TAZKIRAH : TADDABUR SURAH AL-JUMU’AH PADA SETIAP HARI JUMAAT

Dalam Surah al-Jumu’ah, Allah SWT menegur sikap sebahagian sahabat Nabi SAW yang meninggalkan Rasulullah SAW tatkala Baginda SAW sedang menyampaikan khutbah. Peristiwa ini dinukilkan oleh para sarjana tafsir yang menjelaskan insiden tersebut iaitu ketika baginda SAW sedang berdiri menyampaikan khutbah, datanglah kafilah dagangan milik Abdul Rahman bin Auf atau Dihyah al-Kalbi ke Madinah. 

Apabila melihat kafilah yang membawa barang-barang dagangan ini tiba, sebahagian besar sahabat bangun meninggalkan Rasulullah SAW berdiri keseorangan menyampaikan khutbah. Menurut Sheikh al-Tantawi hanya tinggal 12 orang sahabat sahaja yang kekal mendengar khutbah Nabi SAW. Perkara ini direkodkan di dalam al-Quran yang menyebutkan:

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ
“Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).”

(Surah al-Jumu’ah : 11)


Perhatikan di sini bagaimana dunia itu benar-benar memukau manusia sehingga seorang Rasul yang sedang berada di hadapan mata boleh ditinggalkan begitu sahaja. Insiden ini melakarkan satu pengajaran penting mengenai kilauan dunia yang boleh menenggelamkan urusan agama. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan kepada kita tentang dua elemen yang boleh menyebabkan manusia tergelincir dari landasan yang benar iaitu kesibukan terhadap urusan keduniaan dan tenggelam dalam hiburan. Hal ini kerana, dalam ayat di atas Allah SWT menegaskan bahawa manusia yang bangun pada hari tersebut adalah kerana mengejar perniagaan dan hiburan yang datang bertamu. Maka, bagi menangani isu ini, Allah SWT telah menjelaskan dalam Surah al-Saff mengenai perniagaan yang lebih menguntungkan. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ * تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ


“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu.”

(Surah al-Saf : 10-11)
Maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa manusia mudah tergoda dengan perkara duniawi sehinggakan lalai dengan tuntutan agama. Sebagaimana yang terjadi pada hari ini, manusia terlalu sibuk mengejar dunia, sehingga lalai dalam mengerjakan solat, lalai daripada melakukan tuntutan dan ajaran agama. Tanpa kita sedar bahawa perkara inilah yang melemahkan umat Islam kerana keperibadian umat Islam itu sendiri tidak kuat dan sangat lemah. Perkara ini perlu diubah dalam kalangan masyarakat supaya umat Islam tetap utuh dan kuat walaupun terpaksa berdepan dengan godaan dunia yang semakin hari semakin mencabar. Di samping itu, alangkah menarik sekiranya Surah al-Jumu’ah yang sering dibacakan oleh Rasulullah SAW pada Hari Jumaat (atau pada Malam Jumaat) ini, diperhatikan pengajarannya pada setiap minggu untuk mengingatkan diri kita yang sibuk mengejar urusan dunia setiap hari agar berhenti seketika untuk merenung dan bermuhasabah sejenak mengenai apa yang dilalui sepanjang seminggu yang telah berlalu.

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya