MENGORAKTAHUN BAHARU DENGAN MUHASABAH

PERSATUAN KEBAJIKAN PEKERJA-PEKERJA ISLAM
PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI MALAYA

PKPPI/EPA/2021/01

7 Januari 2021
23 Jamadil Awal 1442H

Y.Bhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan

MENGORAK TAHUN BAHARU DENGAN MUHASABAH

Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1.      Alhamdulillah, rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru 2021 buat semua. Semoga semangat terus membara untuk meneruskan perjuangan sisa-sisa umur berbaki bagi memberikan coretan yang terbaik dalam diari kehidupan masing-masing.

2.      Nampaknya ujian pandamik yang kita hadapi sejak tahun lalu masih belum kelihatan jalan penyelesaiannya. Tapi semua itu bukanlah pematah semangat, alah bisa tegal biasa bak kata peribahasa. Kita terus optimis, mengharunginya bersama kerana kita yakin Allah pasti bersama orang yang sabar. Itu janji-Nya!

3.      Tidak hanya ancaman COVID-19, kita digemparkan lagi dengan ujian dan musibah banjir pula sejak minggu lalu.

4.      Dalam hidup ini, tiada sesiapa yang mahu diri sentiasa ditimpa musibah. Fitrahnya kita akan berusaha sedaya mungkin mengelak dari sebarang kemungkinan kesedihan, kehampaan apatah lagi kehilangan.

5.      Oleh sebab itulah Nabi kita mengajarkan satu doa yang ma’thur diriwayatkan Abu Daud kepada kita agar mohon dijauhkan daripada perasaan keluh kesah dan dukacita.

“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

6.      Namun, ujian tetap ujian. Ia lumrah dalam kehidupan. Ia hadir dalam pelbagai bentuk. Kehilangan harta benda, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan dan banyak lagi menyebabkan keresahan jiwa-jiwa manusia.

7.      Tetapi perlu juga diingat dalam Surah Al-Mulk, ayat 2, Allah SWT mengingatkan, setiap manusia pasti diuji. Dan pastinya ada hikmah pada setiap ujian itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

8.      Oleh yang demikian, sekadar ingatan kita bersama, bagi sahabat-sahabat ahli PKPPI lihatlah fenomena alam ini sebagai ingatan bersama buat kita. Pastikan sentiasa mengikuti info-info terkini yang sahih bagi mendapatkan maklumat perkembangan semasa.

9.      Andai ada ahli keluarga di kampung yang sedang diuji dengan musibah ini, setiasalah berhubung dan bertanya khabar berita bagi memudahkan penyaluran bantuan dan sebagainya. Tenangkan hati walau kita memahami ianya bukanlah mudah saat memikirkan ahli keluarga tercinta yang sedang berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.

10.  InsyaAllah, di peringkat PKPPI kita bersedia membantu ahli-ahli yang sedang terjejas atau ahli keluarga yang sedang dalam kesusahan akibat ujian bencana ini. Maka kami seru untuk hadir ke pejabat kami di Surau Ad-Deeniah untuk perbincangan sudut bantuan yang sepatutnya.

11.  Justeru, marilah sama-sama kita tingkatkan munajat, bersatu hati melihat setiap musibah ini pasti ada sesuatu hikmah dan teguran dari Sang Pencipta untuk kita.

12.  Sekali lagi kami mengucapkan selamat menyusun strategi bagi menjadi insan terbaik untuk tahun baru ini dan semoga kita terus mendoakan agar sahabat-sahabat kita atau saudara mara kita yang sedang diuji dengan pelbagai ujian ini terus cekal dan kuat bagi berdamai dengan takdir.

Andainya hujan lebat mencurah,
Eloklah kita membawa payung,
Andainya kawan dapat musibah,
Eloklah kita segera menolong.

Yang menjalankan amanah,

Mohd Shazni bin Abdullah
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam
Pusat Perubatan Universiti Malaya
Laman Web www.pkppippum.org.my
Facebook Persatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Islam, PPUM