TAZKIRAH: MENGENALI TOKOH MAZHAB – IMAM SYAFIE

Imam al-Syafie merupakan seorang tokoh agung yang sangat terkenal dengan keilmuannya di seluruh pelusuk dunia. Nama penuh Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin Ubaid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Keturunannya bertemu dengan Rasulullah SAW iaitu datuknya, Abdul Manaf. Imam Syafie juga merupakan pengasas kepada mazhab Syafie dan dilahirkan di Gaza pada tahun 150 Hijrah, iaitu pada tahun kewafatan Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit, pengasas kepada mazhab Hanafi.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang termasyhur adalah Imam Syafie dilahirkan di Gaza. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith (nasiru al-sunnah) dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad kedua hijrah. Mazhab Syafie adalah integrasi aliran pemikiran mazhab Maliki (aliran hadith) dan mazhab Hanafi (aliran al-ra’yi). Imam Syafie berpindah ke Makkah ketika berumur dua tahun dan membesar di sana. Beliau juga menghafal alQuran ketika berumur tujuh tahun dan menghafal kitab al-Muatta’ Imam Malik ketika berumur 10 tahun. Beliau juga mengambil ilmu daripada ahli ilmu antaranya Muslim bin Khalid al-Zanji al-Makki (mufti Mekah) dan dibenarkan mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun.

Di Madinah, beliau telah belajar dengan Imam Malik, iaitu setelah beliau bersedia untuk berjumpa dengannya untuk mempelajari kitab al-Muatta’. Semasa Imam Syafie menuntut ilmu, beliau berulang-alik dari Makkah ke Madinah dan berjaya menghimpun serta menuntut ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga Imam Syafie menjadi rujukan dan hujah dalam bahasa Arab. Beliau digelar nasiru al-sunnah ketika berada di Baghdad kerana membantu melawan puak bida’ah yang berkembang meluas pada ketika itu khususnya di Iraq yang membawa kepada kekacauan kerana banyaknya mengikut kepada hawa nafsu serta jauh dari Islam dan hidayah. 

Kota Baghdad juga menjadi tempat Imam Syafie memulakan penulisan buku-buku utama beliau antaranya al-Risalah al-Uula yang menghimpunkan ilmu usul fiqh dan musṭalah hadith. Semasa usia Imam Syafie yang masih muda, Imam Syafie sering mengunjungi dan bergaul dengan suku Hudzail yang tinggal berhampiran Makkah. Beliau mempelajari bahasa Arab fuṣḥah dari suku Arab asli penutur bahasa Arab yang tidak bercampur dengan laḥn dan bahasa asing yang lain. Oleh kerana itu, beliau memiliki kemampuan bahasa yang sangat baik sehingga memahami al-Quran dan hadith Nabi SAW dengan baik. Pada awalnya Imam Syafie lebih cenderung dalam mempelajari syair, sastera dan bahasa Arab. Namun, Allah SWT telah menentukannya untuk mempelajari ilmu fiqh. Dalam usianya yang muda, Imam Syafie telah mendapatkan ilmu dengan secukupnya walaupun beliau hidup dalam kemiskinan.

Pengembaraan Imam Syafie dari suatu tempat ke suatu tempat telah banyak memberi impak dalam meningkatkan ilmu yang dipelajari. Beliau juga bersifat terbuka dengan mengambil ilmu daripada ulama’- ulama’ hebat yang terdiri daripada mazhab yang berbeza. Kemuncaknya beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap syariat Islam. 

Rujukan: 

1. Muhammad Amirul Asraf Mohd Darawi & Kamariah Kamarudin. (2018). Manhaj Akidah Imam al-Shafie dalam Novel Rimba Jiwa dan Qalam Kalbu. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

2. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2010). Istilah-istilah Fiqah dan Usul Empat Mazhab. Putrajaya: JAKIM.

3. Akram Yusuf Umar al-Qawwasi. (2003). Madkhal Ila Madzhab al-Syafie. Jordan: Dar alNafais.

4. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin, Muhammad Arid Md Aris, Abdul Hanis Embong. (2019). Mazhab Syafie: Legasi dan Pengaruhnya di Malaysia. Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin.

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : TUJUH KRITERIA ORANG YANG BERUNTUNG DALAM AL-QURAN

Allah SWT menyampaikan berita gembira mengenai tujuh kriteria orang-orang mukmin yang beruntung melalui Surah al-Mukminun. Antara tujuh kriteria tersebut ialah:

1. Memiliki keimanan iaitu membenarkan dan mempercayai apa yang terkandung dalam rukun iman.
2. Khusyuk dalam solat iaitu menundukkan dan merendahkan diri kepada Allah SWT disertai dengan rasa takut kepadaNya. Khusyuk adalah tempatnya di hati. Jika hati khusyuk maka, seluruh anggota tubuh juga akan ikut khusyuk. Hal ini kerana hati adalah raja bagi sekalian anggota.
3. Meninggalkan yang haram dan syirik dan semua bentuk kemaksiatan. Termasuk juga dalam perkara ini ialah segala hal yang tidak perlu  dan tidak berguna.
4. Menunaikan zakat – mampu membersihkan dan menyucikan jiwa dari kekotoran, kemaksiatan dan segala penyakit hati seperti dengki, iri hati, kebencian dan sebagainya.
5. Menjaga dan memelihara kemaluan daripada perbuatan keji dan mungkar seperti zina atau hubungan sejenis.
6. Menjaga dan menunaikan amanah dan janji- amanah dalam hal ini bermaksud setiap hal yang dibebankan kepada seseorang sama ada dalam urusan agama dan dunia sama ada melalui ucapan ataupun perbuatan.    
7. Memelihara solat dengan mendirikannya serta bersegera melaksanakannya pada awal waktu.  

Barangsiapa yang mengaplikasikan perkara tersebut dalam kehidupan sehariannya maka mereka itulah orang yang mewarisi syurga al-Firdaus dan kekal di dalamnya. 

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : BERIKAN HADIAH TERBAIK

Bayangkan, nak persembahkan hadiah buah-buahan kepada Raja, tapi buah-buahannya busuk, berulat, pinggannya kotor dan sompek. Dah tu, main campak-campak pulak. Jangankan Raja, sampai kat pintu pengawal lagi dah kena reject! Siap dimaki hamun lagi. Gitulah gamaknya kalau kita persembahkan ibadah-ibadah cincai kita seperti solat, puasa, haji, sedekah, tutup aurat dan macam-macam lagi…

Dipetik dari buku “I LOVE YOU TOO!!” Karya Badrul Hisham Shari.

Disediakan oleh:
Mohd Shazni Abdullah
Jabatan Hal Ehwal Islam

TAZKIRAH : CINTA TIDAK LULUS SYARIAH

 “Saya cintakan awak sepenuh hati dan rela hidup mati bersama awak.”

Sedar atau tidak, cinta sejati di dunia antara suami isteri tidak semestinya menjadi cinta abadi sehingga ke syurga.

Cinta seorang suami kepada isterinya tidak hanya terbatas kepada kilauan berlian, emas atau haruman kuntum bunga, tetapi yang jauh lebih penting adalah penjagaan keluarga dari sambaran api neraka. Firman Allah:

“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”- Surah al-Tahrim 66:6

Malang sekali bagi suami isteri yang romantik di dunia tetapi terpisah jauh menjadi musuh di akhirat kelak:

“Pada hari itu sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).” -Surah al-Zukhruf 43:67

Juga amaran Allah dalam ayat ini:

“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri dan anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Surah al-Taghabun 64:14

Percintaan palsu ini pernah ditegaskan oleh Nabi Ibrahim A.S kepada kaumnya dahulu sebagaimana firman Allah:

“Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): “Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan” -Surah al-‘Ankabut 29:25

Jika benar mencintai pasangan anda, maka senantiasalah mendidik atau mengingatkan antara satu sama lain dengan kehendak Allah. Belajarlah dari kisah Abdullah bin Mas’ud dan isterinya Zaynab R.A:

“(Zaynab isteri kepada Abdullah bin Mas’ud menceritakan): “Pada suatu hari Abdullah bin Mas’ud masuk bertemuku lalu duduk di sebelahku. Beliau mendapati di leherku terikat seutas benang (azimat).” Beliau bertanya: “Benang apa yg terikat di lehermu?” Zaynab menjawab: “Ini adalah benang jampi untuk mengubati sakitku.” Abdullah bin Mas’ud kemudiannya mencabut dan memotong benang itu seraya berkata: “sesungguhnya keluarga Abdullah Ibn Mas’ud tidak memerlukan syirik” kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jampi (yang syirik), tangkal dan azimat tergolong dari amalan syirik kepada Allah” -Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad

Jika boleh, kekalkan cinta suami isteri dan anak-anak sehingga ke syurga dengan menepati piawaian cinta yang digariskan Allah melalui agama. Firman Allah:

“Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; setiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” -Surah al-Tur 52:21

Itu bicara cinta halal hasil ikatan yang diiktiraf agama. Jika cinta halal pun masih belum menjamin bahagia di dunia dan di akhirat, bayangkan bagaimana pula halnya cinta gelap tidak lulus syariah yang banyak berlaku dalam masyarakat.

Tambah parah jika cinta hitam sebegini membawa kepada ketelanjuran yang dimurkai Allah. Pun begitu, pintu pulang senantiasa terbuka luas untuk manusia yang bersalah.

Rasa cinta lelaki perempuan memang sukar dibendung kerana ia adalah tuntutan fitrah. Apa yang penting adalah bagaimana Islam melorongkan cinta ini menuju laluan yang tepat iaitu perkahwinan.

Islam tidak membenarkan rasa fitrah ini dibiarkan bertenggek pada dahan rapuh yang tidak mampu menanggung si monyet bagi masa yang lama. Itulah hakikat percintaan tidak lulus syariah.

Jika rasa ini begitu kuat mendorong seseorang Muslim, Islam mengajar kita agar memagarnya dengan pagar puasa:

“Ertinya: Sesiapa yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia segera berkahwin kerana ia mampu menundukkan pandangan (dari memandang yang haram) dan menjaga kemaluan (dari melakukan zina). Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia mampu menjinakkan nafsu.”- Sahih al-Bukhari

Selain itu, Allah juga mengajar kita agar menjauhi dosa zina yang biasanya berputik daripada kosmetik cinta terlarang sebegini:

“Dan “janganlah kamu dekati zina,” sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” -Surah al-Isra’ 17:32

Dalam bahasa Arab, tegahan mendekati sesuatu perkara membawa maksud larangan berganda dari melakukannya (Tafsir al-Alusi).

Allah memang mengetahui kelemahan manusia dalam berhadapan dengan medan magnetik ujian cinta tidak lulus syariah.

Oleh itu Dia mengingatkan kita agar langsung menjauhi semua laluan yang membawa kepada zina. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar lolos dan mudah tewas.

Jika orang jahil bersungguh meraikan cinta pada hari Valentine sama ada dalam hubungan halal suami isteri atau cinta tidak lulus syariah atas nama kekasih, usahlah kita turut sama terpalit dengan musibah kejahilan mereka.

Tanpa adanya orang Barat memperkenalkan hari cinta, Allah sudah lama mewartakan cinta sejati dalam kerangka Islam.

Bahkan Allah yang bernama al-Rahim iaitu Yang Maha Penyayang lebih mengetahui cinta yang bagaimana diperlukan oleh makhluk ciptaanNya ini.

Cinta yang dilandaskan semata-mata atas gelora nafsu adalah produk Iblis yang sudah lama bersumpah mahu merosakkan manusia. Lihat sahaja berapa ramai manusia yang sesat akal dan imannya kerana produk Iblis ini.

Berapa ramai bayi tidak sah taraf lahir hasil dari cinta songsang ini. Berapa ramai bayi dicampak ke dalam tong sampah kerana ketelanjuran mangsa produk Iblis ini? Berapa banyak kes kita dengar lelaki membunuh wanita kerana amarah cemburu.

Tidak kurang juga rumah tangga yang runtuh kerana usikan cinta terlarang orang ketiga dan sebagainya.

Oleh itu, jadilah manusia yang bijak dengan meraikanlah cinta anjuran Allah dalam kerangka Islam.

Bercintalah dalam batasan Allah nescaya cinta kita berbalas dengan redhaNya di dunia dan di akhirat.

Sumber: Ustaz Abdullah Bukhari

Diusahakan oleh:
Ustaz Mohd Shazni Abdullah
Pegawai Hal-Ehwal Islam

1 2 3 4