TAZKIRAH : MENDOAKAN ADIK-BERADIK SENDIRI

Salah satu perkara yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah al-Quran adalah mendoakan adik beradik sendiri. Perkara ini dapat dilihat apabila Nabi Musa AS mendoakan abangnya Nabi Harun AS. Hubungan abang-adik ini adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai. Mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah. Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Nabi Musa AS orangnya keras manakala, Nabi Harun AS itu sikapnya lembut. Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Nabi Musa AS memarahi abangnya Nabi Harun AS dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Nabi Harun AS membalas dengan baik dengan katanya:

قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي إِنِّي خَشِيتُ أَنْ تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي
“Nabi Harun AS menjawab: “Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!”

( Surah Taha: 94 ) Nabi Harun AS seorang yang fasih sedangkan Nabi Musa AS pula tuturnya tidak berapa lancar. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa AS ketika meminta bantuan daripada Allah SWT supaya Allah SWT mengutuskan Nabi Harun AS sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur. Kata Nabi Musa AS:

وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا

“Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku”

(Surah al-Qasas: 34)
Walaupun memiliki karakter yg berbeza, kedua-dua beradik ini adalah pasangan yg ideal dalam dakwah. Ketika Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah SWT melantik Nabi Harun AS, abangnya sebagai pembantu. Perlantikan Nabi Harun AS sebagai pembantu Nabi Musa AS ini disebut berulang kali dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Nabi Harun AS sebagai pembantu misi dakwah tersebut. Allah SWT menceritakan dialog Nabi Musa AS ini di dalam al-Quran. Firman Allah:

وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (29) هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (32) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا

“Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34]

(Surah Taha: 30-34)
Mereka bukan sahaja sahaja saling membantu, Nabi Musa AS juga direkodkan sebagai seorang yang mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai di kalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri? Firman Allah SWT:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلأَخِي وَأَدْخِلْنَا فِي رَحْمَتِك

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.”

(Surah al-A’raf:151)
Berdasarkan kepada doa ini, alangkah baik seandainya adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka. Jika kita mempunyai rezeki yang lebih maka, memberi pertolongan dan bantuan kepada saudara sendiri terlebih utama berbanding dengan membantu orang lain. Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang berlipat kali ganda buat mereka yang sentiasa saling bantu-membantu sama ada dalam keadaan susah atau senang.

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya