TAZKIRAH : SABAR DAN SYUKUR
Dalam kehidupan seharian kita tidak akan terlepas daripada ujian sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun dalam bentuk kesusahan. Ujian yang ditimpakan kepada manusia ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk mengangkat darjat dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Setiap orang mempunyai tahap ujian yang berbeza mengikut kepada tahap kemampuan masing-masing. Allah SWT berfirman:
لَا یُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَیۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَیۡنَاۤ إِصۡراً كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ﴿ ٢٨٦ ﴾
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
(Surah al-Baqarah: ayat 286)
Allah SWT tidak akan memberatkan hambanya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu. Kita sebagai hamba mestilah sentiasa berusaha untuk bersabar ketika mana ditimpa ujian. Kerana apa? Kerna mereka yang bersabar ketika ditimpa ujian akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:
ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَٰجِعُونَ ﴿ ١٥٦ ﴾ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ عَلَیۡهِمۡ صَلَوَٰت مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةࣱۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ ﴿ ١٥٧ ﴾
Maksudnya: Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami kembali.”Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Baqarah: ayat 156-157)
Begitu juga dengan doa yang selalu kita amalkan:
…رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ حَسَنَةࣰ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ﴿ ٢٠١ ﴾
Maksudnya: … “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka.”
(Surah al-Baqarah: ayat 201)
Apabila mendapat nikmat, kita bergembira. Namun, sebaliknya jika mendapat ujian kita mengeluh. Walhal, ujian itu sebenarnya adalah doa kita yang dimakbulkan oleh Allah SWT. Bagaimana dikatakan doa itu dimakbulkan? Dan kenapa ujian?
Tanpa kita sedar, sebenarnya nikmat itu adalah untuk kebaikan di dunia, manakala ujian itu adalah untuk kebaikan di akhirat. Selari dengan doa yang kita selalu amalkan supaya mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Kedua-duanya adalah untuk kebaikan kita. Jadi, kenapa kita masih lagi mengeluh ketika mendapat ujian? Selain itu, ujian yang ditimpakan terhadap seseorang hamba boleh menjadi nikmat dan boleh juga menjadi bala atau istidraj. Jadi bagaimana caranya untuk mengetahui bahawa ujian tersebut merupakan bala atau nikmat? Antara tanda untuk mengetahui bahawa ujian tersebut merupakan nikmat ialah apabila ditimpa ujian seseorang hamba tersebut lebih ingat kepada Allah, lebih dekat kepada Allah dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT. Maka, ujian tersebut merupakan nikmat baginya yang merupakan kebaikan di akhirat. Namun sebaliknya, ujian tersebut menjadi bala apabila seseorang hamba itu menjadi lebih jauh daripada Allah SWT dan bersangka buruk terhadap aturan Allah SWT.
Justeru, kita mestilah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan ujian yang dikurniakan kepada kita. Tanamlah azam dalam diri kita pada tahun ini untuk sentiasa bersyukur dan menghargai Pemberi Nikmat dan bukan hanya sekadar menghargai nikmat yang kita dapat semata. Oleh itu, walau dengan sekecil-kecil nikmat yang kita dapat sekalipun kita masih lagi mampu untuk bersyukur. Kerana apa? Kerana hati kita sudah tertaut kepada Pemberi Nikmat. Maka dari itu, teruslah sabar dan syukur. Wallahua’lam.
Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal-Ehwal Islam