PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1442H

PERSATUAN KEBAJIKAN PEKERJA-PEKERJA ISLAM
PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA

PKPPI/EPA/2021/10

30 Ramadan 1442H
12 Mei 2021

YBhg. Dato’/Datin/Prof./Tuan/Puan,

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1442H

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi rabbil a’lamin wa bihi nasta’in. Selawat dan salam ke atas Muhammad SAW, Rasul junjungan,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil hamd.

  1. Dimulai dengan kalam takbir sebagai menandakan tibanya detik kemenangan, kemerdekaan bagi meraikan Hari Lebaran bulan kemuliaan dan kemenangan yang ditunggu-tunggu setelah sebulan menjalani ibadah puasa.
  2. Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua makanan, namun memilih untuk tidak makan kerana mahu patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua minuman, kita memilih untuk tidak minum kerana patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka di siang hari kerana mahu mematuhi perintah Allah?
  3. Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?
  4. Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah.
  5. Pada tahun ini ketibaan Hari Raya Aidilfitri masih lagi tidak dapat disambut seperti kelaziman. Tiada perhimpunan besar, tiada ziarah dan mungkin juga tidak semeriah suatu ketika dahulu.
  6. Namun, janganlah kerana keadaan ini menyebabkan kemeriahan kita dalam beribadah juga tidak diraikan. Teruskanlah melakukan amal kebaikan seperti dalam Ramadhan. Walau ada yang mungkin sedang bertugas di wad, di pejabat atau sedang memandu ambulan, YAKIN lah, setiap kesusahan akan diiringi dengan kesenangan. Kita tidak akan pernah disia-siakan oleh Yang Maha Baik.
  7. Kami sebagai pimpinan persatuan sentiasa melihat ruang bagi cuba memenuhi keperluan dan kebajikan ahli yang memerlukan. Andai masih ada kekurangan, mohon dimaafkan dan hubungilah kami untuk diperbaiki sebaiknya. Moga Allah sentiasa menjaga kita semua.
  8. Disamping itu juga, saudara seagama kita juga sedang diuji di Palestin. Ayuh selitkan doa buat mereka. Solidariti kita buat mereka. Janji Allah itu pasti. Kemenangan akan muncul.
  9. Akhir kalam, mewakili seluruh saf pimpinan Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam PPUM dengan penuh tawadhuk di hati menyusun sepuluh jari memohon ampun serta kemaafan atas sebarang kekhilafan, zahir mahupun batin kepada seluruh warga PPUM.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah,

Mohd Shazni bin Abdullah
Yang DiPertua
Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya
Laman Web http://www.pkppippum.org.my
Facebook Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam, PPUM

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDIFITRI 1438H

PERSATUAN KEBAJIKAN PEKERJA-PEKERJA ISLAM
PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA

28 Ramadhan 1438H
23 Jun 2017

Y.Bhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan,

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDIFITRI 1438H

Dengan segala hormatnya, saya merujuk kepada perkara di atas.

2.             Sebagaimana sedia maklum, umat Islam dijangka akan menyambut kedatangan 1 Syawal 1438H pada 25 Jun 2017 (Ahad).Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak seluruh ahli dan Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam (PKPPI) dan Jawatankuasa Surau Ad-Deeniah ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada pihak Pengurusan PPUM dan semua staf muslimin dan muslimat.  Kami doakan semoga Y.Bhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan dipermudahkan urusan dan selamat dalam perjalanan pulang ke kampung.

3.            Pada kesempatan ini, pihak PKPPI dan Surau Ad-Deeniah juga ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan bagi menjayakan Program Ihya’ Ramadhan.  Semoga Allah SWT memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada semua penyumbang.

Tibanya Syawal tanda kemenangan,
Takbir dan Tahmid memuji Tuhan,
Muslimin dan muslimat saling berkunjungan,
Adab dijaga akhlak dipertahan.

Yang benar,

Hisyamuddin Bin Bahari
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya
Laman Web http://www.pkppippum.org.my
Facebook Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam, PPUM