TAZKIRAH : MENCARI CINTA ALLAH SWT

Menjadi hamba yang dikasihi dan disayangi oleh Allah SWT merupakan satu impian dan harapan yang perlu ada pada setiap muslim. Keperibadian mereka yang sentiasa mendambakan cinta dan kasih Allah ini sentiasa akan terpandu pada jalan yang Allah reda seiring dengan amalan hatinya yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Inilah yang dikatakan seorang muslim yang bukan sahaja beruntung di dunia namun tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung di akhirat kelak. Untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah SWT seseorang itu mestilah mempunyai ciri 3B dalam dirinya iaitu “BERIMAN, BERTAKWA dan BERAMAL SOLEH”. Untuk memenuhi semua ciri 3B ini terdapat beberapa garis panduan yang dapat dikongsi antaranya ialah:
1.       Kenali Allah dengan sifat penyayang. Nabi SAW bersabda:
 عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، أَنَّهُ قَالَ قَدِمَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِسَبْىٍ فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ السَّبْىِ تَبْتَغِي إِذَا وَجَدَتْ صَبِيًّا فِي السَّبْىِ أَخَذَتْهُ فَأَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا وَأَرْضَعَتْهُ فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ أَتَرَوْنَ هَذِهِ الْمَرْأَةَ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ ‏”‏ ‏.‏ قُلْنَا لاَ وَاللَّهِ وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لاَ تَطْرَحَهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا ‏”‏ ‏.‏Maksudnya :  ‘Umar b. Khattab melaporkan bahawa ada beberapa orang tahanan yang dibawa menemui Rasulullah (ﷺ), di antaranya ada seorang wanita, yang sedang mencari (untuk seseorang) dan ketika dia menjumpai seorang anak di antara tahanan, dia memegangnya, menekannya ke dadanya dan dengan syarat menghisap. Maka Rasulullah (ﷺ) bersabda: Adakah anda fikir wanita ini mampu membuang anaknya ke dalam api? Kami berkata: Demi Allah, sepanjang kekuasaannya, dia tidak akan membuang anak itu ke dalam api. Oleh itu Rasulullah (ﷺ) bersabda: Allah lebih baik kepada hamba-hambaNya daripada wanita ini terhadap anaknya. (Hadis Riwayat Bukhari : 5999) Hadis ini menceritakan bagaimana seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya sehingga tidak sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api. Hal ini menunjukkan bahawa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya dan tidak sanggup untuk mendatangkan kemudaratan buat anaknya. Begitulah juga halnya dengan kasih sayang dan rahmat Allah SWT kepada hambanya. Disebutkan juga dalam AlQuran, Firman Allah SWT: وَمَا ظَلَمَهُمُ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنۡ أَنفُسَهُمۡ یَظۡلِمُونَ ﴿ ١١٧ ﴾… Maksudnya: “… dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

(Surah Ali Imran: 117)

 Ayat ini menerangkan bahawasanya Allah SWT tidak pernah menzalimi hambanya tetapi hambanya jualah yang menzalimi diri sendiri. Menzalimi diri sendiri dengan melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT dan tidak melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya.
2.       Jangan terlalu yakin bahawa kita dah disayangi oleh Allah SWT.
Perkara ini perlu diberi perhatian kerana dengan keyakinan ini membuatkan seseorang tersebut lalai dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Syeikh Jarjawi menyatakan bahawa, amalan berpuasa (dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan daripada Allah SWT) ini dapat menatijahkan keperibadian seorang yang jujur dan amanah. Hal ini kerana amalan berpuasa ini merupakan satu amalan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan memerlukan kepada sifat amanah yang kuat dalam diri. Ketika mana seseorang tersebut memilih untuk terus menjaga ibadah puasanya walaupun dalam keadaan bersendirian di tempat sunyi menunjukkan bahawasanya ibadah puasa itu sendiri melatih jiwanya untuk jujur dan amanah dengan diri sendiri serta sentiasa merasakan Allah SWT memerhatikannya. Dalam masa yang sama, melahirkan rasa khauf dan raja’ iaitu rasa takut untuk melakukan maksiat dan mengharapkan balasan daripada Allah SWT.
3.       Sabar ketika ditimpa ujian.
Ujian-ujian yang diberikan ketika bulan puasa akan menjadi sia-sia dan menjadi sekadar lapar dan dahaga semata jika tidak disertakan dengan sabar. Nabi SAW bersabda:
حَدَّثَنَا  هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الْأَزْدِيُّ ،  وَشَيْبَانُ بْنُ فَرُّوخَ ، جَمِيعًا عَنْ  سُلَيْمَانَ بْنِ الْمُغِيرَةِ  – وَاللَّفْظُ لِشَيْبَانَ – حَدَّثَنَا  سُلَيْمَانُ ، حَدَّثَنَا  ثَابِتٌ ، عَنْ  عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى ، عَنْ  صُهَيْبٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ ؛ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ “.

Maksudnya: Daripada Shuaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadis Riwayat Muslim: 2999)

Hadis ini menerangkan berkenaan keadaan seorang mukmin yang apabila dikurniakan nikmat dia bersyukur dan apabila diberikan ujian dia bersabar. Walaupun formula ini kelihatan mudah tetapi untuk melakukannya memerlukan kepada mujahadah yang tinggi. Sabar ialah tahan dalam menempuh sesuatu yang sukar. Manakala syukur pula ialah menggunakkan nikmat pada jalan ketaatan dan diredai oleh Allah SWT. Bagaimana cara nak menjemput kasih sayang Allah.Apabila seseorang mukmin mendapat kasih-sayang dan cinta Allah SWT, maka hidupnya akan tetap bahagia walaupun satu dunia benci kepadanya. Begitu juga sebaliknya jika seseorang mukmin itu mendapat cinta manusia, dikasihi oleh satu dunia sekalipun namun, jika masih dibenci oleh Allah SWT hidupnya tidak akan tenang. Terdapat beberapa cara untuk kita mendapat kasih sayang dan cinta Allah SWT antaranya ialah:
1.       Ambil manfaat dengan al-Quran. Sejauh mana kita berinteraksi dengan al-Quran, maka sejauh itu jugalah al-Quran akan bertindak dalam kehidupan kita. Jika kita tidak mampu untuk khatamkan al-Quran dengan mulut kita, maka khatamkan al-Quran dengan telinga. 2.       Perhebatkan amalan sunat tanpa mengabaikan amalan wajib.3.       Terus-menerus ingat kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun sama ada ketika bersendirian atau berada dalam keadaan orang ramai, dalam keadaan sihat atau sakit, dalam keadaan senang atau susah.4.       Dahulukan cinta Allah daripada cinta manusia. 

Jadi untuk itu, marilah kita sama – sama berusaha untuk mendapatkan cinta dan kasih sayang Allah SWT agar tergolong dalam golongan mereka yang beruntung di dunia dan akhirat. Usahakan diri kita semampu yang mungkin terutama pada Bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini untuk memperbaiki diri dan jiwa supaya terus berada di landasan yang diredai oleh Allah SWT. Semoga kita semua dikurniakan oleh Allah SWT untuk mendapatkan kasih-sayang dan cintaNya. 
Rujukan : Tazkirah Ustaz Mohd Shazni Abdullah 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Jabatan Hal Ehwal Islam 

Pusat Perubatan Universiti Malaya