TAZKIRAH : 3 TELADAN RASULULLAH SAW DALAM RUMAHTANGGA

Cinta mempunyai definisi yang berbeza-beza. Namun, secara umumnya kita dapat memahami bahawa cinta adalah himpunan rasa yang pelbagai – sayang, kasih dan penghargaan. Namun, rasa cinta juga boleh layu jika tidak disuburkan. Terdapat tiga teladan Rasulullah SAW yang dapat kita terapkan dalam kehidupan kita bersama dengan pasangan. Antaranya ialah:

1.      Menjadi Pasangan Yang Mampu Menenteramkan

Hal penting yang dapat menyuburkan cinta dalam rumahtangga adalah pasangan yang dapat menenteramkan. Perjalanan mengemudi rumah tangga tidak tenang dan aman sentiasa. Apabila suatu masalah melanda, ada juga resah dan marah yang akan timbul.

Pada waktu inilah kemahiran menenteramkan pasangan sangat diperlukan. Contoh yang telah diberikan dalam perjalanan hidup rumahtangga Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah sendiri.

Saat Nabi SAW pulang ke rumah dalam keadaan takut dan menggigil kerana mendapat wahyu, Saidatina Khadijah menenteramkan dan menyelimuti baginda, sambil memujuk dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang menyambung hubungan kekeluargaan, bercakap benar dan membantu anak yatim, maka sudah tentu Allah tidak akan mengecewakannya.

Justeru seorang pasangan, wanita mahupun lelaki memerlukan kata-kata semangat dan pujukan sewaktu dalam keadaan resah kerana masalah yang menimpa. Jadilah lebih empati dengan cuba menenteramkan meskipun tidak memahami sepenuhnya masalah yang menimpa.

2.      Memahami Isyarat Lisan Dan Bukan Lisan

Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita tentang kepentingan komunikasi dalam rumahtangga. Hal ini termasuklah komunikasi lisan dan bukan lisan. Komunikasi lisan adalah mesej yang disampaikan melalui kata-kata dengan jelas. Manakala komunikasi bukan lisan boleh jadi disampaikan dengan perbuatan, memek muka atau intonasi suara.

“Ah, tak ada masa nak perhati benda-benda tak penting, benda kecil”

“Kalau marah, cakap sajalah”

Mungkin ada yang berfikiran begini. Tapi anda perlu tahu bahawa Rasulullah SAW sendiri teliti dengan komunikasi secara bukan lisan dengan Saidatina Aisyah R.Anha. Dalam satu hadis dicatatkan perbualan antara baginda SAW dan Saidatina Aisyah, apabila baginda berkata,

“Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui kemarahan dan keredaanmu”. Lalu Aisyah membalas, “Bagaimana engkau mengetahui itu, wahai Rasulullah?”

Nabi bersabda, “Jika engkau sedang reda, engkau berkata: Tentu demi Tuhan Muhammad. Dan ketika engkau sedang marah, engkau berkata: Tidak, demi Tuhan Ibrahim”

Aisyah berkata, “Betul. Aku hanya meninggalkan penyebutan namamu.” (Sahih Bukhari, no.6078)

Lihat bagaimana halus baginda mengamati perubahan perkataan isterinya ketika marah, walaupun tidak dinyatakan secara jelas.

Ada kala kepenatan emosi membuatkan seseorang tidak mahu bercakap dan ingin berdiam diri. Bimbang jika ada kata-kata yang lebih menyakitkan keluar dari bibir.

Melihat kepada teladan daripada baginda sendiri, tidak ada alasan untuk para suami pada masa sekarang untuk tidak cuba mengambil tahu perubahan emosi isteri ketika marah. Begitu juga dengan isteri apabila suami sedang marah. Ia memberi mesej bahawa pasangan mengambil kira hal kecil dan ini dapat menambahkan rasa sayang.

3.      Menzahirkan Kasih Sayang

Bagi anda yang pernah membaca tentang bahasa cinta sebelum ini, anda mungkin dapat gambaran sedikit sebanyak tentang jenis-jenis bahasa cinta iaitu kata penghargaan, masa yang berkualiti, pemberian hadiah, memberi khidmat pertolongan dan sentuhan fizikal. Inti daripada perkara ini adalah cinta dan kasih sayang perlu dizahirkan. Rasulullah SAW juga menzahirkan kasih sayang dengan kata-kata apabila memanggil nama gelaran yang indah kepada Saidatina Aisyah R.anha iaitu ‘Humaira’ kerana wajahnya yang kemerah-merahan. Selain itu, baginda juga menzahirkan cinta melalui perbuatan dengan minum dari tempat yang sama Aisyah minum dari gelas yang sama. Baginda Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak. Bermakna, panduan Rasulullah SAW menyeluruh meliputi pelbagai perkara termasuklah dalam hal berkaitan rumahtangga. Marilah kita contohi peribadi Rasulullah SAW dan para isteri baginda dalam menyuburkan cinta dalam rumahtangga. Semoga kita semua dikurniakan rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. 

Rujukan : Ustazah Natirah Azira 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya