RAHMAT ALLAH SWT

Setiap daripada kita mengidamkan untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang yang tersayang sehingga sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja. Namun, kita lupa bahawa yang memberi nikmat kepada kita di setiap saat dan di setiap hembusan nafas kita itu ialah Allah SWT. Betapa besarnya kasih sayang dan rahmat Allah SWT kepadanya sehingga walaupun hambaNya itu sering melakukan dosa dan maksiat, Allah SWT masih lagi memberi peluang kepada kita untuk bernafas, bercakap, makan dan sebagainya. Jadi, sebagai hamba kita mestilah sentiasa berusaha untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur sahabat yang mulia Abu Huraira RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah memiliki 100 rahmat. Diturunkan satu rahmat daripadanya (dan diberikan) kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang yang berbisa. Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati. Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya. Allah SWT mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (yang berbaki) untuk Dia merahmati hamba-Nya dengan rahmat itu pada Hari Kiamat.”

Maka di sini jelaslah bahawa tiada siapa yang dapat menandingi kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja tanpa meminta sedikit pun balasan dan kepentingan. Hal ini berbeza dengan makhluk yang memberi kasih dan sayang kerana ingin mengharapkan pulangan kasih dan sayang. Manusia memberikan kasih kepada manusia lain agar turut dikasihi. Rahmat dan kasih sayang Allah SWT amat luas dan tiada sesiapa yang mampu memberikan kasih sayang seumpama Allah SWT kepada makhluknya. Perkara ini terbukti dengan berterusannya nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya walaupun mereka melakukan sebesar-besar dosa dan maksiat. Begitu juga dengan orang kafir yang ingkar di dunia, mereka masih lagi mampu untuk hidup dengan senang-lenang dengan kemewahan dunia yang sementara. Orang Islam pula, turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat. Ini semua merupakan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah SWT. Manakala, orang yang hidupnya susah di dunia, bukan bererti Allah SWT tidak mengasihi mereka. Tidakkah para nabi dan rasul adalah kekasih Allah SWT? Namun, merekalah yang paling banyak diuji dan yang paling banyak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT sehingga menjadi kekasihNya.

Maka apakah bentuk kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya?

Antara bentuk kasih sayang Allah SWT kepada kita ialah melalui pensyariatan halal dan haram. Suruhan dan tegahan daripada Allah SWT menunjukkan bahawa Allah begitu kasih terhadap hamba-Nya agar tidak terjerumus dalam tipu daya syaitan dan nafsu yang menyesatkan. Selain itu, nikmat kurniaan setiap anggota tubuh manusia terutamanya akal. Dengan pancaindera yang pelbagai ini manusia menjadi sangat mulia dan terhormat daripada makhluk yang lain. Di samping itu, Islam dan iman adalah nikmat yang paling terbesar dikurniakan kepada hamba-Nya. Orang kafir yang melakukan kebaikan sebesar gunung, tidaklah dinilai di sisi Allah SWT berbanding kebaikan orang beriman walau sebesar kuman sekalipun, akan dibalas dengan balasan yang setimpal. Allah SWT mengampunkan dosa para hambaNya walaupun dosanya menjangkau seluas langit dan bumi.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) 10 kali ganda amalnya. Sesiapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dizalimi (dirugikan).” (Surah al-An’am 6: 160)

Terdapat pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita. Nikmat dan pemberian ini sangatlah banyak dan tidak terhitung bagaimana dengan kita masih lagi mampu untuk bernafas, masih mampu untuk membuka mata, masih lagi mampu untuk berjalan, pergi ke kerja, makan dan sebagainya. Jadi, nikmat Allah SWT yang manakah yang kita hendak dustakan. Jadi, sudah menjadi kewajipan kita untuk sentiasa bersyukur kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun.  

Rujukan: Ustaz Mohd Azrul bin Ismail

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam