanita itu adalah yang menjaga hak suaminya. Sabda Rasulullah SAW:

خيرُ النِّساءِ امرأةٌ إذا نظرتَ إليها سرَّتك، وإذا أمرتَها أطاعتك، وإذا غبتَ عنها حفظتَك في نفسِها ومالِك

“Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu saat memandangnya, dia taat kepadamu saat disuruh, dan ketika engkau tiada, dia menjaga kehormatannya dan memelihara hartamu.” (HR Abu Daud al-Tayyalisi)
Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah SWT mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti. Jika dilihat pada firman Allah SWT dan hadis-hadis yang telah dinyatakan pada sebelum ini juga menyatakan bahawa seorang wanita atau isteri perlu untuk menjaga dirinya ketika ketiadaan suaminya. Jika keadaan seperti itu sudah diwajibkan untuk menjaga diri dan maruah, apatah lagi jika berada di hadapan suaminya. Aib suami perlu dijaga dan nama baik suami perlu dipelihara. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh isteri bahkan suami juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Firman Allah SWT:

 ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰ⁠مُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡض

Maksudnya: “ Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan…” (Surah al-Nisa’: 34)
Imam al-Baidhawi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa para lelaki mempunyai tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat. Hal ini bermakna tanggungjawab para suami bukan hanya memberi nafkah semata bahkan lebih daripada itu. Antara tanggungjawab suami yang perlu dijalankan terhadap isterinya adalah dengan mendidiknya. Suami tidak boleh membiarkan isteri dan ahli keluarga hanyut tanpa panduan. Lebih teruk lagi membiarkan isterinya melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Jika ini berlaku maka suaminya itu adalah seorang suami yang dayus. Bahkan saat maruah isteri dihina, suami wajib mempertahankannya. Oleh itu, dalam melayari bahtera perkahwinan setiap pasangan seharusnya saling menjaga antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekalipun lebih-lebih lagi pada zaman penggunaan teknologi yang semakin berleluasa memudahkan lagi setiap pasangan terjerumus atau secara tidak sedar telah menyebarkan aib pasangan masing-masing. Semoga setiap daripada kita dikurniakan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmat. 

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya  

TAZKIRAH : ANTARA KISAH DALAM SURAH AL-KAHFI

Dalam zaman yang penuh dengan tipu daya dunia ini, marilah sama-sama kita merenungi pengajaran dari Surah al-Kahfi. Allah SWT mempersembahkan kepada kita empat kisah yang mempunyai simbol kepada mesej yang ingin disampaikan. Kisah pertama merupakan kisah Pemuda Kahfi yang menggambarkan bagaimana sekumpulan pemuda yang lari berusaha menyelamatkan agama mereka. Kisah kedua pula adalah mengenai pemilik kebun yang dikurniakan oleh Allah harta dunia dan bagaimana harta dunia itu akhirnya menjadikan dia kufur dan jauh dari Allah. Manusia terkadang berbangga dengan harta dan pengikutnya yang ramai. Firman Allah SWT:

وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”. (al-Kahfi: 34)

Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah menyatakan bahawa harta yang banyak, pengaruh yang kuat serta pengikut yang ramai menjadikan manusia keliru dan akhirnya merasa tinggi diri, ego dan jauh dari bimbingan Allah. Perasaan takkabur ini merupakan salah satu daripada penyakit hati yang menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah SWT dan terus hanyut di pentas dunia. Selain itu, perasaan ini jugalah yang menyebabkan iblis tidak mahu untuk sujud kepada Nabi Adam AS sehingga menjadi makhluk yang kufur. Kemudian Allah SWT mendatangkan kisah Nabi Musa AS pula, yang menceritakan tentang ujian ilmu. Dalam sebuah hadis, Nabi Musa AS dikatakan tidak menyangka bahawa ada orang yang mempunyai ilmu yang lebih sedikit dari dirinya. Lalu Allah wahyukan kepadanya tentang Nabi Khidir. Kisah ini dipaterikan dalam Surah al-Kahfi bagaimana ilmu yang tersemat dalam diri seseorang berupaya menjadikan mereka ego dan sombong. Manakalah kisah yang terakhir adalah mengenai kisah Zulkarnain dan fitnah kuasa. Allah SWT mengurniakan kuasa kepada manusia adalah untuk memelihara agama Allah SWT dan bukan menjadi sombong kepadanya. Menariknya di penghujung surah ini, Allah SWT menegaskan dengan satu amalan yang paling sia-sia. Manusia merasakan dia telah melakukan kebaikan, amalan atau sumbangan yang paling banyak sedangkan amalan itu pada hakikatnya sia-sia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

“قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِينَ أَعْمَالا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

Ayat ini merupakan pengajaran buat kita semua bahawa dalam segala kurniaan nikmat dan fitnah dunia yang Allah berikan kepada kita, janganlah kita sombong dan ego kerana kehidupan dunia ini bersifat sementara. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar kita diberikan pertolongan oleh Allah SWT untuk sentiasa mengingatinya dan bersyukur dengan setiap apa yang dikurniakan kepada kita sama ada kurniaan tersebut berbentuk harta, kesihatan, diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melakukan ketaatan dan sebagainya. Sentiasalah muhasabah diri kita supaya kita tidak terlepas daripada bersyukur kepada Allah SWT.

Penulis : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya

TAZKIRAH: MENYESAL DI PENGHUJUNG NYAWA

Kita semua perlu mengetahui bahawa tiada istilah terlambat dalam agama sama ada dalam menuntut ilmu, bertaubat, mengerjakan amal kebaikan, berubah menjadi baik dan sebagainya. Namun, kesemua perkara ini dikatakan terlambat ketikamana nyawa berada di penghujung kerongkong. Waktu itu taubat sudah tidak lagi diterima dan segala penyesalan adalah sia-sia. Dalam al-Quran, Allah menceritakan mengenai penyesalan manusia di penghujung nyawa mereka. Ini dapat kita saksikan pada riwayat kisah Firaun yang tiba-tiba dia menyesal saat ditenggelamkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Surah Yunus, 90)

Begitu juga dalam Surah al-Mukminun, Allah menceritakan sikap orang yang menentang itu, saat kematiannya memohon agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal-amal soleh. Firman Allah:

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ
“apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”

Begitu juga dalam surah al-Munafiqun, Allah mengingatkan kita mengenai orang yang memohon agar ajal mereka ditangguhkan supaya mereka boleh menyumbang atau bersedekah dan melakukan kebaikan. Firman Allah:

وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقْنَٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ قَرِيبٍۢ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “.

Ayat-ayat ini menunjukkan berkenaan dengan penyesalan mereka yang berada di penghujung nyawa atau ketika menghampiri sakaratul maut. Ayat-ayat ini juga seharusnya menjadi peringatan buat diri kita untuk sentiasa muhasabah diri dan memperbanyak melakukan amal soleh terutamanya amalan sedekah yang dinyatakan secara jelas dan banyak dalam al-Quran mengenai kelebihan bersedekah dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan amal soleh yang lainnya. Semoga segala amal kebaikan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT sebelum terlambat. Jadi, sentiasalah bermuhasabah diri agar kita tidak terlepas dalam melakukan kebaikan. Semoga Allah mempermudah semua urusan kita.

Penulis : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya

RAHMAT ALLAH SWT

Setiap daripada kita mengidamkan untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang yang tersayang sehingga sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja. Namun, kita lupa bahawa yang memberi nikmat kepada kita di setiap saat dan di setiap hembusan nafas kita itu ialah Allah SWT. Betapa besarnya kasih sayang dan rahmat Allah SWT kepadanya sehingga walaupun hambaNya itu sering melakukan dosa dan maksiat, Allah SWT masih lagi memberi peluang kepada kita untuk bernafas, bercakap, makan dan sebagainya. Jadi, sebagai hamba kita mestilah sentiasa berusaha untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur sahabat yang mulia Abu Huraira RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah memiliki 100 rahmat. Diturunkan satu rahmat daripadanya (dan diberikan) kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang yang berbisa. Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati. Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya. Allah SWT mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (yang berbaki) untuk Dia merahmati hamba-Nya dengan rahmat itu pada Hari Kiamat.”

Maka di sini jelaslah bahawa tiada siapa yang dapat menandingi kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja tanpa meminta sedikit pun balasan dan kepentingan. Hal ini berbeza dengan makhluk yang memberi kasih dan sayang kerana ingin mengharapkan pulangan kasih dan sayang. Manusia memberikan kasih kepada manusia lain agar turut dikasihi. Rahmat dan kasih sayang Allah SWT amat luas dan tiada sesiapa yang mampu memberikan kasih sayang seumpama Allah SWT kepada makhluknya. Perkara ini terbukti dengan berterusannya nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya walaupun mereka melakukan sebesar-besar dosa dan maksiat. Begitu juga dengan orang kafir yang ingkar di dunia, mereka masih lagi mampu untuk hidup dengan senang-lenang dengan kemewahan dunia yang sementara. Orang Islam pula, turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat. Ini semua merupakan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah SWT. Manakala, orang yang hidupnya susah di dunia, bukan bererti Allah SWT tidak mengasihi mereka. Tidakkah para nabi dan rasul adalah kekasih Allah SWT? Namun, merekalah yang paling banyak diuji dan yang paling banyak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT sehingga menjadi kekasihNya.

Maka apakah bentuk kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya?

Antara bentuk kasih sayang Allah SWT kepada kita ialah melalui pensyariatan halal dan haram. Suruhan dan tegahan daripada Allah SWT menunjukkan bahawa Allah begitu kasih terhadap hamba-Nya agar tidak terjerumus dalam tipu daya syaitan dan nafsu yang menyesatkan. Selain itu, nikmat kurniaan setiap anggota tubuh manusia terutamanya akal. Dengan pancaindera yang pelbagai ini manusia menjadi sangat mulia dan terhormat daripada makhluk yang lain. Di samping itu, Islam dan iman adalah nikmat yang paling terbesar dikurniakan kepada hamba-Nya. Orang kafir yang melakukan kebaikan sebesar gunung, tidaklah dinilai di sisi Allah SWT berbanding kebaikan orang beriman walau sebesar kuman sekalipun, akan dibalas dengan balasan yang setimpal. Allah SWT mengampunkan dosa para hambaNya walaupun dosanya menjangkau seluas langit dan bumi.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) 10 kali ganda amalnya. Sesiapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dizalimi (dirugikan).” (Surah al-An’am 6: 160)

Terdapat pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita. Nikmat dan pemberian ini sangatlah banyak dan tidak terhitung bagaimana dengan kita masih lagi mampu untuk bernafas, masih mampu untuk membuka mata, masih lagi mampu untuk berjalan, pergi ke kerja, makan dan sebagainya. Jadi, nikmat Allah SWT yang manakah yang kita hendak dustakan. Jadi, sudah menjadi kewajipan kita untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun.  

Rujukan: Ustaz Mohd Azrul bin Ismail

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : SABAR DAN SYUKUR

Dalam kehidupan seharian kita tidak akan terlepas daripada ujian sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun dalam bentuk kesusahan. Ujian yang ditimpakan kepada manusia ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk mengangkat darjat dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Setiap orang mempunyai tahap ujian yang berbeza mengikut kepada tahap kemampuan masing-masing. Allah SWT berfirman:

لَا یُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَیۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَیۡنَاۤ إِصۡراً كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ﴿ ٢٨٦ ﴾

Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”

(Surah al-Baqarah: ayat 286)

Allah SWT tidak akan memberatkan hambanya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu. Kita sebagai hamba mestilah sentiasa berusaha untuk bersabar ketika mana ditimpa ujian. Kerana apa? Kerna mereka yang bersabar ketika ditimpa ujian akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman: 

ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَٰجِعُونَ ﴿ ١٥٦ ﴾  أُو۟لَـٰۤىِٕكَ عَلَیۡهِمۡ صَلَوَٰ⁠ت مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةࣱۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ ﴿ ١٥٧ ﴾

Maksudnya: Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali.”Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.

 (Surah al-Baqarah: ayat 156-157)

Begitu juga dengan doa yang selalu kita amalkan:

 …رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ حَسَنَةࣰ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ﴿ ٢٠١ ﴾

 Maksudnya: … “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

  (Surah al-Baqarah: ayat 201)

Apabila mendapat nikmat, kita bergembira. Namun, sebaliknya jika mendapat ujian kita mengeluh. Walhal, ujian itu sebenarnya adalah doa kita yang dimakbulkan oleh Allah SWT. Bagaimana dikatakan doa itu dimakbulkan? Dan kenapa ujian?

Tanpa kita sedar, sebenarnya nikmat itu adalah untuk kebaikan di dunia, manakala ujian itu adalah untuk kebaikan di akhirat. Selari dengan doa yang kita selalu amalkan supaya mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Kedua-duanya adalah untuk kebaikan kita. Jadi, kenapa kita masih lagi mengeluh ketika mendapat ujian? Selain itu, ujian yang ditimpakan terhadap seseorang hamba boleh menjadi nikmat dan boleh juga menjadi bala atau istidraj. Jadi bagaimana caranya untuk mengetahui bahawa ujian tersebut merupakan bala atau nikmat? Antara tanda untuk mengetahui bahawa ujian tersebut merupakan nikmat ialah apabila ditimpa ujian seseorang hamba tersebut lebih ingat kepada Allah, lebih dekat kepada Allah dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT. Maka, ujian tersebut merupakan nikmat baginya yang merupakan kebaikan di akhirat. Namun sebaliknya, ujian tersebut menjadi bala apabila seseorang hamba itu menjadi lebih jauh daripada Allah SWT dan bersangka buruk terhadap aturan Allah SWT.

Justeru, kita mestilah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan ujian yang dikurniakan kepada kita. Tanamlah azam dalam diri kita pada tahun ini untuk sentiasa bersyukur dan menghargai Pemberi Nikmat dan bukan hanya sekadar menghargai nikmat yang kita dapat semata. Oleh itu, walau dengan sekecil-kecil nikmat yang kita dapat sekalipun kita masih lagi mampu untuk bersyukur. Kerana apa? Kerana hati kita sudah tertaut kepada Pemberi Nikmat. Maka dari itu, teruslah sabar dan syukur. Wallahua’lam.

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : ANJURAN UNTUK MELAKUKAN IBADAH PADA WAKTU MALAM

TAZKIRAH : ANJURAN UNTUK MELAKUKAN IBADAH PADA WAKTU MALAM 

Sebagai umat Islam kita dianjurkan untuk sentiasa memperbanyakkan amalan harian kita untuk menjadi muslim yang lebih baik. Antara amalan yang digalakkan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita ialah amalan menghidupkan malam dengan melakukan ibadah. Sempena menyambut kedatangan Ramadan yang hanya berbaki  beberapa hari sahaja lagi, kita seharusnya melatih diri untuk mula melakukan ibadah-ibadah lain seperti qiamullail. Rasulullah SAW juga menganjurkan sahabat-sahabat baginda untuk melakukan qiamullail dan hasil daripada sunnah nabi ini tercatat dalam sejarah betapa hebatnya mereka. Bahkan qiamulail menjadi amalan utama para nabi, para sahabat baginda, salafus soleh dan orang-orang mukmin yang ikhlas dari dahulu hingga sekarang. Tali kesabaran mereka terus terbentang tanpa terputus, malah mereka menerima dengan penuh reda terhadap takdir Allah SWT. Ketenangan jiwa mereka terpancar melalui kejernihan wajah mereka.

 Antara anjuran untuk bangun malam ialah:

 1.       Rasulullah SAW bersabda:

أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله المحرم وإن أفضل الصلاة بعد المفروضة صلاة من الليل

Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardu adalah solat malam (qiyamullail/tahajjud).

(Hadis Riwayat Riwayat Abu Daud: 2429)

 2.       Imam Syafie juga menyatakan dalam kitab al-manhaj al-sawi:

ينبغي للعالم أن يكون له خبيئة من العمل الصالح فيما بينه وبين الله، ولا يعتمد على العلم فقط، فإنه قليل الجدوى في الآخرة.

Maksudnya: Sewajarnya  bagi orang lain, hendaklah memilih sesuatu yang disembunyikan daripada amal soleh antara dirinya dengan Allah. Dia hendaklah tidak menyandarkan kepada ilmu sahaja kerana ilmu faedahnya sedikit di akhirat.

3.       Syeikh Ismail bin Ibrahim al-Jabaruti berkata:

جمع الخير كله في الليل،وما عقدت لولي ولاية إلا بالليل.

Maksudnya: Seluruh kebaikan terkumpul pada waktu malam dan tidak diberikan kewalian kepada seorang wali kecuali pada waktu malam.”

4.       Habib Abdullah bin Umar al-Syatiri ketika melihat muridnya tertidur sehingga subuh (tidak sempat berqiyamullail), beliau akan menyuruhnya membasuh kedua  telinganya kerana telah warid daripada Sayyidina Ibnu Mas’ud berkata, “Disebutkan di sisi Nabi SAW tentang seorang yang tidur pada waktu malam sehingga fajar (tanpa berqiyamullail), Baginda SAW bersabda:

ذاك رجل بال الشيطان في أذنيه – أو قال – في أذنيه.

Maksudnya:  lelaki itu dikencing oleh syaitan kedua telinganya – atau dia mengatakan – telinganya.”

                  (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Di samping itu juga, kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk bangun pada waktu malam. Hal ini kerana solat malam merupakan salah satu cara seorang hamba untuk lebih dekat (taqarrub) kepada Allah  SWT. Anjuran yang dinyatakan pada sebelum ini  ada menyatakan mengenai qiyamullail dan tahajjud. Jadi apakah perbezaan antara qiamullail dan tahajjud? Qiamullail secara ringkasnya ialah solat sunat atau amalan yang dilakukan pada waktu malam. Manakala, tahajjud pula merupakan solat sunat yang dilakukan selepas tidur pada waktu malam. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din menulis satu bab khusus mengenai cara-cara yang mudah untuk bangun pada waktu malam. Cara-cara tersebut dibahagikan kepada empat yang berkaitan dengan zahir dan empat lagi berkaitan dengan batin.

4 cara yang berkaitan dengan zahir ialah:

1.       Tidak makan terlalu banyak

2.       Mengurangkan aktiviti pada waktu siang

3.       Istiqamah melakukan qailulah (tidur sekejap pada waktu siang)

4.       Berusaha tidak melakukan perbuatan dosa pada waktu siang. Mengikut Imam Ghazali yang menukilkan perkataan Imam Hasan al-Basri menyatakan bahawa dosa-dosa yang dilakukan pada waktu siang menjadi pengikat jiwa untuk tidak terbangun pada waktu malam.

Manakala 4 cara yang berkaitan dengan batin ialah:

1.       Menjauhkan diri daripada hasad dengki, apa sahaja perbuatan yang tidak baik pada pandangan syarak dan mengurangkan perasaan sangat suka kepada harta benda dan dunia.

2.       Menambahkan rasa takut (khauf) atas azab dan seksaan Allah.

3.       Menambahkan ilmu pengetahuan tentang fadilat-fadilat qiamullail yang terdapat dalam al-Quran, hadis mahupun athar.

4.       Memperkuat keimanan dan kecintaan kepada Allah SWT.

Selain itu, terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad  SAW yang menerangkan mengenai  kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat pada waktu malam. Antaranya ialah: 

 1.       Firman Allah SWT:

وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَۖ عَسٰٓى اَنْ يَّبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” 

(Surah al-Isra’: 79)

2.       Firman Allah SWT:

وَمِنَ الَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيْلًا

 Maksudnya: “Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.”

 (Surah al-Insan: 26)

3.       Dari Aisyah RA :

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان النبي صلى الله عليه وسلم يقوم من الليل حتى تتفطر قدماه فقلت له، لم تصنع هذا يا رسول الله، وقد غفر لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر، قال: أفلا أكون عبدا شكورا.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

 (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

 4.       Firman Allah SWT:

اِنَّ نَاشِئَةَ الَّيْلِ هِيَ اَشَدُّ وَطْـًٔا وَّاَقْوَمُ قِيْلًاۗ

 Maksudnya: “Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.”

 (Surah al-Muzammil: 6)

5.        Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda:

إن في الليل لساعة لا يوافقها رجل مسلم يسأل الله خيرا من أمر الدنيا والأخرة إلا أعطاه إياه وذلك كل ليلة.

Maksudnya: “pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

6.       Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

عن عبد الله بن سلام رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: أيها الناس، أفشوا السلام وأطعموا الطعام وصلوا بالليل والناس نيام تدخلوا الجنة بسلام.

Maksudnya: “Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.”

 (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Maka, berdasarkan kepada penjelasan tersebut terdapat banyak kelebihan melakukan ibadah pada waktu malam. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat lebih-lebih lagi ibadah pada waktu malam, sementara badan kita masih sihat, masih mempunyai kekuatan fizikal hasil dari mengecapi nikmat nikmat Allah SWT, mudah-mudahan kita juga akan termasuk ke dalam golongan ahli ibadah dan diletakkan bersama-sama dengan para nabi, rasul dan orang yang soleh.

Rujukan :

1.       Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

2.       Hamidah Sulaiman, Zawawi Ismail & Saedah Siraj. (2012). Keajaiban Qiyamullail dalam Merawat Masalah Kemurungan: Satu Kajian Kes. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

3. Muhadir Joll. (2019). Qalbun Salim syarah Penawar Bagi Hati. Selangor: Galeri Ilmu.

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH: MENGENALI TOKOH MAZHAB – IMAM SYAFIE

Imam al-Syafie merupakan seorang tokoh agung yang sangat terkenal dengan keilmuannya di seluruh pelusuk dunia. Nama penuh Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin Ubaid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Keturunannya bertemu dengan Rasulullah SAW iaitu datuknya, Abdul Manaf. Imam Syafie juga merupakan pengasas kepada mazhab Syafie dan dilahirkan di Gaza pada tahun 150 Hijrah, iaitu pada tahun kewafatan Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit, pengasas kepada mazhab Hanafi.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang termasyhur adalah Imam Syafie dilahirkan di Gaza. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith (nasiru al-sunnah) dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad kedua hijrah. Mazhab Syafie adalah integrasi aliran pemikiran mazhab Maliki (aliran hadith) dan mazhab Hanafi (aliran al-ra’yi). Imam Syafie berpindah ke Makkah ketika berumur dua tahun dan membesar di sana. Beliau juga menghafal alQuran ketika berumur tujuh tahun dan menghafal kitab al-Muatta’ Imam Malik ketika berumur 10 tahun. Beliau juga mengambil ilmu daripada ahli ilmu antaranya Muslim bin Khalid al-Zanji al-Makki (mufti Mekah) dan dibenarkan mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun.

Di Madinah, beliau telah belajar dengan Imam Malik, iaitu setelah beliau bersedia untuk berjumpa dengannya untuk mempelajari kitab al-Muatta’. Semasa Imam Syafie menuntut ilmu, beliau berulang-alik dari Makkah ke Madinah dan berjaya menghimpun serta menuntut ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga Imam Syafie menjadi rujukan dan hujah dalam bahasa Arab. Beliau digelar nasiru al-sunnah ketika berada di Baghdad kerana membantu melawan puak bida’ah yang berkembang meluas pada ketika itu khususnya di Iraq yang membawa kepada kekacauan kerana banyaknya mengikut kepada hawa nafsu serta jauh dari Islam dan hidayah. 

Kota Baghdad juga menjadi tempat Imam Syafie memulakan penulisan buku-buku utama beliau antaranya al-Risalah al-Uula yang menghimpunkan ilmu usul fiqh dan musṭalah hadith. Semasa usia Imam Syafie yang masih muda, Imam Syafie sering mengunjungi dan bergaul dengan suku Hudzail yang tinggal berhampiran Makkah. Beliau mempelajari bahasa Arab fuṣḥah dari suku Arab asli penutur bahasa Arab yang tidak bercampur dengan laḥn dan bahasa asing yang lain. Oleh kerana itu, beliau memiliki kemampuan bahasa yang sangat baik sehingga memahami al-Quran dan hadith Nabi SAW dengan baik. Pada awalnya Imam Syafie lebih cenderung dalam mempelajari syair, sastera dan bahasa Arab. Namun, Allah SWT telah menentukannya untuk mempelajari ilmu fiqh. Dalam usianya yang muda, Imam Syafie telah mendapatkan ilmu dengan secukupnya walaupun beliau hidup dalam kemiskinan.

Pengembaraan Imam Syafie dari suatu tempat ke suatu tempat telah banyak memberi impak dalam meningkatkan ilmu yang dipelajari. Beliau juga bersifat terbuka dengan mengambil ilmu daripada ulama’- ulama’ hebat yang terdiri daripada mazhab yang berbeza. Kemuncaknya beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap syariat Islam. 

Rujukan: 

1. Muhammad Amirul Asraf Mohd Darawi & Kamariah Kamarudin. (2018). Manhaj Akidah Imam al-Shafie dalam Novel Rimba Jiwa dan Qalam Kalbu. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

2. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2010). Istilah-istilah Fiqah dan Usul Empat Mazhab. Putrajaya: JAKIM.

3. Akram Yusuf Umar al-Qawwasi. (2003). Madkhal Ila Madzhab al-Syafie. Jordan: Dar alNafais.

4. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin, Muhammad Arid Md Aris, Abdul Hanis Embong. (2019). Mazhab Syafie: Legasi dan Pengaruhnya di Malaysia. Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin.

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : TUJUH KRITERIA ORANG YANG BERUNTUNG DALAM AL-QURAN

Allah SWT menyampaikan berita gembira mengenai tujuh kriteria orang-orang mukmin yang beruntung melalui Surah al-Mukminun. Antara tujuh kriteria tersebut ialah:

1. Memiliki keimanan iaitu membenarkan dan mempercayai apa yang terkandung dalam rukun iman.
2. Khusyuk dalam solat iaitu menundukkan dan merendahkan diri kepada Allah SWT disertai dengan rasa takut kepadaNya. Khusyuk adalah tempatnya di hati. Jika hati khusyuk maka, seluruh anggota tubuh juga akan ikut khusyuk. Hal ini kerana hati adalah raja bagi sekalian anggota.
3. Meninggalkan yang haram dan syirik dan semua bentuk kemaksiatan. Termasuk juga dalam perkara ini ialah segala hal yang tidak perlu  dan tidak berguna.
4. Menunaikan zakat – mampu membersihkan dan menyucikan jiwa dari kekotoran, kemaksiatan dan segala penyakit hati seperti dengki, iri hati, kebencian dan sebagainya.
5. Menjaga dan memelihara kemaluan daripada perbuatan keji dan mungkar seperti zina atau hubungan sejenis.
6. Menjaga dan menunaikan amanah dan janji- amanah dalam hal ini bermaksud setiap hal yang dibebankan kepada seseorang sama ada dalam urusan agama dan dunia sama ada melalui ucapan ataupun perbuatan.    
7. Memelihara solat dengan mendirikannya serta bersegera melaksanakannya pada awal waktu.  

Barangsiapa yang mengaplikasikan perkara tersebut dalam kehidupan sehariannya maka mereka itulah orang yang mewarisi syurga al-Firdaus dan kekal di dalamnya. 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

1 2 3