FATWA “Penyuntikan Highly Purified Insulin Daripada Babi”

“Penyuntikan Highly Purified Insulin Daripada Babi”

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oct 1983 telah membincangkan Penyuntikan Highly Purified Insulin Daripada Babi. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menyuntikkan Insulin daripada najis mughalazah (babi) bagi tujuan perubatan pesakit kencing manis adalah harus kerana darurat. Begitu juga hukum bagi mereka yang menjalankan penyuntikannya.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyuntikan-highly-purified-insulin-daripada-babi

FATWA “Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata”

“Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata”

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam مقاصد شريعة. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang berdasarkan umumnya hadith Rasulullah s.a.w.:

عن اَبِي الدَّرْدَاء رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاء، فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ)
(رواه أبو داود)

Maksudnya:
Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.

Namun begitu, dalam keadaan-keadaan dharurah atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan.

Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-menggunakan-kanta-icl-implantable-collamer-lens-untuk-rawatan-mata

FATWA “Gelatin Dalam Ubat”

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24 – 25 September 1984 telah membincangkan Gelatin Dalam Ubat. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang adalah diharuskan kerana dharurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.
Keterangan/Hujah:

Gelatin ialah sejenis protein terbitan yang larut dalam air, dihasilkan menerusi proses hidrolisis separa ke atas collegen. Collegen ialah unsur protein yang terdapat dalam tisu-tisu konektif haiwan. Kulit babi, kulit lembu, urat-urat dan tulang binatang merupakan bahan mentah utama untuk menghasilkan gelatin.

Menurut Encyclopedia Of Chemical Technologi, (Edisi Ke-2, Vol.10, 1960) kebanyakan gelatin jenis A (proses asid) yang dikeluarkan di Amerika Syarikat diperbuat daripada kulit babi. Di Eropah kulit anak lembu dan tulang lembu merupakan bahan mentah utama. Penggunaan kulit babi semakin meningkat kerana proses pengeluaran gelatin darinya lebih cepat.

Pada masa ini kapsul yang terdapat di pasaran atau di hospital dan klinik-klinik kerajaan adalah diperbuat daripada campuran bahan gelatin yang diimport dari luar Negara yang digunakan sebagai bahan untuk menahan ubat dari rosak.

Didalam mesyuarat kali ke-5 Jawatakuasa Mengkaji Bahan Makanan dan Gunaan Orang Islam, Pusat Penyelidikan Islam, Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Ugama) pada 11 November 1982 telah diputuskan bahawa:

“Gelatin adalah sejenis bahan yang diperbuat daripada berbagai jenis haiwan seperti babi, lembu dan sebagainya. Oleh kerana bahan tersebut pada masa ini diperbuat diluar negeri iaitu yang tidak diketahui sama ada dari babi, bangkai binatang yang halal dan sebagainya, maka kedudukanya adalah diragui. Mengikut hukum syarak jika sekiranya satusatu perkara itu diragui samaada halal atau haram maka ianya terjatuh dalam perkara syubahat makan hukumnya adalahharam”.

Menurut Jumhur Ulama’, penggunaan bahan-bahan yang haram atau yang bercampur dengan najis untuk tujuan perubatan adalah haram. Walaubagaimanapun menggunakan ubat dari benda yang najis selain dari benda yang memabukkan dalam keadaan dharurat adalah harus sebagaimana pendapat Ibnu Ruslan (Mazhab Shafie) dalam Kitab Sunan Abi Daud. Pendapat ini berlandaskan kepada Hadith al-‘Urniyyin yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh Sahabat meminum air kencing unta membuat ubat. Hadith ini merupakan kebenaran khas dimana umumnya adalah diharamkan berubat dengan benda yang haram kecuali sekiranya dharurat di mana tiada bahan lain yang boleh menggantikannya.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/gelatin-dalam-ubat

FATWA “Derma Organ – Pemindahan Jantung Dan Mata”

Keputusan:

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 – 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:
1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.

2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.

3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.

4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/derma-organ-pemindahan-jantung-dan-mata

FATWA “Alkohol Menurut Pandangan Islam”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 – 12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.

2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

3. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4. Tapai halal dimakan.

5. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

6. Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Rujukan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-menurut-pandangan-islam

1 2 3