FATWA “Hukum Gandaan Fidyah Dan Kifarah”

Huraian Tajuk/Isu:

Jawatankuasa Fatwa telah dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara tersebut.

Keputusan:

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut sebahagian pandangan mazhab Syafie.
2. Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara berganda maka ianya boleh diterima.

3. Oleh itu, pembayaran fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan:

a. Digandakan pembayaran fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan.
b. Tidak digandakan pembayaran.

4. Pandangan ini diambil kira ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan manusia yang menganut ajarannya.

Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG
1. Fidyah ialah satu istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai “satu cara untuk menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak”.

2. Jumlah fidyah yang dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu dibayar. Begitu juga sebaliknya.

3. Sekiranya jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadhan.

PENDAPAT ULAMA”

1. Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh:

1) Tidak digandakan: ia adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa penangguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang tertangguh.
2) Digandakan: Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penangguhan tersebut membentuk fidyah yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah