TAZKIRAH : JOM JADI AHLI SYURGA

Antara salah satu sifat ahli syurga seperti mana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran ialah Allah SWT telah menghilangkan sifat hasad dan dendam di dalam hati mereka sehingga jiwa mereka menjadi bersih dan sejahtera. Firman Allah SWT:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ

“Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing..”

(Surah al-A’raf: 43)
Mereka yang bercita-cita ingin masuk ke syurga perlu berazam untuk membuang sifat hasad dan dendam di dalam hati mereka. Kesombongan jiwa menghalang mereka untuk ke syurga. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر

“Tidak masuk ke syurga mereka yang ada di dalam hatinya walau sebesar zarah sifat sombong.”

(HR Muslim).
Selain itu, terlalu kuat berdendam dan berdengki dengan orang lain menjadikan jiwa keras dan kotor. Jiwa yang kotor akan memakan amalan-amalan kebaikan yang telah kita lakukan. Sabda Rasulullah SAW:

إيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ، فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

“Jauhkan diri kamu dari hasad kerana sesungguhnya hasad itu memakan amalan kebaikan seperti mana api yang membakar kayu.”

(HR Abu Daud)
Antara penyakit hati yang paling berbahaya ialah penyakit hasad. Hal ini kerana mereka yang mempunyai sifat hasad ini merasakan tidak puas hati dengan pemberian nikmat yang ada pada seseorang yang lain dan menginginkan untuk nikmat tersebut hilang daripada diri seseorang tersebut. Dikatakan paling bahaya kerana melalui sifat hasad inilah timbul pelbagai perbuatan buruk yang lain bahkan sehingga membawa kepada perbuatan mensyirikkan Allah SWT. Mereka sanggup untuk menggadaikan iman mereka supaya nikmat yang ada pada diri seseorang itu hilang atau terhapus. Lupakah kita bahawasanya nikmat yang ada pada diri seseorang itu merupakan pemberian daripada Allah SWT? Bukankah apabila timbulnya rasa tidak puas hati terhadap nikmat yang ada pada diri seseorang itu menunjukkan bahawasanya kita juga tidak berpuas hati dengan aturan yang ditetapkan oleh Allah SWT? Mengapa sehingga kita sanggup membelakangkan Allah SWT semata-mata menuruti kehendak hawa nafsu? Oleh yang demikian, sucikan hati dengan melatih hati untuk reda dengan segala ketentuan Allah SWT dan didik diri untuk memaafkan manusia. Perkukuhkan jiwa dengan membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT melalui zikir dan solat. Ambillah masa dan renungkan kembali nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian daripada Allah SWT dan mudah-mudahan kita semua menjadi ahli syurga !

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya