PERUTUSAN KHAS SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL S.A.W

PERSATUAN KEBAJIKAN PEKERJA-PEKERJA ISLAM
PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA

PKPPI/EPA/2021/18

18 Oktober 2021
12 Rabiulawal 1443H

Y.Bhg. Dato’/Datin/Prof/Tuan/Puan,

PERUTUSAN KHAS SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL S.A.W

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, wa solatu wa salamu ‘ala asyrafil anbiyai wal mursalin, wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’in.

  1. Segala puja puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, Yang Maha Mengetahui akan apa-apa yang berlaku sama ada di langit, di bumi mahupun di antara keduanya. Tuhan Yang Mengetahui apa-apa yang terlintas dalam hati sanubari hamba-hamba-Nya, Tuhan Yang Mengetahui apa yang bakal berlaku bagi masa hadapan hamba-hamba-Nya.
  2. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, pesuruh Allah yang mulia, yang sentiasa mengingati kita sebagai umatnya, yang sanggup bersusah payah demi kemaslahatan kita semua baik di dunia ini dan di dunia akan datang.
  3. Pada kesempatan yang membahagiakan ini, mewakili seluruh saf jawatankuasa kepimpinan PKPPI, kami merakamkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur rasul s.a.w 1443H.
  4. Sesungguhnya, suruhan mengingat dan berselawat atas Junjungan Besar Nabi s.a.w bukanlah pada waktu-waktu yang khusus, melainkan pada setiap waktu dan ketika.

Saudaraku yang beriman,

  1. Bagi kita semua yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menjadi anjuran kepada kita agar mengingati Allah dan Rasul-Nya pada setiap masa dan ketika. Dalam ritual seharian kita ini, apakah kita menyedari bahawa Rasulullah s.a.w yang kita doakan dan berselawat atasnya setiap hari adalah seorang tokoh yang sangat menginspirasikan?
  2. Rugi sekali sekiranya kita hanya menyebut-nyebut nama baginda, tetapi tidak mengambil manfaat daripada keperibadian dan keterampilan baginda. Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia yang wajib diteladani. Peribadinya baik dan terpuji, keluarga baginda adalah contoh keluarga bahagia, dan komuniti yang dibina beliau adalah contoh masyarakat madani.

Sahabat-sahabatku,

  1. Dengan bersempena sambutan MaulidurRasul s.a.w ini, maka berazamlah untuk sentiasa “bermuhasabah” untuk terus maju melangkah ke depan. Berbangga menjadi seorang Muslim, dan gembirakanlah Nabi kita dengan terus berjasa.
  2. Berubah jadi orang yang lebih baik: orang yang menghitung diri sendiri, menilai diri sendiri bukan diri orang lain. Sentiasa mencari aib sendiri untuk dibaiki, bukan mencari-cari aib orang lain, dan lebih malang dan celaka lagi apabila kita memfitnah orang lain atas sebab sangka-sangkaan kita yang tidak benar.
  3. Dunia semakin terasa begitu pendek.
  4. Pandemik yang melanda negara kita menyebabkan banyak aktiviti kita agak terbatas, walaubagaimanapun, kami sedaya mungkin berusaha agar semua ahli persatuan tidak dibiarkan terabai dalam soal kebajikan. Beberapa aktiviti menyantuni sahabat-sahabat ahli kita yang diuji ketika kuarantin dan terkesan telah kita usahakan sedaya mungkin.
  5. Dalam masa yang sama, kami turut mendoakan para ahli kita yang diuji hidupnya, ditimpa kemalangan atau mengalami penyakit kronik, agar cepat sembuh. InshaAllah segala dugaan hadir dengan kecintaan Tuhan.

Saudaraku yang dicintai kerana Allah,

  1. Kami berpesan kepada diri kami, dan diri kalian agar sentiasa menjaga diri daripada bermaksiat kepada Allah, jaga iman dan sentiasa menjaga amal kita.
  2. Eratkan ukhuwah dan silaturrahim. Jauhi banyak bersangka kerana kebanyakan sangkaan kita itu adalah punca kita mendapat dosa.
  3. Atur kegiatan harian dengan baik. Tidur awal untuk bangun awal. Jaga kesihatan dengan mengambil gizi seimbang, bersenam dan minum air yang cukup.
  4. Jaga solat lima waktu, zikir pagi dan petang, qiyamullail dan bermuhasabah setiap hari. InshaAllah Allah akan hilangkan perasaan dukacita dari hati kita. Kita akan rasa lebih tenang dan jalan ke depan akan dipermudahkan.
  5. Teruskan bermanfaat kepada yang lain. Bantu orang lain. Yakinlah, sekali kita menunaikan hajat orang lain, Allah akan bantu menunaikan hajat kita.
  6. Amal soleh dan kebaikan kita adalah tanda dan bukti iman kita kepada Allah s.w.t dan Ar-Rasul s.a.w. Pastinya penat lelah kita tidak akan jadi sia-sia.

Wallahu ta’ala a’lam. Salam Maulidurrasul! Sollu ‘ala Nabiy!

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Mohd Shazni bin Abdullah
Yang DiPertua
Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya
Laman Web http://www.pkppippum.org.my
Facebook Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam, PPUM