TAZKIRAH : KEHADIRAN YANG DIRASAI

Sebagai seorang Muslim yang hidup berorganisasi dan bermasyarakat, adalah menjadi harapan agar kita termasuk dalam kalangan ahli atau anggota yang dirasai kehadiran dalam kumpulan atau kelompok tersebut kerana manfaat yang diberikan dengan ikhlas. Jangan jadikan diri seperti kata bidalan: bagai melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tiada tidak mengurang.

Di mana pun kita berada, berusahalah menjadi orang yang bermanfaat. Saidina Umar RA pernah menyebutkan: Jadilah kamu seorang yang apabila tiada pemimpin daripada kalangan kamu di suatu tempat, kamu seolah-olah pemimpin mereka. Jika kamu dilantik sebagai pemimpin, kamu seolah-olah salah seorang daripada mereka. Hal ini membawa maksud apabila kita berada di suatu tempat yang masih tiada pemimpin atau ketua, kita dijadikan tempat rujukan dan tumpuan kerana keberadaan kita di tempat tersebut dirasai dan mendatangkan kebaikan kepada orang sekeliling. Sekiranya kita dilantik sebagai ketua atau pemimpin di tempat tersebut, kita tidak bertindak sebagai pengarah dengan hanya menyuruh orang lain buat dan laksanakan. Namun kita menjadi contoh atau qudwah kepada orang sekeliling kita. Kebaikan kita dirasai dan sentiasa diharapkan. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: “Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian daripada orang yang paling buruk di antara kalian?” Abu Hurairah berkata: Para sahabat diam. Baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kemudian salah seorang berkata: Ya, wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami daripada orang yang paling buruk. Baginda bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman daripada kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman daripada kejahatannya.” (HR Tirmizi No: 2189)

Marilah kita menjadi anggota organisasi yang tidak jemu menabur bakti dan kebaikan dengan seikhlasnya kerana Allah SWT agar dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Berusahalah menjauhi perkara-perkara yang dapat mendatangkan kemudaratan dan masalah kepada organisasi, masyarakat, keluarga dan negara. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang sentiasa menyebarkan manfaat dan kebaikan walau di mana kita berada dan ikhlas kerana Allah SWT.

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal IslamJabatan Hal Ehwal Islam Pusat Perubatan Universiti Malaya