TAZKIRAH : GOLONGAN YANG RUGI PADA BULAN RAMADAN

Bulan Ramadan datang kepada kita untuk mendidik kita menjadi seorang yang lebih baik dan lebih banyak beramal kemudian istiqamah dengan amalan yang dilakukan. Bulan Ramadan juga merupakan satu bulan yang dikurniakan hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW, yang mana padanya dibuka semua pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka, sesiapa yang cuba menghampiri Allah SWT pada bulan tersebut dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama telah menunaikan satu fardu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardu pada bulan tersebut seumpama menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan lain, sesiapa yang memberi sesuatu kepada seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan pelepasan dirinya daripada neraka dan mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun daripada ganjarannya. Pada bulan ini juga merupakan bulan rahmat pada awalnya, keampunan pada pertengahannya dan pelepasan daripada neraka pada akhirnya. Jadi terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan Bulan Ramadan yang boleh kita manfaatkan. Namun, di sana terdapat beberapa golongan yang termasuk dalam golongan yang rugi pada bulan ini. Dikatakan rugi kerana terlepas daripada mendapat ganjaran pada bulan tersebut dan tiada jaminan sama ada dapat dipertemukan dengan Bulan Ramadan lagi pada tahun akan datang atau sebaliknya. 

أن شهر رمضان هو شهر الهدى والمغفرة والرحمة لأقوام, فهو شهر الحسرة والخسران على آخرين, قال النبي صلى الله عليه وسلم: رغم أنف امرئ دخل عليه رمضان, ثم انسلخ قبل أن يغفر له (رواه الترمذي وصححه الألباني) 

Bulan Ramadan menjadi bulan hidayah dan bulan rahmat dan keampunan bagi sekelompok manusia, juga menjadi bulan penyesalan dan bulan kerugian kepada sekelompok manusia yang lain. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Kerugian yang besar, apabila seseorang itu memasuki Ramadan, kemudian Ramadha itu berlalu tetapi dosanya tidak diampun oleh Allah SWT”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan disahihkan oleh Al-Albani)

Antara ciri golongan yang rugi pada Bulan Ramadan ialah : –         
Golongan Pertama : Mereka yang tidak melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ikhlas kepada Allah SWT dan berpuasa dengan perasaan riak dan puasa adat sahaja. 
–         Golongan Kedua : Mereka yang tidak beribadah pada malamnya kerana bermalas-malasan dan sengaja memberatkan diri dari melakukan ketaatan. 
–         Golongan Ketiga : Mereka yang terus mengamalkan akhlak yang buruk di mana puasanya tidak sedikit pun menghalangnya dari berkelakuan buruk itu dan dari melakukan perkara haram, sedangkan Nabi SAW bersabda, sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni puasanya tidak diterima) (Hadis Riwayat Bukhari). 
–         Golongan Keempat : Mereka yang banyak menghabiskan masa dan saat-saat keemasan di bulan Ramadan dengan tidur, lalai dengan menonton TV, mendengar lagu dan nyanyian, menonton cerita-cerita yang dimurkai Allah. 
–         Golongan Kelima : Mereka yang mensia-siakan solat 5 waktu, tidak berkunjung ke masjid dan surau bersama para jemaah, sedangkan Allah berfirman yang bermaksud maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mensia-siakan solat dan menurut hawa nafsunya, maka kelak mereka akan menemui kesesatan. 
–         Golongan Keenam :  Mereka yang merosakkan puasa mereka dengan sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti bersetubuh, makan dan minum, mengeluarkan mani dengan sengaja, mengadu domba, mengumpat, hasad dengki, mengejek-ngejek dan mempermainkan orang lain, menyebut kata-kata kotor, berhias (bersolek) dan sebagainya. 
–         Golongan Ketujuh : Mereka yang berkunjung ke luar negara (ke tempat-tempat maksiat) samada di awal bulan Ramadan atau di pertengahannya supaya dapat melakukan dosa dan maksiat dengan bebas, sedangkan mereka tahu jika mereka berada di tempat mereka, mereka dapat menunaikan solat dan berpuasa serta merebut hari-hari dan malam-malam Ramadan dengan beribadah. 
–         Golongan Kelapan : Mereka yang hanya bersungguh-sungguh dalam beribadah di awal Ramadhan serta berazam untuk bertaubat dan beristiqamah dalam beribadah, tetapi bertukar sebaliknya dengan menjalani kehidupan yang sia-sia dan melalaikan. 
–         Golongan Kesembilan : Mereka yang meninggalkan Al-Quran di bulan Ramadhan di mana Al-Quran tidak dibaca dan ditadabbur maknanya serta tidak bertadarus Al-Quran. 
–         Golongan Kesepuluh : Mereka yang bakhil dengan harta yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka dan tidak menafkahkannya ke jalan Allah. 
 Inilah antara ciri golongan yang rugi pada Bulan Ramadan kerana mensia-siakan waktu pada Bulan Ramadan. Marilah kita sama-sama memperbaiki diri, memperbanyakkan amal pada bulan yang mulia ini, supaya Ramadan kali ini tidak berlalu dengan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat dan semoga kita semua tergolong dalam golongan yang diampunkan oleh Allah SWT.

Rujukan : https://www.facebook.com/332583560086822/posts/1045197562158748/

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam
Jabatan Hal Ehwal Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya