TAZKIRAH : JANGAN BERSEDIH DUHAI SAHABAT

Kehidupan kita merupakan sesuatu perkara yang sangat bernilai yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Apa yang kita jalani dalam hidup ini pastinya mempunyai hikmah yang tertentu dan mempunyai sebab kenapa Allah SWT menjadikan kehidupan ini. Meskipun, kehidupan ini tidak seindah yang disangkakan namun, perkara itu bukanlah menjadi penghalang buat kita untuk meneruskan kehidupan ini. Suka untuk diingatkan kembali bahawa di setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT terselit seribu satu hikmah yang tidak kita ketahui. Kita sebagai hamba teruskan bersabar dalam berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dan mengharungi ujian yang mendatang. Ujian itu tidak lain dan tidak bukan berfungsi untuk menghapuskan dosa kita, mengangkat darjat kita dan dikurniakan pahala bagi mereka yang berjaya mengharunginya dengan sabar. Firman Allah SWT:

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

(Surah al-Baqarah: 153)

Maka, sabar ini merupakan satu kunci yang sangat penting dalam mendepani ujian dan cabaran hidup. Dunia ini merupakan tempat persinggahan yang sementara dan merupakan tempat permainan yang sia-sia serta bergurau-senda. Kita semua akan menghadapi kematian untuk diperhitungkan amalan kita sama ada ke syurga atau neraka dan di sanalah merupakan tempat tinggal dan kehidupan yang selama-lamanya. Firman Allah SWT:

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kami mahu berfikir?”

(Surah al-An’am: 32)

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Muhammad ayat 36:

“Sesungguhnya kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah SWT akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).”

(Surah Muhammad: 36)

Orang yang soleh dan solehah serta bertakwa tidak melatah akan hal dunia yang serba kurang, sebaliknya lebih risau akan hal akhirat yang akan dibawa ke sana kelak. Oleh itu, mereka akan sentiasa mempersiapkan diri untuk menjadi lebih baik di sisi Allah SWT. Dunia ini adalah ujian dan peperiksaan untuk menentukan di manakah tempat kita di sana nanti. Persiapkanlah diri, tinggalkanlah larangannya, perbanyakkanlah amalan sunat dan jangan sesekali tinggal perkara yang wajib. Bersedialah setiap masa untuk menghadap Allah SWT yang Maha Esa. Kita tidak tahu bila kita akan mati, tapi mati itu pasti.

Maka, beruntunglah bagi mereka yang apabila diingatkan dengan kematian, hati mereka bergetar bagai ada satu tiupan yang dahsyat kerana masih lagi dikurniakan nikmat iman dan hidayah oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

“ Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambah iman mereka dan kepada Tuhan jualah mereka berserah.”

(Surah al-Anfal: 2)

Moga-moga dengan mengingati kepada kematian, maka jiwa dan nafsu kita dapat ditundukkan dan tergolong dalam golongan orang yang taat kepada perintah Allah SWT. Maka, dari itu janganlah bersedih, janganlah asyik menyalahkan diri sendiri sehingga terabai kesihatan dan tanggungjawab diri dan kepada yang lain. Bersedih itu tidak salah, tapi bataskanlah kesedihan itu hanya ketika kita bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT dan meneruskan kehidupan dan tanggungjawab sebagai seorang yang proaktif dan penuh semangat. Jadikanlah seluruh pekerjaan harian kita ini sebagai ibadah dengan niat kerana Allah SWT. Dengan itu, walau dalam bidang apa sekalipun pekerjaan kita maka ianya dikira sebagai ibadah. Selitkanlah selawat dan zikir ketika bekerja supaya segala pekerjaan kita dipermudahkan oleh Allah SWT dan dikurniakan ketenangan hati. Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Allah SWT juga berfirman: 

“… Janganlah engkau berduka cita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita…”

(Surah al-Taubah : 40)

Allah SWT juga berfirman:

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “inilah yang diberikan kepada kami dahulu”, dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”

(Surah al-Baqarah: 156-157)

Maka, bergembiralah wahai hati-hati yang sentiasa sedih dan yakinlah dengan ganjaran yang Allah SWT janjikan buat mereka yang sentiasa bertaubat dan bertakwa. Yakinlah bahawasanya Allah SWT sentiasa bersama dengan kita, sentiasa menunggu kita untuk bertaubat. Bertaubatlah dan serahkan semuanya kepada Allah SWT. Hiduplah untuk dipandang Allah bukan dipandang manusia. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang istiqamah melakukan kebaikan dan taat kepada Allah SWT. 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya