TAZKIRAH : ANJURAN UNTUK MELAKUKAN IBADAH PADA WAKTU MALAM

TAZKIRAH : ANJURAN UNTUK MELAKUKAN IBADAH PADA WAKTU MALAM 

Sebagai umat Islam kita dianjurkan untuk sentiasa memperbanyakkan amalan harian kita untuk menjadi muslim yang lebih baik. Antara amalan yang digalakkan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita ialah amalan menghidupkan malam dengan melakukan ibadah. Sempena menyambut kedatangan Ramadan yang hanya berbaki  beberapa hari sahaja lagi, kita seharusnya melatih diri untuk mula melakukan ibadah-ibadah lain seperti qiamullail. Rasulullah SAW juga menganjurkan sahabat-sahabat baginda untuk melakukan qiamullail dan hasil daripada sunnah nabi ini tercatat dalam sejarah betapa hebatnya mereka. Bahkan qiamulail menjadi amalan utama para nabi, para sahabat baginda, salafus soleh dan orang-orang mukmin yang ikhlas dari dahulu hingga sekarang. Tali kesabaran mereka terus terbentang tanpa terputus, malah mereka menerima dengan penuh reda terhadap takdir Allah SWT. Ketenangan jiwa mereka terpancar melalui kejernihan wajah mereka.

 Antara anjuran untuk bangun malam ialah:

 1.       Rasulullah SAW bersabda:

أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله المحرم وإن أفضل الصلاة بعد المفروضة صلاة من الليل

Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardu adalah solat malam (qiyamullail/tahajjud).

(Hadis Riwayat Riwayat Abu Daud: 2429)

 2.       Imam Syafie juga menyatakan dalam kitab al-manhaj al-sawi:

ينبغي للعالم أن يكون له خبيئة من العمل الصالح فيما بينه وبين الله، ولا يعتمد على العلم فقط، فإنه قليل الجدوى في الآخرة.

Maksudnya: Sewajarnya  bagi orang lain, hendaklah memilih sesuatu yang disembunyikan daripada amal soleh antara dirinya dengan Allah. Dia hendaklah tidak menyandarkan kepada ilmu sahaja kerana ilmu faedahnya sedikit di akhirat.

3.       Syeikh Ismail bin Ibrahim al-Jabaruti berkata:

جمع الخير كله في الليل،وما عقدت لولي ولاية إلا بالليل.

Maksudnya: Seluruh kebaikan terkumpul pada waktu malam dan tidak diberikan kewalian kepada seorang wali kecuali pada waktu malam.”

4.       Habib Abdullah bin Umar al-Syatiri ketika melihat muridnya tertidur sehingga subuh (tidak sempat berqiyamullail), beliau akan menyuruhnya membasuh kedua  telinganya kerana telah warid daripada Sayyidina Ibnu Mas’ud berkata, “Disebutkan di sisi Nabi SAW tentang seorang yang tidur pada waktu malam sehingga fajar (tanpa berqiyamullail), Baginda SAW bersabda:

ذاك رجل بال الشيطان في أذنيه – أو قال – في أذنيه.

Maksudnya:  lelaki itu dikencing oleh syaitan kedua telinganya – atau dia mengatakan – telinganya.”

                  (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Di samping itu juga, kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk bangun pada waktu malam. Hal ini kerana solat malam merupakan salah satu cara seorang hamba untuk lebih dekat (taqarrub) kepada Allah  SWT. Anjuran yang dinyatakan pada sebelum ini  ada menyatakan mengenai qiyamullail dan tahajjud. Jadi apakah perbezaan antara qiamullail dan tahajjud? Qiamullail secara ringkasnya ialah solat sunat atau amalan yang dilakukan pada waktu malam. Manakala, tahajjud pula merupakan solat sunat yang dilakukan selepas tidur pada waktu malam. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din menulis satu bab khusus mengenai cara-cara yang mudah untuk bangun pada waktu malam. Cara-cara tersebut dibahagikan kepada empat yang berkaitan dengan zahir dan empat lagi berkaitan dengan batin.

4 cara yang berkaitan dengan zahir ialah:

1.       Tidak makan terlalu banyak

2.       Mengurangkan aktiviti pada waktu siang

3.       Istiqamah melakukan qailulah (tidur sekejap pada waktu siang)

4.       Berusaha tidak melakukan perbuatan dosa pada waktu siang. Mengikut Imam Ghazali yang menukilkan perkataan Imam Hasan al-Basri menyatakan bahawa dosa-dosa yang dilakukan pada waktu siang menjadi pengikat jiwa untuk tidak terbangun pada waktu malam.

Manakala 4 cara yang berkaitan dengan batin ialah:

1.       Menjauhkan diri daripada hasad dengki, apa sahaja perbuatan yang tidak baik pada pandangan syarak dan mengurangkan perasaan sangat suka kepada harta benda dan dunia.

2.       Menambahkan rasa takut (khauf) atas azab dan seksaan Allah.

3.       Menambahkan ilmu pengetahuan tentang fadilat-fadilat qiamullail yang terdapat dalam al-Quran, hadis mahupun athar.

4.       Memperkuat keimanan dan kecintaan kepada Allah SWT.

Selain itu, terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad  SAW yang menerangkan mengenai  kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat pada waktu malam. Antaranya ialah: 

 1.       Firman Allah SWT:

وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَۖ عَسٰٓى اَنْ يَّبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” 

(Surah al-Isra’: 79)

2.       Firman Allah SWT:

وَمِنَ الَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيْلًا

 Maksudnya: “Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.”

 (Surah al-Insan: 26)

3.       Dari Aisyah RA :

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان النبي صلى الله عليه وسلم يقوم من الليل حتى تتفطر قدماه فقلت له، لم تصنع هذا يا رسول الله، وقد غفر لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر، قال: أفلا أكون عبدا شكورا.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

 (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

 4.       Firman Allah SWT:

اِنَّ نَاشِئَةَ الَّيْلِ هِيَ اَشَدُّ وَطْـًٔا وَّاَقْوَمُ قِيْلًاۗ

 Maksudnya: “Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.”

 (Surah al-Muzammil: 6)

5.        Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda:

إن في الليل لساعة لا يوافقها رجل مسلم يسأل الله خيرا من أمر الدنيا والأخرة إلا أعطاه إياه وذلك كل ليلة.

Maksudnya: “pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

6.       Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

عن عبد الله بن سلام رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: أيها الناس، أفشوا السلام وأطعموا الطعام وصلوا بالليل والناس نيام تدخلوا الجنة بسلام.

Maksudnya: “Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.”

 (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Maka, berdasarkan kepada penjelasan tersebut terdapat banyak kelebihan melakukan ibadah pada waktu malam. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat lebih-lebih lagi ibadah pada waktu malam, sementara badan kita masih sihat, masih mempunyai kekuatan fizikal hasil dari mengecapi nikmat nikmat Allah SWT, mudah-mudahan kita juga akan termasuk ke dalam golongan ahli ibadah dan diletakkan bersama-sama dengan para nabi, rasul dan orang yang soleh.

Rujukan :

1.       Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

2.       Hamidah Sulaiman, Zawawi Ismail & Saedah Siraj. (2012). Keajaiban Qiyamullail dalam Merawat Masalah Kemurungan: Satu Kajian Kes. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

3. Muhadir Joll. (2019). Qalbun Salim syarah Penawar Bagi Hati. Selangor: Galeri Ilmu.

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam