TAZKIRAH: ADAB KETIKA BERPUASA

Sebagaimana kita sedia maklum bahawasanya dalam ibadah berpuasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menjaga juga pelbagai aspek kerohanian dan fizikal dalam diri kita. Penjagaan ini penting dalam memastikan ibadah puasa kita diterima oleh Allah SWT. Terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian dalam penjagaan adab ketika sedang berpuasa. Antaranya ialah:Pertama: Menjaga penglihatan daripada memandang sesuatu yang tidak patut. Sehingga dikatakan bahawa seseorang itu jangan memandang dengan syahwat kepada isterinya sendiri apatah lagi kepada wanita bukan mahram. Begitu juga tempat-tempat yang melalaikan dan tidak harus. Nabi SAW bersabda bahawa penglihatan adalah satu daripada anak-anak panah syaitan. Sesiapa yang menjaga penglihatan kerana takutkan Allah SWT maka Allah SWT akan mengurniakannya cahaya keimanan yang dapat dirasakan kemanisan dan kelazatannya dalam hati.
Kedua: Menjaga lidah daripada berbohong, mengumpat, bercakap sia-sia, bercakap kotor, bergaduh dan seumpamanya. Dalam hadis riwayat Imam Bukhari RH dinyatakan bahawa puasa adalah perisai bagi seseorang itu maka orang yang berpuasa janganlah mengatakan sesuatu yang keji, ejek mengejek, dan bergaduh. Jika ada orang yang memulakan pergaduhan maka katakan kepadanya bahawa saya sedang berpuasa. Jika dia seorang yang  tidak boleh memahami maka katakanlah kepada hati sendiri bahawa kamu sedang berpuasa dan tidak patut terlibat dalam perkara yang sia-sia.
Ketiga: Menjaga telinga. Setiap perkara yang dibenci yang haram untuk diperkatakan dan dikeluarkan oleh lidah maka haram juga untuk memasang telinga mendengar perkara itu. Nabi SAW bersabda, kedua-dua orang yang mengumpat dan yang mendengar umpatan terlibat adalah dosa.
Keempat: Menjaga segala anggota badan yang lain seperti menjaga tangan daripada memegang sesuatu yang haram, menjaga kaki daripada berjalan ke arah sesuatu yang haram dan demikianlah dengan anggota-anggota badan yang lain. Begitu juga penjagaan perut ketika hendak berbuka daripada memakan makanan syubhah. Orang yang berpuasa dan kemudian berbuka dengan makanan daripada sumber harta yang haram adalah seumpama seorang yang berubat untuk sesuatu penyakit tetapi mencampurkan ubat itu dengan sedikit racun. Walaupun ubat itu adalah baik untuk penyakitnya tetapi pada masa yang sama racun yang dicampur itu tetap akan membinasakannya.
Kelima: Tidak makan terlalu banyak ketika berbuka sehingga memenuhi perut walaupun daripada sumber yang halal. Kerana hal ini dapat meluputkan tujuan sebenar berpuasa iaitu mengurangkan kekuatan syahwat serta menambahkan kekuatan rohani.
Keenam:  Menghadirkan perasaan takut selepas menunaikan puasa kerana tidak tahu sama ada puasa kita itu layak diterima ataupun tidak. Dengan itu, kita akan sentiasa untuk memperbaiki kualiti puasa kita supaya menjadi lebih baik. 

Jadi, kita mestilah mencuba sedaya upaya untuk menjaga adab ketika mana sedang berpuasa supaya penat kita di dunia bukan penat yang sia-sia dan bukannya penat yang tiada nilaian di sisi Allah SWT. Penjagaan adab ini sangat ditekankan oleh ulama dan para salafus soleh supaya jiwa kita terdidik dengan kehadiran Bulan Ramadan dan seterusnya melahirkan sebuah jiwa yang tenang dan berakhlak mulia dalam apa jua urusan yang dilakukan. Semoga kita semua dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT untuk menjalani ibadah puasa dengan baik dan semoga setiap amal yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT. 

Rujukan: 

Muhammad Zakariyya, (2013), Fadilat Amal (Bahasa Melayu) Edisi Semakan Terkini 1434 H, Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd : Seri Petaling. 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam
Jabatan Hal Ehwal Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya