TAZKIRAH ”Mencegah Kemungkaran Tanggungjawab Bersama”

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.
Daripada Abu Sa’id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan
tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya
dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah
selemah-lemah iman.

Pengajaran hadis:
(1) Menunaikan tanggungjawab dakwah iaitu menyeru kepada perkara ma’aruf dan mencegah
kemungkaran adalah suatu kewajipan ke atas seorang mukmin yang tidak harus dipandang enteng,
kerana kecelakaan akan menimpa seluruh umat sekiranya kemungkaran dibiarkan terus merebak.
(2) Barangsiapa yang melihat suatu kemungkaran berlaku di depan matanya, dan dia berkuasa
mencegahnya sama ada dengan tangannya atau dengan lidahnya maka dia berkewajipan mencegah
kemungkaran tersebut. Dia berdosa membiarkan kemungkaran tersebut berlalu tanpa sebarang tindakan
atau percubaan mahu mencegahnya, kecuali kalau dia tidak mampu atau kerana dibimbangi akan
membawa kemudharatan kepada dirinya apabila dia mencegah mungkar itu.
(3) Mencegah mungkar hanya dengan hati, iaitu dengan membencinya dan berazam mahu
mencegahnya pada suatu masa nanti kalau dia mampu adalah tahap iman yang paling lemah

FATWA “Solat Qasar Dan Jamak Zohor Dengan Asar Pada Hari Jumaat”

“Solat Qasar Dan Jamak Zohor Dengan Asar Pada Hari Jumaat”

Huraian Tajuk/Isu:

Kertas ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ untuk mendapat pertimbangan dan pandangan mengenai solat Qasar dan Jamak Zohor dengan Asar pada hari Jumaat.

Keputusan:

Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 telah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut :
‘Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 memutuskan bahawa perkara ini merupakan hukum yang telah sedia ada’.

Keterangan/Hujah:

LATAR BELAKANG

1. Solat Qasar adalah satu keringanan bagi orang yang bermusafir serta memenuhi syarat untuk melakukan solat Qasar. Orang yang bermusafir tidak diwajibkan solat Jumaat berdasarkan Hadith :
Maksudnya : Tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir.

Jika orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat menunaikan solat Jumaat bersama orang ramai (orang yang diwajibkan solat Jumaat), maka dikira sah solat itu dan tidak diharuskan solat fardhu zohor kerana mereka menanggung kesulitan sebagaimana juga orang musafir yang melakukan puasa, sedangkan orang yang bermusafir tidak diwajibkan berpuasa tetapi jika dia berpuasa maka puasanya dikira sah. Ini kerana setiap orang yang sah solat zohornya tetapi tidak diwajibkan solat Jumaat. Apabila ia menunaikan solat Jumaat, maka solatnya dikira sah mengikut ijma”, sebab sah bagi orang yang tidak uzur, maka tentulah lebih sah bagi orang uzur.

2. Sehubungan dengan itu, berbagai pandangan ulama” dikemukakan. Antaranya :

Mazhab Hanafi :

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk bermukim atau tinggal selama 15 hari.
Mazhab Maliki :

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk bermukim atau tinggal selama 14 hari genap atau lebih, walaupun dengan adanya orang musafir itu tidak semestinya sah berjumaat (kerana orang musafir tidak dikira dalam bilangan Jemaah yang membolehkan sah solat Jumaat)

Mazhab Syafie :

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk tinggal di sesuatu tempat selama 4 hari dan musafir yang memulakan perjalanannya setelah terbit fajar subuh pada hari Jumaat. Tetapi sekiranya dimulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh maka tidak diwajibkan solat Jumaat

Mazhab Hanafi :

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir sekiranya ia berniat untuk tinggal selama 4 hari lebih ataupun musafir dengan tujuan maksiat. Ini bertujuan supaya maksiat tidak menjadi dasar kepada keringanan daripada kewajipan solat Jumaat atau kerana jarak antara tempat dia berada dengan tempat yang dilakukan solat sejauh satu fasakh atau kurang atau jarak jauh musafir itu kurang daripada jarak yang dibenarkan Qasar solat.

Rujukan : Fiqh dan Perundangan Islam (jilid II)

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/solat-qasar-dan-jamak-zohor-dengan-asar-pada-hari-jumaat

TAZKIRAH “Sebaik-baik Sahabat dan Jiran”

“Sebaik-baik Sahabat dan Jiran”
Hadith:

Daripada ‘Abdullah R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya”.
(Riwayat At-Tirmizi katanya ini hadis Hasan)
Huraian Hadith:
Islam menggalakkan hubungan baik antara jiran tetangga dan sahabat handai.

Orang yang berbaik-baik dengan jiran tetangga dan sahabat handai sentiasa dipuji dan dimuliakan oleh Allah SWT.

Hubungan persaudaraan hendaklah diperluas dan dipereratkan antara sesama Islam.

Islam menitikberatkan hal kejiranan dan persahabatan.

TAZKIRAH “3 Perkara Yang Disukai Allah”

TAZKIRAH
“3 Perkara Yang Disukai Allah”
Hadith:

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA katanya, “Aku bertanya kepada nabi SAW, apakah amalan yang paling Allah suka?” Jawab Nabi SAW, “Mengerjakan sembahyang dalam waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawabnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawabnya, “Jihad untuk menegakkan agama Allah”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Islam menghendaki umatnya supaya menyegerakan sembahyang apabila telah masuk waktunya, berbuat baik kepada ibubapa dan berjuang menegakkan agama Allah.

Umat Islam diberi ingat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada ibubapa kerana akibatnya adalah dosa yang amat besar.

Kewajipan tulin terhadap Allah yang paling afdhal selepas dua kalimat syahadah ialah sembahyang, kewajipan terhadap manusia yang paling afdhal ialah berbakti kepada ibu bapa dan jenis pengorbanan yang paling afdhal ialah jihad, kerana jihad ialah wasilah dan cara untuk memelihara hak Allah dan hak manusia.

Disebut “بر الوالدين” berserta dengan sembahyang menunjukkan ia sangat penting untuk menghargai jasa dan susah payah ibu bapa.

TAZKIRAH “Akhlak Ahli Syurga Dan Neraka”

TAZKIRAH
“Akhlak Ahli Syurga Dan Neraka”
Hadith:

Daripada Harithah bin Wahab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli syurga? Iaitu orang-orang yang lemah dan dipandang hina (oleh manusia), kalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah mengabulkan sumpahnya, tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Iaitu setiap orang yang kasar perangai atau bersikap kasar, angkuh dan sombong”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Gambaran sifat-sifat diantara ahli syurga dan ahli neraka dapat dikenali semasa didunia lagi.

Umat Islam yang mendapat kemenangan dihari akhirat kebanyakkannya adalah daripada golongan yang lemah dan yang dipandang hina oleh manusia semasa didunia. Tetapi amat sedikit mereka terdiri daripada golongan yang kaya dan hidup mewah.

Umat Islam dilarang bersifat kasar, angkuh dan sombong kerana ia adalah antara sifat-sifat yang dicela (mazmumah). Oleh itu bertakwalah kepada Allah dan beribadatlah sebanyak-banyaknya mengikut kemampuan seseorang.

Keistimewaan orang-orang yang mempunyai sifat-sifat ahli syurga adalah diakui Allah tentang kebenarannya.

Kita dituntut bersifap tawadhu’ dan rendah diri sesama Islam.

TAZKIRAH “Berkata Baik Atau Lebih Baik Diam”

Hadith:

Daripada Abu Syuraih al-Khuza’ie RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, “Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang bai
k ataupun diam”.

(Diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz ini dan setengah daripadanya diriwayatkan oleh Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Orang yang berbuat baik dengan jiran tetangga, memuliakan tetamu dan bercakap baik ataudiam adalah tergolong dalam golongan orang yang beriman dengan hari akhirat.

2. Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan memuliakan tetamu.

3. Islam mengajar umatnya supaya bercakap perkara-perkara yang tidak menyakiti orang lain.

4. Antara tanda beriman dengan hari kemudian dan kesedaran terhadap tanggungjawab ialah memelihara hak jiran, menghormati dan melayan tetamu dan berkata baik atau diam.

FATWA “Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.

Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’ yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.

Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:

a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.

Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.

Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.

Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.

Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat

TAZKIRAH “Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman”

“Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman”
Hadith:

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya nabi SAW bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”.

Dalam riwayat muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Huraian Hadith:
Islam melarang umatnya mengganggu ketenteraman jiran.

Mengganggu jiran sehingga menimbulkan porak-peranda dengan pecah belah adalah dilarang oleh Islam.

Orang yang menimbulkan kemarahan jiran adalah dianggap oleh Rasulullah s.a.w sebagai tidak sempurna imannya.

Memelihara ketenteraman jiran adalah diantara tanda-tanda kesempurnaan iman dan kemuliaan akhlak.

Jiran yang dimaksudkan tidak terbatas kepada jiran kediaman semata-mata, malah merangkumi setiap kejiranan seperti kampung, daerah, negeri dan negara.

TAZKIRAH “Perintah Anak Solat”

Hadith:
Daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya RA katanya, sabda Rasulullah SAW “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka”.

(Hadis Hasan, Riwayat Abu Daud dengan Isnad Hasan)

Huraian Hadith:

1. Ibu bapa dipertanggungjawabkab mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang.

2. Islam mengajar cara pengajaran yang baik dikalangan anak-anak.

3. Menyuruh anak-anak melakukan sembahyang merupakan kewajipan bagi setiap ibu bapa dan penjaga.

4. Ketika mumaiyiz anak-anak hendaklah diasingkan tempat tidur mereka.

5. Peringkat umur tujuh tahun adalah sesuai untuk disuruh mengerjakan suruhan Allah.

Islam mendedahkan satu teori pendidikan anak-anak dengan menitikberatkan amalan-amalan agama.

TAZKIRAH “Tunai Hajat Suami Ikut Kemampuan”

Hadith:

Daripada Abu Ali Thalki bin Ali RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda” Apabila suami memanggil isterinya untuk menunaikan sesuatu hajatnya maka hendaklah dia segera datang sekalipun dia sedang memasak”.

(Riwayat: at-Tirmizi dan an-Nasa’ie, at-Tirmizi berkata hadis ini Hasan)

Huraian Hadith:

1. Isteri dikehendaki menunaikan sesuatu hajat suami apabila dia meminta.

2. Apabila isteri dipanggil untuk melakukan sesuatu hajat maka hendaklah dia segera melakukannya.

3. Isteri hendaklah berusaha sekadar kemampuannya untuk menjadikan suaminya senang terhadap dirinya.

1 5 6 7 8 9 25