TAZKIRAH : MENDIDIK ANAK MENCINTAI RASULULLAH SAW

Menurut al-Imam al-Suyuti, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Ali supaya mendidik anak-anak dengan tiga sifat utama. Perkara pertama yang disebut oleh Rasulullah SAW adalah menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW iaitu dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola (contoh dan qudwah) dalam kehidupan mereka. Sabda Baginda Nabi SAW:

أدِّبُوا أوْلادَكُمْ على ثلاثِ خِصالٍ حُبِّ نَبِيِّكُمْ وَحُبِّ أهْلَ بَيْتِهِ وقِراءَةِ القُرآنِ فإِنَّ حَمَلَةَ القُرآنِ فِي ظِلِّ الله يَوْمَ القِيامَةِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إلاَّ ظِلُّهُ مَعَ أنْبِيائِهِ وأصْفِيائِهِ

“Didiklah anak-anak kamu tentang adab terhadap tiga perkara iaitu (1) mencintai Rasulullah, (2) mencintai ahli keluarga Baginda (3) serta ajari mereka membaca al-Quran. Sesungguhnya mereka yang menguasai al-Quran akan berada dibawah naungan Allah pada hari akhirat nanti bersama para Nabi dan

orang2 soleh.”

 (al-Jami al-Saghir)


Sekalipun al-Imam al-Munawi meletakkan hadith ini sebagai lemah (daif), namun dari aspek maksudnya, ianya adalah sangat benar. Ini bertepatan dengan hadith sahih yang menyebutkan bahawa tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dengan mencintai Rasulullah SAW, dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai orang yang paling dicintainya. Sabda Nabi SAW:

لاَ يؤمِنُ أَحَدَكُم حَتّى أَكُونَ أَحَبّ إِلَيهِ مِن وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنّاسِ أَجمَعِينَ

“Tidak sempurna iman kamu sehingga dia menjadikan aku orang yang paling disayanginya, lebih dari anak, ibubapa mereka serta seluruh manusia.”

(HR al-Bukhari)
Dengan sebab itu para sahabat mendidik anak-anak mereka dengan sirah Rasulullah SAW sejak dari kecil. Ini supaya membina tasawur (gambaran) yang jelas tentang siapa idola mereka yang akan membentuk akhlak serta corak pemikiran mereka. Al-Imam Ibn Kathir merekodkan kata-kata Ali ibn Husain (sebahagian menyatakan Sa’d ibn Abi Waqas) menyebut bahawa: Kami mempelajari tentang selok belok kehidupan dan peperangan Nabi (al-Maghazi) sepertimana kami mempelajari al-Quran. Kata Ali:

كنا نُعلَّم مغازي النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ كما نعلم السورة من القرآن

“Sesungguhnya kami mempelajari peperangan (Sirah) Rasulullah seperti mana kami mempelajari Surah daripada al-Quran.”

(al-Jami li Akhlak al-Rawi) 
Begitu juga Ibn Uqayl yang mendatangi Jabir ibn Abdullah, seorang sahabat yang masyhur. Ibn Uqayl bertanyakan kepada Jabir tentang sirah Rasulullah SAW lalu ditulisnya bagi tujuan generasi akan datang. Al-Imam al-Zuhri pula menegaskan bahawa mempelajari sejarah Baginda SAW adalah ilmu yang merangkumi dunia dan akhirat. Dari aspek dunianya, ia membina jati diri anak tersebut, dan dari segi akhiratnya ia mudah-mudahan akan ditempatkan bersama para Nabi. Kata al-Imam al-Zuhri:

. وكان الزهري يقول : علم المغازي والسرايا علم الدنيا والآخرة

“Kata al-Imam al-Zuhri: Sesungguhnya ilmu sejarah peperangan Nabi (Sirah Rasulullah) adalah ilmu buat bekalan dunia dan akhirat.”

(al-Bidayah wa al-Nihayah)
Selain itu, menanamkan rasa cinta Rasul dengan mengajarkan mereka sejarah kehidupan Baginda SAW juga adalah bertujuan menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan hidup mereka. Disamping memastikan berita yang sampai adalah dari sumber-sumber yang diyakini bukan dari penglipur lara. Oleh sebab itu, kecuaian kita dalam perkara ini boleh menyebabkan generasi akan datang tersilap langkah dalam menetapkan idola dalam kehidupan mereka sehingga menjadikan artis sebagai idola mereka atau menerima pemikiran menyeleweng. Bahkan mereka juga tidak sensitif apabila Rasulullah SAW dihina. Didiklah anak untuk mencintai dan mencontohi akhlak Nabi SAW agar mereka menjadi insan yang berjaya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat kelak. 

Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Diusahakan oleh:
Sarah Aqilah Mazuki
Pegawai Hal Ehwal Islam

Pusat Perubatan Universiti Malaya