TAZKIRAH : TEGUR KERANA SAYANG

TAZKIRAH : TEGUR KERANA SAYANG

Beruntunglah seseorang itu jika masih ada lagi orang yang ingin menegur kesilapan dan memberi nasihat kepada kita. Hal ini kerana  perkara ini menjadi  bukti bahawa seseorang tersebut menyayangi kita. Agama Islam merupakan agama yang sempurna. Islam bukan sahaja menuntut kita untuk melakukan amal ibadah seperti mendirikan solat, menunaikan sembahyang, puasa, menunaikan haji dan sebagainya. Namun, dalam masa yang sama Islam juga menuntut umatnya untuk menjaga kesejahteraan hidup dengan menjaga hubungan semasa manusia. Saling bertoleransi, bekerjasama, dan bantu-membantu antara satu sama lain. Oleh yang demikian, Islam mengajar umatnya untuk saling memberi nasihat dan saling memberi teguran dalam perkara kebaikan. Menasihati dan memberi teguran adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam untuk memastikan seseorang itu dapat memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukannya dan dalam masa yang sama dapat memperbaiki diri untuk menjadi muslim yang lebih baik dan berkualiti.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nasihat dan teguran ialah cara dan adab dalam memberi teguran. Hal ini kerana, teguran yang dilakukan tanpa cara dan teguran yang betul akan menimbulkan salah faham dan membangkitkan kemarahan orang yang ditegur. Seterusnya, membawa kepada terjadinya pertengkaran. Oleh yang demikian, adab dan sopan perlu dijaga seiring dalam menasihati, menegur dan memberikan pendapat. Niat ketika menasihati seseorang itu mestilah betul semata-mata kerana Allah SWT dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk. Maka, jika niat dapat dijaga semata-mata kerana Allah SWT, cara teguran dan nasihat tersebut akan dilakukan dengan penuh berhemah, berhati-hati dan tidak sengaja mencari kelemahan orang yang ditegur. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: Daripada Tamim Midari, bahawa Nabi SAW bersabda: Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitabNya, kepada rasulNya, kepada para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara umum.

(HR Muslim)

Setiap nasihat atau teguran yang dilakukan perlu diteliti dan diperhalusi, orang yang menegur mestilah dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan beremosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kerana semua itu tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan. Antara cara dan adab dalam memberi teguran dan nasihat ialah:

Pertama: Memberi teguran dengan bahasa, perkataan dan suara yang lembut dan tidak bertujuan untuk membuka aib orang yang ditegur.

Kedua: Elakkan dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di hadapan orang ramai untuk mengelakkan orang yang ditegur berasa malu dan kecil hati.

Ketiga: Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk perasaan orang yang ditegur supaya jangan terasa hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan

Keempat:  Menasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita ditegur atau dinasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli keluarga kita ditegur.

Kelima: Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan.Amalan nasihat-menasihati merupakan satu amalan yang perlu dibudayakan dalam masyarakat kita pada hari ini dan bukannya membudayakan amalan mengumpat orang lain.Terimalah nasihat dan teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturrahim antara kita. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua akan hidup dengan damai, harmoni dan bersatu-padu. Hiduplah untuk dipandang Allah dan bukan dipandang manusia. Semoga semua usaha yang kita lakukan ke arah kebaikan mendapat keredaan daripada Allah SWT. 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya